
HONDA CIVIC RS 2025 FACELIFT – SEKADAR TUKAR BAMPAR?
Honda Civic generasi ke 11 telah dilancarkan pada bulan 1 yang lalu dengan harga yang cukup mengujakan bakal pembeli. Namun seperti biasa netizen akan memberikan komen yang pedas tanpa memandu uji model terbaru tersebut
Semua komen dibuat berdasarkan apa yang dilihat pada gambar pelancaran (netizen tidak hadir masa majlis pelancaran), tanpa mendengar taklimat produk, dan hanya membaca butiran produk yang tertera pada risalah atas talian
Tahniah netizen kerana anda pandai membaca risalah jualan. Kemudian mereka akan bandingkan dengan produk lain yang dilihat lebih murah, dan memberi pendapat kereta mana yang lebih bagus dari segi “nilai terbaik pada duit yang dibelanjakan”.

Maka keluarlah mantra “baik beli”……
Tetapi tidak dinafikan yang Honda Civic generasi ke 11 yang menerima penambahbaikan ini tidak menerima banyak perubahan rekabentuk fizikal yang ketara. Apa yang Honda lakukan ialah jadikan rekaan luar Civic baru ini lebih tampan walaupun perubahan yang dibuat adalah minima
Rekaan depan banyak menerima perubahan dengan menjadikan Civic kelihatan adik beradik dengan errr BMW 3 Series. Ahh risau pulak peminat BMW marah, namun rekaan bampar terutama di bahagian bawah memang seperti menerima ilham dari BMW
Honda juga merubah rekaan bampar depan di bahagian atas menjadi lebih ringkas bagi membuat imej dahi jendul , dan membesarkan ruang kemasukan udara bagi menjadikan Civic nampak lebih bergaya. Akibat perubahan ini, panjang keseluruhan Civic bertambah 3mm menjadi 4681mm

Civic generasi baru juga menerima rekaan baru untuk varian RS petrol dan juga RS Hybrid. Kemasan untuk rekaan belakang adalah sangat terhad dengan perumah lampu belakang digelapkan untuk imej yang lebih ranggi
Enjin 4 silinder 1500cc turbo dengan kod L15B masih meneruskan khidmat, mengekalkan sistem VTEC pada sistem ekzos dan sistem pemasaan injap pada semua injap menghasilkan 180 kuasa kuda dan 240Nm tork. Honda memberikan bacaan 15.87km per liter petrol, tapi bacaan sebenar lebih baik
Namun perubahan yang paling banyak adalah di ruang kabin Civic yang kini dikemaskini dengan teknologi baru. Skrin 9 inci menerima kemasan perisian Google dengan ciri Play Store, Peta dan Bantuan Suara secara terbina dalam termasuklah sambungan Apple Car Play dan Android Auto tanpa wayar

Malah Honda turut menawarkan ciri ini pada semua varian, termasuklah varian 1.5E yang paling asas sekalipun. Tapi vagi varian RS petrol yang diuji, ia menerima ciri tambahan seperti pengecas telefon pintar tanpa wayar, 3 mode pemanduan, paddle shifter dan USB C pada ruang penumpang belakang
Kusyen pemandu pula ditawarkan dengan ciri bantuan kuasa elektrik dan berdasarkan rasa pemanduan, penulis merasakan kusyen pemandu menerima padding yang lebih baik namun kekerasanya pada bahagian pinggul tetap sama.
Honda mengekalkan kepintaran mereka dalam menghasilkan ruang dalaman yang cukup luas dan selesa terutama di bahagian barisan kedua dan ruang kaki yang cukup cemerlang. Seperti biasa terdapat 2 poin pengecas USB C, perehat tangan dan juga penyandar tempat duduk belakang yang boleh dilipat 60:40.

Ruang kargo di bahagian belakang menawarkan ruang sehingga 497 liter, seluas ruang kargo Honda City yang menggunakan suspensi torsion beam walaupun sebenarnya Honda Civic menggunakan rekaan Multi-Link yang lebih rumit
Bagi varian RS petrol, pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 8.3 saat manakala halaju tertinggi dihadkan kepada 200km/jam. Dari segi operasi, walaupun transmisi selalu dikritik kerana gagal memberikan kepuasan dan “operasi enjin tidak selari dengan respon pijakan pedal minyak” namun CVT yang dihasilkan oleh Honda boleh dikatakan antara yang cemerlang
Dalam keadaan pemanduan agresif, ia memberikan respon seolah-olah ia menggunakan transmisi automatik biasa dengan meter RPM melonjak naik dan turun semula. Dalam keadaan pemanduan santai, bacaan RPM berada di bawah 2000RPM pada halaju 120km/jam

Maka tidak hairanlah penulis mendapat angka 17.8km/liter petrol pada halaju 120km/jam. Ia sudah cukup bagus dari enjin yang menggunakan turbo menjana 180 kuasa kuda dan 240Nm tork. Penulis juga sempat menguji ciri paddleshifter dan mendapati respon “engine braking” adalah cukup baik dan dapat dirasai dengan jelas
Terdapat 3 mode disediakan samaada ECO, Normal dan juga SPORT. Cuma sayangnya dalam SPORT Mode, bunyi ekzos tidak cukup garang bagi menggambarkan prestasi Civic RS. Bunyi ekzos kedengaran di tempat duduk belakang, tapi tidak sampai ke kusyen pemandu
Brek cakera pada semua roda juga memastikan cengkaman yang bagus, membuatkan kita yakin dengan kawalan Civic sepanjang masa walaupun pada halaju tinggi. Brek ini juga tidak membuatkan cesi mengalami “dive” ketika membrek

Putaran stering dipulas pada kadar maksimum 1.3 pusingan untuk “lock” ke kiri atau kanan secara penuh. Respon stering pada input pemanduan adalah cepat dan meyakinkan. Ditambah pula dengan pusat graviti Honda Civic yang rendah, aktiviti mencilok pada halaju tinggi boleh dibuat secara bersahaja
Ini memang kereta sedan sport mampu milik!
Namun pada masa yang sama, stering adalah cukup stabil apabila dipandu di laluan lurus. Ia menjadi semakin berat dengan sekata, membolehkan anda memegang hanya sebelah tangan pada halaju tinggi. Jadi stering Civic ini ringan pada halaju rendah, berat pada halaju tinggi dan memberikan respon yang cepat
Namun perubahan terbesar yang dirasai oleh penulis ialah dalam aspek “ride & handling” atau lebih tepat pada aspek keselesaan. Berbeza dengan model lama, penulis rasakan ia menjadi lebih selesa seperti seakan meniru olengan cesi Honda CR-V

Pertama, bahagian roda depan dan roda belakang menjadi lebih lembut apabila melalui jalan tidak rata atau “speed bump” dan tidak terhentak seperti memandu Mercedes-AMG GLA 35. Ini menjadikan Civic RS petrol sangat selesa untuk dipandu setiap hari
Cuma apabila dipandu terlalu laju dan mengambil selekoh panjang pada halaju tinggi, sebarang bonggol atau kecacatan permukaan jalan akan menyebabkan muncung kereta berayun sedikit. Namun ia tidak membuatkan Civic hilang cengkaman.
Bagi penulis ia adalah “tolak ansur” yang boleh dimaafkan kerana bukan setiap hari kita memandu seperti orang gila hilang pedoman. Ia tetap selesa, meyakinkan dan terasa melekat di selekoh

Perubahan kedua yang dirasakan oleh penulis ialah Civic RS menjadi semakin senyap. Semakan penulis pada Civic lama adalah ia mencatatkan bacaan 59dB pada halaju 110km/jam. Bagi versi facelift, bacaan ini menurun kepada 55dB sahaja. Malah pada kebanyakan masa, hanya bunyi tayar sahaja yang kedengaran
Dalam aspek keselamatan, Honda Civic turut menerima pembaharuan dengan pengenalan ciri keselamatan yang ditambah baik. Ciri Collision Mitigation Braking System, Adaptive Cruise Control turut dikemaskini dengan parameter perisian yang baru bagi perjalanan yang lancar termasuklah ciri Low Speed Follow.
Malah sistem CMBS juga mampu membrek secara automatik apabila penulis memarkir terlalu rapat dengan dinding rumah. Sistem CMBS juga kini berupaya mengesan objek di persimpangan jalan seperti motosikal dan juga basikal

Adakah Honda Civic RS menjadi semakin mahal? Tidak sebenarnya pengenalan model facelift ini menyebabkan harga jualan Honda Civic RS menjadi semakin murah sebanyak RM 2000. Ia kini dijual pada harga RM 149,900. Makin selesa, makin sedap dipandu dan makin murah.