Pandu Uji

PANDU UJI: HONDA CIVIC RS E:HEV. SEIMBANG ASPEK KUASA, PENGENDALIAN DAN PENJIMATAN

Sejak dahulu lagi, Honda Malaysia sentiasa ingin memberikan teknologi terkini kepada pengguna di Malaysia. Antara bukti paling penting pastinya pengenalan teknologi hibrid ketika pengeluar lain masih lagi teragak-agak untuk mengetengahkannya ke pasaran ini. 

Honda Malaysia melancarkan Civic Hybrid buat pertama kali pada tahun 2009. Seperti dijangka oleh Honda Malaysia sendiri, sambutan terhadap sedan tersebut boleh dikatakan sebagai tidak bagus.

Bukan sebab produk itu tidak bagus, tetapi lebih kepada rasa skeptikal orang ramai terhadap teknologi baru dan kebimbangan tentang kos menukar bateri yang mahal. 

Biarpun begitu, ia langsung tidak melemahkan semangat Honda Malaysia. Sebaliknya syarikat itu terus bersemangat untuk menawarkan model hibrid dengan menghasilkan Jazz Hybrid secara pemasangan tempatan (CKD) di kilangnya di Pegoh, Melaka pada tahun 2012. 

Insiatif menjadi pengeluar pertama di negara ini yang memasang model hibrid membolehkan pengguna di Malaysia merasai dan melihat sendiri evolusi teknologi hibrid daripada Honda. 

Teknologi hibrid Honda bermula dengan Integrated Motor Assist (IMA), kemudian intelligent Dual-Clutch Drive (i-DCD) dan terbaharu i-MMD atau Intelligent Multi Mode Drive yang dijenamakan oleh Honda sebagai e:HEV.

Perkembangan itu jelas menunjukkan kesungguhan Honda dalam menawarkan jentera yang bukan sahaja mesra alam dan jimat minyak, malah sangat seronok dipandu.  

Hasilnya, rakyat Malaysia sekarang boleh memilih beberapa model hibrid daripada Honda seperti City e:HEV, City Hatchback e:HEV, HR-V e:HEV dan terbaharu Civic e:HEV. Inilah kereta yang perlu dibeli kalau anda jenis yang tidak suka berkunjung ke stesen minyak. 

Jika anda pembaca tegar Mekanika Malaysia, kami sudah pun membuat review ringkas tentang pemanduan jentera hibrid tersebut di Litar Sepang pada November 2022. 

Kali ini, tugasan memandu Civic RS e:HEV adalah lebih jauh iaitu hampir 800km melibatkan perjalanan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Desaru, Johor.

Walaupun tempoh memandunya cukup singkat, dua hari satu malam sahaja yang dicampur dengan cuaca hujan sepanjang hari, ia masih mampu menawarkan pengalaman pemanduan yang memuaskan. 

APA YANG BEZA?

Dari segi ranking, Civic RS e:HEV ialah varian tertinggi selepas RS dengan enjin turbo bersesaran 1.5 liter. Seperti namanya, sedan itu dipasang dengan bodykit RS bersama sedikit perbezaan. 

Di bahagian hadapan, versi hibrid tampil berbeza dengan emblem H bersama kemasan berwarna biru, perumah krom pada lampu utama LED dan garisan krom pada gril hadapan. Melihat dari arah sisi, perbezaannya diserlahkan menerusi penggunaan rim aloi dua tona bersaiz 18 inci dan kemasan krom pada bingkai tingkap. 

Untuk bahagian belakang, kelainannya cuma melibatkan logo H dengan kemasan biru, emblem e:HEV dan corong ekzos tunggal (dua pada varian RS turbo). Itu sahaja, jadi kalau tidak perasan sama ada ini model atau RS e:HEV, anda dimaafkan. 

Masuk ke ruang kabin, sekali lagi perubahan yang diterima tidaklah terlalu banyak. Civic RS e:HEV menggunakan kluster instrumen digital sepenuhnya TFT bersaiz 10.25 inci. Jangan hairan kalau anda tidak jumpa meter rpm di situ, kereta ini tidak memerlukanya kerana ia dijana oleh motor elektrik dan bukan enjin sepenuhnya. 

Ia juga dilengkapi ciri kawalan pendingin hawa dua zon, pad pengecasan tanpa wayar Qi dan kunci pintar Honda yang datang dalam bentuk kad nipis berwarna hitam.

Penumpang belakang juga mungkin akan perasan terdapat corong ventilasi untuk bateri lithium-ion dengan 72 sel berada di bawah tempat duduk yang membuatkan kusyen untuk menyokong bahagian peha penumpang sedikit pendek. 

Bijak mengeksloitasikan ruang, bateri berkapasiti cuma 1.05kWh diletakkan di bawah tempat duduk belakang. Ini sekali gus tidak mengorbankan bahagian kargo yang mampu menawarkan ruang seluas 497 liter. Tayar ganti juga ada disediakan sebagai ciri standard. 

Sama seperti varian RS, jentera itu mengekalkan ciri-ciri seperti skrin sentuh untuk infohibur bersaiz sembilan inci dengan tambahan paparan aliran kuasa sistem hibrid, ketersambungan Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, Remote Engine Start, corong pendingin hawa untuk penumpang belakang.   

KUALITI PEMANDUAN PADU

Bagi yang gemar memandu, Civic RS e:HEV ialah sebuah kereta yang ideal untuk anda. Ia menawarkan posisi pemanduan cukup sporty dengan rekaan papan pemuka rendah, stereng teleskopik, larasan tempat duduk secara elektrik dan butang kawalan ergonomik. 

Jadi, walau apa pun saiz badan, pemandu pasti dapat mencari posisi pemanduan paling selesa. Cuma satu sahaja benda yang saya tidak suka, kerusinya terasa agak keras macam kurang kusyen. Akibatnya, ia boleh membuatkan badan sedikit sakit kalau memandu dalam jarak jauh dalam tempoh yang lama. 

Lupakan sebentar tentang kerusi tersebut, kerana sistem hibrid sedan itu lebih penting. Jika sebelum ini hibrid lebih berpaksikan kepada aspek penjimatan bahan api, kini rangkaian kuasa hibrid i-MMD turut memberi penekanan terhadap prestasi. 

Sebab itulah Honda mengetengahkan konsep Smart Sport untuk menjadikannya sebuah sedan yang bukan sahaja pintar, malah sporty. Berbeza dengan model e:HEV yang lain, Civic RS e:HEV menggunakan padanan enjin bersesaran 2.0 liter kitaran atkinson yang dibangunkan khas. 

Ini merupakan kali pertama Honda menawarkan rangkaian kuasa berkenaan dalam portfolionya. Unit yang sama digunakan pada Honda CR-V terbaharu di pasaran Amerika Syarikat itu mampu menghasilkan kuasa mencecah 143PS (105kW) pada 6,000rpm dan 189Nm pada 4,500rpm.

Lebih menarik lagi, enjin itu sebenarnya bertindak lebih sebagai penjana atau generator untuk mengecas bateri lithium-ion berbanding menggerakkan kereta. Kuasa bateri tersebut disalurkan ke dua unit motor elektrik, satu pada aci engkol untuk menghidupkan enjin dan satu lagi motor berperanan menggerakkan roda hadapan. 

Motor elektrik berkenaan berupaya menghasilkan kuasa sehingga 184PS dan tork 315Nm. Ya, sebab itulah sepanjang memandu Civic RS e:HEV tidak pernah terasa ia kekurangan kuasa, tidak kira sama ada ketika hendak memecut, memotong kenderaan lain atau bergerak dari titik pegun. 

Peralihan kuasa rasa sangat lancar dan senyap dengan padanan kotak gear E-CVT. Anda juga tidak akan perasan berlakunya penukaran gear atau peralihan di antara kuasa enjin dan motor elektrik. Harus tahu juga bahawa varian ini menawarkan pecutan 0-100km/j dalam masa lebih pantas iaitu 7.9 saat. 

Biarpun cukup berkuasa, tahap penggunaan bahan api Civic RS e:HEV sememangnya mengagumkan. Perkara itu dibuktikan apabila kami berjaya mencatat penggunaan petrol sekitar 31.2km per liter sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Bandar Melaka. 

Tetapi, saya kena akui bahawa angka tersebut tidak realistik dalam dunia nyata kerana pemandu perlu memandu dengan sangat berhemah dan kelajuan tidak melebihi 90km/j. Sebagai perbandingan, Honda Malaysia menyatakan tahap penggunaan bahan api sedan tersebut ialah 25km/j. Jauh beza kan?

Kualiti pengendalian Civic RS e:HEV semakin teruji ketika melalui jalan kampung dari Kluang menuju ke Desaru. Boleh dikatakan dinamik pemanduannya lebih baik berbanding versi 1.5 turbo kerana pusat gravitinya kini 10mm lebih rendah.

Bagi mengimbangi berat tambahan akibat pek bateri, sistem suspensi telah pun ditala semula. Ini juga banyak membantu dalam membuatkan jentera tersebut cukup seronok melayan selekoh pada kelajuan sedikit tinggi.  

Pemandu ditawarkan dengan pilihan tiga mode pemanduan iaitu Econ, Normal dan Sport. Cuba guna mode Sport dan anda mungkin ketagih untuk merasai kuasa dan bunyi deruman enjinnya. Tetapi, saya kena beritahu bahawa bunyi enjin itu sebenarnya keluar dari pembesar suara dan bukannya corong ekzos. 

Walaupun begitu, bunyi tersebut terasa cukup real seperti anda menukar kedudukan gear, sekali gus menaikkan semangat dan mood ketika memandu. 

HONDA SENSING + SISTEM LCDN

Sebagai sebuah kereta yang berada di aras paling tinggi, Civic RS e:HEV sudah pasti dipasang dengan set lengkap sistem keselamatan Honda SENSING bersama tambahan ciri notifikasi jika kenderaan di hadapan bergerak yang Honda namakan sebagai (Lead Car Departure Notification System). 

Sekiranya semua ciri Honda SENSING diaktifkan, anda akan berasa ‘lebih selamat’ kerana corak pemanduan akan dipantau dengan rapi. 

Contoh paling mudah, stereng akan ditarik jika anda mahu menukar haluan tanpa mengaktifkan lampu isyarat membelok. Secara peribadi, saya sukakan ciri Adaptive Cruise Control (ACC) dan Low Speed Follow yang sangat berguna ketika tersangkut dalam kesesakan jalan raya. 

Setkan sahaja takat kelajuan dan jarak dengan kenderaan hadapan, anda tidak perlu lagi menekan brek atau pedal minyak untuk menggerak dan memperlahan/memberhentikan kereta. Tetapi, perlu diingatkan bahawa pemandu juga perlu peka dengan pemanduan kerana bimbang tida-tiba ada kenderaan mencelah di hadapan, brek dengan kaki sendiri adalah lebih melegakan hati. 

HARGA 

Dengan semua kelebihan ini, berapa pula harga sebuah Civic RS e:HEV? Anda boleh memiliki sedan itu pada harga RM166,500 seunit, sekitar RM16,000 lebih mahal berbanding Civic RS. 

Bagi memberi ketenangan minda kepada pemilik, Honda Malaysia turut menawarkan jaminan selama lima tanpa had perbatuan, jaminan bateri untiuk lapan tahun dan kos buruh percuma bagi servis sebanyak lima kali. 

Selepas memandu Civic RS e:HEV, kesimpulan saya mudah. Inilah kereta yang patut anda beli kalau mahukan sebuah sedan yang seimbang dari semua segi. Saya juga yakin yang anda tidak akan menyesal. 

GALERI

Google ads
Back to top button