HONDA DEDAH BUTIRAN ENJIN 755 CC BAHARU, BAKAL DIGUNAKAN PADA MODEL HORNET
Sebelum ini, terdapat ura-ura Honda sedang membangunkan sebuah enjin parallel-twin serba baharu bersesaran 750 cc, biarpun syarikat itu sudah pun mempunyai nadi 745 cc yang digunakan pada Forza 750 dan X-ADV.
Honda akhirnya mendedahkan secara rasmi enjin baharu yang bakal digunakan pada model streetfighter Honda Hornet 2023.
Enjin baharu parallel-twin dengan teknologi Unicam lapan injap bersesaran 755 cc itu dikatakan mampu menghasilkan kuasa setinggi 92 hp dan 75 Nm,
Ia juga turut menampilkan konfigurasi aci engkol 270 darjah.
Sebagai perbandingan, enjin parallel-twin 745 cc sedia ada mampu menjana kuasa setinggi 58 hp dan 69 Nm.
Biarpun perbezaan sesaran hanyalah sebanyak 10 cc, namun perbezaan kuasa antara kedua-dua enjin ini amatlah ketara.
Menurut timbalan pengarah untuk projek utama Honda, Fuyuki Hosokawa berkata, “Hornet akan selalu menjadi model motosikal yang khas buat Honda. Prestasi menarik dan mengujakan sentiasa digabungkan dengan kawalan yang fleksibel dan lincah.
“Untuk mendapatkan prestasi dan pengendalian ringan yang kami mahukan, kami tahu kami harus membangunkan enjin baharu lejang pendek dengan aci engkol 270 darjah.
“Ia bukan sahaja menawarkan kuasa puncak, malah daya kilas low-end yang sporti, ideal untuk tunggangan dalam persekitaran urban dan keluar dari selekoh di lebuh raya.
“Pada kami, Hornet akan sentiasa menjadi lambang sebuah konsep streetfighter, dan Hornet baharu ini dengan bangganya meneruskan tradisi ini. – RideApart