Buletin

HONDA ELEVATE – SEBUAH LAGI SUV UNTUK PASARAN GLOBAL

Honda baru-baru ini telah melancarkan sebuah lagi SUV baharu yang direka untuk pasaran global, Elevate.

Ia tidak lagi membawakan format nama tiga huruf yang digunakan pada model-model SUV terdahulu (WR-V, HR-V, CR-V, ZR-V).

Elevate membawakan ukuran dimensi di tengah-tengah antara SUV segmen B dan SUV segmen C, dengan panjang 4,312 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm.

Sementara jarak lega bumi pula adalah setinggi 220 mm.

Reka bentuk luaran Honda Elevate nampak berpetak, mendedahkan karakter sebenar model tersebut sebagai sebuah SUV bajet, diikuti dengan struktur jeriji yang besar, unit lampu LED, serta rim bersaiz 17 inci.

Sementara ruang kabin pula menampilkan susun atur yang lebih kemas, dimulakan dengan skrin kluster digital 7 inci beserta meter analog, skrin tengah bersaiz 10.25 inci, butang kawalan iklim di bahagian bawah corong pendingin hawa, pengecasan tanpa wayar, serta kemasan kulit dan trim kayu palsu.

Untuk penumpang belakang turut disediakan corong pendingin hawa baris kedua.

Secara standard, Honda Elevate turut didatangkan dengan kelengkapan ADAS Honda SENSING, enam beg udara, serta ruang kargo sebesar 458 liter di bahagian belakang.

Model baharu ini dibangunkan di pusat R&D Honda Asia Pasifik di Thailand menggunakan platform Honda City, dan membawakan enjin 1.5 liter i-VTEC berkuasa 121 PS dan 145 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau CVT tujuh kelajuan.

Honda Elevate akan diproduksikan di kilang Tapukara, Rajashtan, India.

Google ads
Back to top button