Buletin

PADA 1978, TOYOTA STARLET KP61 DIPERKENAL DI JEPUN (PACUAN BELAKANG)

Model kompak Toyota Yaris pasaran Eropah memang handal, digunakan untuk perlumbaan rali dunia dengan model 2020 ditawarkan dalam versi GR (Gazoo Racing).

Sejak puluhan tahun dahulu, Toyota terkenal dengan kereta kompak dan satu nama legenda ialah Starlet. Generasi pertama diberi nama Publica Starlet (P40) dan dilancarkan pada April 1973.

Generasi kedua (P60) diperkenalkan pada Februari 1978 dan model ini yang dijual secara meluas di luar Jepun.

Starlet generasi kedua dilengkapi enjin 1,290cc dan dibangunkan secara utama bagi memenuhi permintaan yang meningkat untuk sebuah kereta yang ekonomikal.

Pemikiran asas jurutera Toyota semasa merancang dan membangunkan Starlet baharu ialah untuk menghasilkan sebuah model yang memberi penekanan kepada ciri-ciri yang diharapkan pelanggan dalam kategori saiz popular pada masa itu.

Ciri tersebut di antaranya ialah fokus terhadap keselamatan dan peraturan anti pencemaran, ekonomikal melalui kecekapan bahan api dan berat yang ringan, senang dipandu, respon yang pantas dan pelbagai kelengkapan standard.

Toyota menawarkan dua jenis gayaan badan dan lima varian Starlet iaitu tiga dan lima pintu dan varian standard hingga yang mewah atau SE.

Starlet generasi kedua dibekalkan enjin 4K-U (1,290cc) yang sudah dikenali sebagai berprestasi tinggi dan penggunaaan minyak rendah.

Jenis transmisi pula ada tiga iaitu manual empat dan lima kelajuan dan menariknya dua kelajuan automatik. Starlet dipacu roda belakang dan di antara faktor populariti sehingga sekarang.

Pada peringkat awal Toyota menjangkakan jualan sebanyak 7,000 unit sebulan.

Satu lagi perkara menarik ialah semasa pengenalan pada Februari 1978, Toyota siap memaklumkan program eksport Starlet dijadual dalam masa terdekat untuk ke pasaran selain Amerika Utara.

Toyota juga memaklumkan beberapa program eksport menggunakan lampu utama buatan Joseph Lucas Industries dari United Kingdom.

Secara keseluruhan, Toyota menawarkan 23 varian Starlet baharu dan kesemuanya memenuhi piawaian emisi Jepun tahun 1978.

Toyota Starlet Turbo 2E 1986

Sepanjang penawarannya Starlet turut mempunyai gaya badan wagon dan beberapa pilihan enjin seperti 993cc, 1166cc dan 1,290cc dengan sistem pancitan bahan api elektronik.

Toyota Starlet akhirnya dihentikan pengeluaran dan diganti dengan generasi ketiga pada 1984 dan tamatlah era model kompak pacuan roda belakang. 

Ia bagaimanapun bukan sesuatu yang negatif, dari sini era Starlet dengan enjin turbo bermula.

Google ads
Back to top button