Buletin

PROTON E.MAS 7 TAWAN HATI RIBUAN PENONTON DI PERARAKAN HARI KEMERDEKAAN KE-67

PROTON telah mencuri perhatian rakyat Malaysia dengan penampilan pertama model terbarunya, e.MAS 7, dalam Perarakan Hari Kemerdekaan ke-67 yang diadakan di Putrajaya.

Dipamerkan dalam corak pelekat pembalut kereta khas yang melambangkan warna Jalur Gemilang, e.MAS 7 berjaya menawan hati ribuan penonton.

PRO-NET, anak syarikat PROTON yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran kenderaan elektrik (EV) jenama tersebut, memperkenalkan model e.MAS 7 sebagai sebahagian daripada kontingen khas yang terdiri daripada 25 buah kereta.

Kontingen ini menampilkan pelbagai model PROTON terkini serta beberapa model yang mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Penampilan Proton e.MAS 7 di Perarakan Hari Kemerdekaan ini menjadi detik bersejarah bagi PROTON, terutamanya apabila melihat sambutan hangat yang diberikan oleh orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang, menyatakan rasa bangganya terhadap penampilan model ini dan menekankan bahawa sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia merupakan bukti komitmen mereka terhadap mobiliti dan inovasi lestari.

“Melihat e.MAS 7 beraksi di hadapan ribuan penonton adalah satu detik kebanggaan bagi negara, menunjukkan komitmen kami dalam membina masa depan lebih hijau untuk Malaysia,” kata Zhang.

Sebagai sebahagian daripada kempen sambutan Merdeka, Proton e.MAS 7 turut melancarkan satu kempen interaktif bertajuk “Your Proton e.MAS 7 Dream”.

Kempen ini mengajak orang ramai untuk berkongsi pengalaman, inspirasi, dan visi mereka untuk masa depan yang lebih lestari.

Sempena sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-67, Proton e.MAS juga mengadakan Kempen Kemerdekaan yang menawarkan peluang kepada orang ramai untuk memenangi kredit e-Wallet TnG sebanyak RM67.

Pertandingan ini bertujuan untuk mencari komen paling kreatif di laman Facebook atau Instagram Proton e.MAS, dan akan berlangsung dari 31 Ogos hingga 16 September 2024.

Pemenang akan diumumkan pada 4 Oktober 2024 melalui media sosial rasmi Proton e.MAS.

Langkah untuk menyertai kempen ini adalah seperti berikut:

1. Ikuti halaman rasmi “Proton e.MAS Cars” di Facebook atau “@protonemasofficial” di Instagram dan tekan butang like pada pos “Your Proton e.MAS 7 Dream”.

2. Komen dengan cara yang paling kreatif untuk melengkapkan ayat: “Proton e.MAS 7, kenderaan elektrik nasional pertama adalah ___.”

3. Tag tiga rakan anda dan kongsi pos tersebut dengan hashtag #eMAS7Merdeka.

Untuk menyaksikan sorotan video Perarakan Hari Kemerdekaan dan maklumat lanjut mengenai Kempen Media Sosial Merdeka “Your Proton e.MAS 7 Dream”, sila layari laman media sosial Proton e.MAS.

Google ads
Back to top button