Buletin

HONDA MALAYSIA LANCAR JAZZ BAHARU DAN VARIAN SPORT HYBRID i-DCD – BERMULA RM74,800

Hari ini, Malaysia secara rasmi menjadi satu-satunya negara selain Jepun yang memperkenalkan sistem Sport Hybrid i-DCD Honda menerusi pelancaran Jazz baharu. 

Jazz Hybrid baharu merupakan satu-satunya model Sport Hybrid yang ditawarkan pada harga bawah RM90,000 di Malaysia. Jazz baharu akan ditawarkan dalam varian Petrol dan Sport Hybrid dengan model Hybrid mula diserahkan kepada pelanggan mulai Ogos 2017.

“Sebagai perintis yang memperkenalkan teknologi hibrid di Malaysia pada tahun 2004 dan menjadi pengeluar pertama menghasilkan kenderaan hibrid di dalam negara pada tahun 2012, kami komited untuk menawarkan rangkaian kereta yang seronok dipandu dan efisien dari segi penggunaan bahan apinya,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Katsuto Hayashi.

Jazz Hybrid baharu dilengkapi enjin 1.5L DOHC i-VTEC baharu yang dipadankan dengan Dual Clutch Transmission (DCT) 7 kelajuan bersama Integrated High Power Motor untuk menawarkan pecutan mengagumkan dan pengalaman pemanduan yang lebih sporty.

Sistem hibrid baharu itu dikuasakan oleh sebuah bateri Lithium-Ion yang memiliki 1.5 kali kapasiti kuasa dan 50% lebih berkuasa berbanding sistem sebelumnya. Biarpun saiz sistem Integrated Motor Assist -5.6% lebih kompak.

Dalam mode Sport apabila butang “S” ditekan, Sport Hybrid i-DCD menawarkan output gabungan enjin dan motor elektrik yang maksimum mencecah 137PS, bersamaan dengan kuasa sebuah enjin bersesaran 1.8L.

Stereng kuasa elektrik telah dipertingkatkan untuk menjadikan jentera ini lebih responsif. Apabila digabungkan dengan kotak gear DCT 7 kelajuan dan bateri Lithium-Ion, Jazz Hybrid baharu menjanjikan pemanduan yang sporty dan mengujakan.

Jazz Hybrid baharu memiliki fungsi dan posisi bebas untuk motor elektrik serta enjin. Ini membolehkannya menawarkan prestasi penjimatan bahan api yang terbaik dan pengalaman pemanduan lebih sporty dengan mengekalkan aspek janaan semula kuasa. Jazz Hybrid baharu mampu mencatatkan penggunaan bahan api 4.0L/100km* dan boleh dipandu dalam mode Kenderaan Elektrik (EV) sepenuhnya.

Sistem pendingin udara Sport Hybrid i-DCD dipacu oleh pemampat motor, bukannya IMA yang membolehkan suhu kabin dikekalkan ketika kenderaan berhenti dan melahu. Sistem yang telah ditambah baik itu menjanjikan pemanduan yang lebih selesa untuk semua walaupun ketika terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

Hayashi turut berkongsi inisiatif yang diambil oleh kemudahan R&D Honda Malaysia. “Kemudahan R&D kami ditubuhkan pada tahun 2013 dengan matlamat memastikan kenderaan yang ditawarkan di sini sesuai dengan kondisi jalan dan gaya pemanduan pengguna di Malaysia. Sebelum pelancaran pada hari ini, kami telah menguji dan memandu model ini sejak dua tahun lalu dengan jarak lebih 7,000km di  atas jalan di Malaysia.

“Jazz baharu diuji di atas kondisi jalan berbeza seperti trafik sesak, laluan bengkang-bengkok dan berbukit curam. Ujian ini membolehkan kami menjadikannya lebih sempurna dan menawarkan Jazz Hybrid baharu yang sesuai dengan kondisi jalan raya serta gaya pemanduan rakyat Malaysia,” tambah Hayashi.

Jazz Hybrid didatangkan dalam satu varian dan hadir dengan beberapa bentuk penambahbaikan unik. Pertama, ciri Shift by Wire Gear untuk penukaran gear yang lebih lancar dan sporty pada sistem Sport Hybrid i-DCD.

Seterusnya ialah 3D Speed Meter Design (Paparan Multi-Info) yang memaparkan pelbagai maklumat seperti Aliran Tenaga, Meter Sport, Penjimatan Bahan Api, Info Pemanduan, Customization dan Paparan Eco – semuanya pada aras pandangan pemandu. Jazz Hybrid baharu juga dilengkapi ciri Kawalan Jelajah untuk pengalaman pemanduan yang lebih baik.

Jazz Generasi ke-3 telah menjadi peneraju segmennya dengan lebih 47,000 unit terjual di Malaysia sejak dilancarkan pada tahun 2014 dan ia terus menerima sambutan hangat.

Jazz Petrol baharu dikuasakan oleh enjin 1.5L i-VTEC dan dipadankan dengan kotak gear Continuous Variable Transmission (CVT) yang dibangunkan di bawah Teknologi Earth Dreams Honda. Jazz Petrol baharu akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu S, E dan V.

Gril hadapan krom, bampar hadapan dan belakang dengan rekaan baru, butang penghidup enjin dan sistem kemasukan pintar serta butang ECON didatangkan sebagai ciri standard pada semua varian. Penambahbaikan lain termasuklah rim aloi dua tona untuk varian V, Lampu Nyalaan Siang (DRL) LED serta kamera undur bagi varian E dan V.

Varian V juga didatangkan dengan paddle shift dan kawalan jelajah untuk pengalaman pemanduan yang lancar. Manakala tempat duduk separa kulit menawarkan keselesaan lebih lama di dalam kenderaan. Varian E akan menerima naik taraf panel sentuhan untuk sistem pendingin hawa automatik. Varian E dan V dilengkapi paparan audio bersaiz 6.8” yang baru.

Dibangunkan di bawah prinsip “Man Maximum, Machine Minimum”, Jazz baharu mengekalkan ciri tempat duduk ULTRA Seats dengan 4 mode (utiliti, panjang, tinggi dan refresh) untuk memaksimumkan ruang buat pemandu, penumpang dan barangan yang mereka bawa.

Tempat duduk yang mempunyai pelbagai mode konfigurasi ini membolehkan Jazz diubah suai untuk apa jua keadaan, sama ada perjalanan yang dekat atau jauh. ULTRA Seats merupakan satu ciri unik yang ada pada Jazz sahaja. Untuk Jazz Hybrid, Intelligent Power Unit (IPU) diletakkan di bahagian bawah ruang kargo bagi membolehkan konfigurasi ULTRA Seats dapat dikekalkan.

Dari segi keselamatan, Jazz telah menerima penarafan lima bintang ASEAN NCAP. Ciri Brake Assist (BA) dan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) ditawarkan pada semua varian. Varian V mengekalkan 6 beg udara, manakala varian E ditambah menjadi 4 beg udara.

Sama seperti varian E, varian Sport Hybrid turut menerima 4 beg udara. Ciri Vehicle Stability Assist (VSA), Emergency Stop Signal (ESS) dan Hill Start Assist (HSA) dipasang pada varian E, V dan Sport Hybrid.

Jazz Petrol akan ditawarkan dalam lima warna iaitu kelabu metalik (Modern Steel Metallic), perak metalik (Lunar Silver Metallic), merah (Carnival Red), putih (Taffeta White) dan hitam (Crystal Black Pear). Sementara Jazz Hybrid pula didatangkan dalam warna perak metalik (Lunar Silver Metallic), kelabu metalik (Modern Steel Metallic) dan putih mutiara (White Orchid Pearl).

Jaminan untuk Jazz Petrol dan Jazz Hybrid baharu dikekalkan kepada lima tahun dengan had perbatuan tanpa had dan selang servis 10,000 yang boleh dilakukan di mana-mana 91 pengedar sah Honda di seluruh negara. Selain jaminan standard, Jazz Hybrid baharu turut hadir dengan jaminan selama 8 tahun untuk bateri Lithium-Ion.

Jazz Hybrid ditawarkan pada harga yang cukup menarik iaitu RM87,800 (OTR termasuk Insurans). Harga Jazz Petrol baharu adalah seperti berikut; RM74,800 (OTR termasuk Insurans) untuk varian S; RM81,000 (OTR termasuk Insurans) untuk varian E dan RM88,400 (OTR termasuk Insurans) untuk varian V.

Penawaran harga yang strategik itu dilihat bakal menjadi faktor penarik buat pelanggan untuk membeli Jazz Petrol baharu. Terutama bagi orang bujang dan sudah berkahwin yang ingin menaik taraf daripada kenderaan nasional mereka. Tidak terkecuali golongan dewasa yang sudah bekerja dan eksekutif muda.

BACA: HONDA JAZZ MUGEN PRO!

Manakala Jazz Hybrid baharu pula pasti menarik minat kelompok pekerja dewasa berdasarkan kepada kegunaan harian mereka. Honda Malaysia mensasarkan jualan sebanyak 1,200 untuk Jazz Petrol dan 250  unit Jazz Hybrid sebulan.

Honda Malaysia turut mempamerkan Kereta Konsep Jazz Mugen baharu untuk mengetengahkan pakej aksesori Mugen yang sangat bergaya dan bakal ditawarkan kepada pelanggan.

Kajian menunjukkan bahawa barisan model Mugen menerima sambutan yang sangat memberangsangkan kerana penampilannya yang bergaya. Pakej Mugen yang ikonik itu akan ditawarkan pada harga RM5,670 merangkumi spoiler hadapan, sisi, bawah dan belakang, serta boleh dibeli oleh pelanggan pada Oktober 2017. Pakej Urban akan ditawarkan pada harga RM1,580 manakala Pakej Utiliti pula berharga RM820.

BACA: HONDA JAZZ HYBRID i-DCD LAKUKAN DEBUT DUNIA DI SETIA ALAM 

Para pelanggan boleh mengunjungi mana-mana 91 pengedar sah Honda di seluruh negara atau hubungi nombor Tol Percuma Honda di talian 1-800-88-2020 atau layari laman web www.honda.com.my untuk maklumat lanjut mengenai Jazz Petrol dan Jazz Hybrid baharu.

GALERI

Google ads
Back to top button