
HONDA MALAYSIA SASAR JUALAN 900 UNIT CIVIC GENERASI KE-11 SETIAP BULAN
Honda Malaysia mensasarkan jualan sebanyak 900 unit setiap bulan bagi model terbaharu Civic generasi ke-11 yang dilancarkan secara rasmi di pasaran tempatan.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Madoka Chujo berkata sewaktu proses pembangunan Civic Generasi ke-11 serba baharu itu, pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) Honda telah memberikan segala usaha serta idea dalam mereka bentuk bahagian luaran, dalaman dan pakej keseluruhan kereta terbabit.

“Model terbaharu ini merupakan terjemahan unsur-unsur klasik malah menitikberatkan nilai-nilai Honda yang berterusan.
“Konsep reka bentuk baharu ini memberikan Identiti Alaf Baharu untuk sebuah sedan. Ia dilengkapi dengan ciri-ciri dan teknologi terkini dan masih mengekalkan DNA model Civic dari segi rekabentuk, pengendalian dan prestasi berkuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Honda Civic generasi ke-11 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Madoka memberitahu, sehingga kini, model terbaharu itu telah mencatatkan tempahan sebanyak 1,200 unit sejak dibuka pada bulan lalu.
“Penghantaran dijangka akan dilakukan pada minggu hadapan dan masa menunggu dianggarkan antara satu hingga dua bulan bergantung kepada varian.

“Honda merupakan pengeluar kenderaan umum Jepun yang pertama melancarkan enjin VTEC Turbocharged untuk Civic Generasi ke-10 pada tahun 2016. Penerimaan pasaran untuk enjin Turbocharged Honda itu mendapat sambutan di luar jangkaan.
“Bahkan, sebanyak 60 peratus model Civic yang telah terjual adalah dari varian Turbocharged,” ujarnya.
Justeru, beliau amat berbangga menawarkan kepada rakyat Malaysia enjin VTEC Turbocharged yang dikemaskini untuk Civic Generasi ke-11 terbaharu itu.

Katanya, ia akan menaikan lagi taraf kenderaan dalam segmen C dari segi prestasi dan bakal memberikan pengalaman pemanduan menyeronokkan untuk pelanggan Honda.
Civic generasi ke-11 ditawarkan dalam tiga varian E, V dan RS. Ia dijual pada harga bermula RM125,634.64.
- BACA: HONDA MALAYSIA LANCAR CIVIC GENERASI KE-11. 3 VARIAN, HARGA BERMULA RM125,634.64
- BACA: HONDA STEP WGN 2022 DIPERKENAL DI JEPUN, GAYA RINGKAS BERKOTAK!
- BACA: HONDA RC213V-S PECAH REKOD LELONGAN. TERJUAL PADA HARGA RM1.03 JUTA
- BACA: BERDOZEN HONDA DAN TOYOTA JADI ‘SEJUK BEKU’ TIBA DI PELABUHAN RUSIA