HONDA MALAYSIA LANCAR CIVIC GENERASI KE-11. 3 VARIAN, HARGA BERMULA RM125,634.64
Honda Malaysia melancarkan model Civic generasi ke-11 di pasaran negara yang dilengkapi teknologi inovatif dan pintar.
Model terbaharu itu dijangka merancakkan pasaran dan mengekalkan posisinya sebagai model nombor satu di dalam segmen C dengan reka bentuk bergaya serta sentuhan dalaman premium dan prestasi terbaik dalam kelasnya.
Model terbaharu itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu E, V dan RS.
Bahkan, buat julung kali, Honda Malaysia memperkenalkan varian RS untuk barisan model Civic dengan meningkatkan ciri-ciri sporty dan gaya berani untuk Civic Serba Baharu itu.
Honda Civic itu ditawarkan pada harga bermula seperti berikut:-
Varian E – RM125,634.64
Varian V- RM138,043.36
Varian RS- RM144,350.09
Ia mendapat sentuhan lima warna pilihan iaitu merah (Ignite Red Metallic), kelabu (Meteoroid Gray Metallic), putih Mutiara (Platinum White Pearl), perak (Lunar Silver Metallic) dan hitam (Crystal Black Pearl).
Sedan terbaharu yang menampilkan rekaan lebih segar dan premium itu menggunakan teknologi Laser Brazing bagi menyerlahkan garisan bumbung lebih kemas.
Ia didatangkan lampu utama LED dengan rekaan baharu dipadankan Lampu Nyalaan Siang (DRL) LED serta gabungan lampu belakang LED mencerminkan DNA Civic.
Varian RS pula dilengkapi ciri-ciri luaran eksklusif RS termasuk kemasan hitam berkilat pada bahagian pintu, cermin sisi berwarna hitam, antena Shark Fin, pemegang luar pintu dan spoiler penutup but.
Jentera tersebut turut hadir dengan ekzos berkembar yang mendapat kemasan krom dan rim aloi hitam 18 inci berwarna hitam.
Dalam pada itu, ruang dalaman Civic baharu tersebut menawarkan konsep segar dengan reka bentuk berkonsep suasana dan terbuka untuk memberi penglihatan lebih jelas melalui ruang cermin yang luas.
Bahkan, ciri menjadi tarikan utama ialah penggunaan panel Honeycomb Mesh yang menyerlahkan sentuhan premium pada papan pemuka kenderaan itu.
Civic itu turut memiliki reka bentuk tempat duduk baharu yang memberi sokongan posisi badan untuk keselesaan ketika memandu.
Varian RS didatangkan tempat duduk kombinasi kulit dipadankan jahitan benang merah, stereng kulit, lapisan siling hitam, pedal kaki sport dan pencahayaan ruang kaki.
Selain itu, varian RS dan V dilengkapi paparan audio berukuran 9-inci yang boleh dipadankan dengan Apple CarPlay serta Android Auto dan dua slot USB di bahagian hadapan.
Antara ciri-ciri standard untuk semua varian ialah Paparan Kluster Meter (TFT) Interaktif berukuran 7-inci, 2 slot USB untuk tempat duduk belakang, dan Pengelap Cermin Pintar.
Honda Civic baharu itu mendapat khidmat enjin 1.5L i-VTEC Turbocharged yang mampu menjana kuasa maksimum 182PS dan tork 240Nm.
Jentera serba baharu tersebut didatangkan mod pemanduan baharu ECON, Normal dan Sport yang mudah dipilih menggunakan suis Drive Mode.
Dari segi keselamatan, ia dilengkapi Honda SENSING dipertingkatkan dengan ciri baharu Sistem Notifikasi Kenderaan Hadapan Berlepas (Lead Car Departure Notification System), pertama kali diperkenalkan untuk model kereta Honda Malaysia.
Ciri-ciri lain termasuk Kawalan Pemanduan Adaptif (Adaptive Cruise Control), Sistem Mengikuti Kenderaan (Low Speed Follow), Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (Collision Mitigation Braking System), Sistem Amaran Pelanggaran Hadapan (Forward Collision Warning), Sistem Bantuan Kekal Lorong (Lane Keep Assist System), Sistem Mitigasi Keluar Dari Jalan (Road Departure Mitigation) dan Amaran Keluar Lorong (Lane Departure Warning).
Civic Serba Baharu itu juga adalah model ketiga Honda Malaysia yang menampilkan teknologi inovatif terbaru Honda CONNECT.
Untuk maklumat lanjut atau sesi pandu uji Civic Serba Baharu, boleh mengunjungi mana-mana 102 pusat jualan sah Honda di seluruh negara atau hubungi talian Tol Percuma Honda di 1-800-88-2020 atau layari laman web www.honda.com.my atau muat turun aplikasi HondaTouch.
- BACA: HONDA CIVIC TYPE R 2023 BAKAL SERTAI TOKYO AUTO SALON – TAPI MASIH PAKAI JAKET CAMO
- BACA: TEMPAHAN HONDA CIVIC GEN KE-11 KINI DIBUKA. 1.5L VTEC TURBO, HONDA SENSING
- BACA: PANDU UJI: HONDA CIVIC FE 2022. PERCAYALAH, ANDA AKAN SUKA SEDAN INI
- BACA: HONDA CIVIC Si, 1.5 VTEC TURBO 200 HP 6 KELAJUAN MANUAL!