Buletin

LEBUH RAYA PALING TINGGI DI MALAYSIA, BUKIT KUKUS DIBUKA KEPADA ORANG RAMAI

Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus di Paya Terubong di George Town, Pulau Pinang yang memiliki ketinggian 61.5 meter mula dibuka kepada orang ramai.

Ia merupakan ikon terbaharu Pulau Pinang apabila melakar rekod sebagai lebuh raya paling tinggi di Malaysia.

Pembukaan lebuh raya itu juga dijangka mengurangkan kesesakan jalan raya di negeri Pulau Mutiara itu sehingga 30 peratus.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, selepas enam tahun mengharungi pelbagai cabaran, akhirnya, Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus dibuka.

Katanya, projek berkenaan yang dibiayai Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu adalah bagi menampung perkembangan pesat negeri tersebut berikutan pertambahan jumlah trafik di kawasan berkenaan.

“Walaupun kos pembinaan dan pengambilan tanah ditanggung oleh MBPP (sebanyak) RM378 juta, ia adalah projek yang dijanjikan oleh kerajaan negeri dengan mengambil kira pembangunan yang pesat di kawasan ini yang memerlukan sistem jalan bagi menampung memenuhi isi padu trafik,” katanya.

Kon Yeow turut memaklumkan, projek berkenaan terbahagi kepada tiga bahagian dengan dua daripadanya dibiayai oleh pihak pemaju swasta berikutan jajaran jalan berkenaan melalui tanah pembangunan masing-masing dan dijangka siap pada 2025.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai isu keselamatan, Setiausaha Bandaraya MBPP, Ir A. Rajendran berkata, projek berkenaan direka mengikut piawaian Malaysia Standard (MS) dengan mengambil kira kawalan had laju, radius selekoh, central island, laluan pejalan kaki dan saliran perparitan.

Selain itu, katanya, projek itu memperoleh khidmat perundingan daripada syarikat berpengalaman membabitkan aspek reka bentuk di lebih 300 cerun dalam negara termasuk melantik pakar geologi yang mengkaji cerun secara spesifik.

Secara keseluruhannya, projek berkenaan menelan kos RM545.6 juta sepanjang 5.5 km yang menghubungkan tiga laluan utama iaitu Paya Terubong (Jalan Thean Teik)-Bukit Jambul dan Balik Pulau- Jalan Tun Sardon.

Laluan itu merupakan alternatif kepada penduduk di kawasan Paya Terubong dan Air Itam untuk berhubung dengan kawasan Bukit Jambul, Bukit Gambir, Balik Pulau dan kawasan sekitarnya.

Projek itu pernah menimbulkan kontroversi apabila sebahagian struktur dalam pembinaan runtuh dan mengorbankan sembilan mangsa selain tiga orang cedera dalam kejadian pada Oktober 2018. – AWANI

Google ads
Back to top button