HONDA STEP WGN 2022 DIPERKENAL DI JEPUN, GAYA RINGKAS BERKOTAK!
Terima kasih kepada pengimport kenderaan bebas kerana membawa masuk Honda STEP WGN dan membolehkan pengguna tempatan merasainya.
Segmen van sebegitu dibuat untuk pasaran Jepun dan perlu mematuhi peraturan dari segi dimensi jadi tidak hairan mengapa model setara seperti Nissan Serena dan Toyota Voxy mempunyai bentuk badan langsing dan tinggi.
STEP WGN recond yang dibawa masuk ke negara kita adalah dari generasi kelima dan diperkenalkan pada tahun 2015.
Memasuki tahun 2022, Honda memperkenalkan STEP WGN generasi keenam pada 7 Januari.
Apa yang menarik?
Kekal berkotak malah lebih berkotak daripada generasi sebelumnya. Untuk model terbaru ini, Honda memperkenalkan dua varian iaitu STEP WGN AIR dan STEP WGN SPADA.
Step WGN baharu dibangunkan dengan konsep nice life dan ciri yang dizahirkan menepati tema tersebut dan ia memang dibuat untuk manusia.
Bukan juga untuk kuasa tinggi atau gaya van mafia tetapi untuk penumpang menikmati kehidupan.
Perbezaan Step WGN Air dan Step WGN Spada
Step WGN Spada bukan varian baharu kerana ia sudah ditawarkan pada model terdahulu.
Untuk generasi keenam, Honda membezakan Step WGN Air dengan bentuk ringkas manakala Step WGN Spada pula tampil lebih ekspresif.
Menambah lagi gaya dan pilihan, Honda turut menawarkan STEP WGN SPADA PREMIUM LINE dengan beberapa tambahan fungsi.
Dari gayaan depan, bampar depan Step Wgn Spada tampil sporti beserta spoiler belakang yang berjaya membawa identiti tersendiri.
Model sama, lampu depan sama tapi kedua-dua nampak berbeza.
Pada bahagian dalam, Step WGN Air menggunakan tema warna cerah bagi menimbulkan suasana ala ruang tamu. Step WGN Spada pula membawa gaya gelap bagi menampakkan imej bergaya.
Reka bentuk dalaman dengan garisan melintang dan ringkas dibuat supaya penumpang berasa lega dan boleh mengurangkan mabuk perjalanan.
Memang betul, Honda mahu mengurangkan rasa mabuk atau pening di dalam kereta.
Selain itu, Honda membalut kerusi Step WGN dengan bahan tahan air dan minyak supaya senang dicuci.
Kerusi penumpang untuk praktikaliti keluarga
Ini bukan Honda Civic atau Accord dan Honda membangunkan Step WGN untuk benar-benar dinikmati keluarga.
Sebagai contoh kerusi baris kedua bukan setakat boleh ditarik ke belakang tetapi juga ditolak ke kanan dan kiri.
Larasan itu membolehkan kanak-kanak duduk di sudut yang senang nampak dari kerusi baris pertama. Kerusi baris ketiga pula mempunyai simpanan di bawahnya.
Honda turut meninggikan posisi kedudukan kerusi baris ketiga manakala bentuk kerusi depan dan penyandar kepala direka supaya penumpang dapat menikmati pandangan yang terbuka.
Honda juga menambah ketebalan kusyen supaya penumpang baris ketiga dapat duduk selesa.
Guna enjin apa?
Honda tidak memperincikan rangkaian kuasa Step WGN kecuali gambar yang menunjukkan ia dikuasakan nadi e: HEV iaitu hibrid.
Model sebelum ini ditawarkan dengan 1.5L VTEC Turbo dan 2.0L i-VTEC i-MMD.
Dengan reka bentuk sebegini adakah ia mampu menarik perhatian pengguna tempatan jika unit recond dibawa masuk?
Jika tidak gemar, Step WGN generasi kelima turut mempunyai versi Mugen dan Modulo X yang bergaya dan boleh jadi versi sama ditawarkan juga untuk Step WGN baharu.
BACA: HONDA FRANZ SYSTEM, BANTU OKU TANPA TANGAN PANDU KERETA!
BACA: HONDA N-BOX CUSTOM STYLE + BLACK BAHARU, GAYA LEBIH PREMIUM!
BACA: NAK BELI ENJIN K20C1 CIVIC TYPE R? ADA DI AS, DARI RM28K SAHAJA!