Buletin

HONDA MALAYSIA SASAR JUALAN BULANAN CR-V SERBA BAHARU SEBANYAK 1,000 UNIT

Honda Malaysia menutup tahun 2023 dengan pelancaran Honda Comfortable Runabout Vehicle (CR-V) generasi keenam CKD.

Susulan trend pasaran semasa dan permintaan SUV semakin meningkat, Honda Malaysia menyasarkan sasaran jualan bulanan sebanyak 1,000 unit.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hironobu Yoshimura berkata sejak tempahan dibuka pada November lalu sebanyak 2,000 tempahan sudah diterima setakat ini.

 “Pelancaran model serba baharu ini bersesuaian dengan trend pasaran terkini dan permintaan dalam segmen SUV,” katanya.

“Untuk tiga suku pertama tahun 2023, penjualan CR-V mengalami pertumbuhan sebanyak 10 peratus jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada 2022.”

Model itu juga kekal sebagai pilihan No.1 di dalam segmen SUV bukan nasional bersaiz sederhana untuk tempoh yang sama.

“Dengan model baharu ini, kami bukan sahaja mengambil satu langkah ke depan; kami turut membuat lonjakan besar dalam segmen ini,” tambahnya.

Untuk rekod, model generasi keenam itu ditawarkan dengan tiga varian iaitu V yang dijual pada harga RM181,900, E bermula RM169,900 dan S dari RM159,900.

Sementara, varian e:HEV RS hanya tersedia pada awal 2024, dan Honda Malaysia akan mengumumkan harga apabila tempoh penghantaran semakin hampir.

Turut didedahkan ketika sidang media ialah Honda ada mempertimbangkan untuk model tujuh tempat duduk tetapi selepas mengambil kira keupayaan di kilang, hanya model lima tempat duduk sahaja ditawarkan bagi pasaran Malaysia.

Mengenai PHEV dan EV di Malaysia, Honda bagaimanapun sedang mengkaji hala tuju elektrifikasi Malaysia.

Perkembangan berkaitan, sempena ulang tahun ke-75 Honda dan pada masa yang sama, meraikan 20 tahun CR-V sebagai model pengeluaran pertama dari kilang Melaka, CR-V Serba Baharu Varian S ditawarkan pada harga RM157,900, terhad kepada 750 unit sahaja.

Google ads
Back to top button