
HONDA N-BOX LAKU KERAS DI JEPUN, CATAT JUALAN 202,197 UNIT TAHUN 2022
Kei car Honda N-Box mencatat jualan paling laris dengan 202,197 unit pada tahun 2022. Ini membuktikan bahawa kei car itu sangat popular dalam kalangan rakyat Jepun.
Berkonsepkan minivan lima pintu dengan kapasiti enjin yang kecil, Honda menggunakan falsafah “man maximum, machine minimum” yang kemudiannya menjadi ciri khas N-Box.
Honda N-Box ditawarkan dengan pilihan varian G dan Custom, di mana kedua-duanya mempunyai enjin DOHC 3 silinder sebaris dengan pengecasan turbo.

Kuasa enjin turbo ini mampu mencecah sehingga 63hp pada 6,000rpm dan tork 104Nm pada 2,600rpm. Maklumat lain, Honda N-Box mampu bergerak sejauh 20 hingga 25km dengan hanya 1 liter petrol.
Untuk pergerakan harian di bandar yang sesak, menggunakan kereta kecil atau minivan adalah langkah bijak, jadi tidak mengejutkan ia mencatatkan pertumbuhan jualan begitu banyak.
Mengekori rapat catatan jualan tinggi adalah Toyota Yaris (168,557 unit), Toyota Corolla (131,548 unit), Nissan Note dan Toyota Roomy.
Dalam perkembangan sama, kenderaan elektrik juga menunjukkan catatan jualan yang tinggi di pasaran negara matahari terbit itu dengan Nissan Sakura EV telah terjual sebanyak 21,887 unit, manakala Mitsubishi eKX mencatat jualan 4,175 unit.
Nissan LEAF, kenderaan elektrik sepenuhnya oleh Nissan terjual sebanyak 12,732, melonjak 17 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. – Careta