JUALAN HONDA N LEPASI 4 JUTA UNIT, N-BOX SAHAJA LEBIH 2.7 JUTA!
Honda N-Box merupakan kereta mini (kei-car) buatan Jepun paling laris di dalam negara. Sejak 2019 sehingga November 2024 sebanyak 1,310 N-Box telah didaftarkan.
Selain N-Box, pengimport bebas turut membawa sebuah lagi siri N iaitu N-One. Di negara asal, siri N terdiri daripada pelbagai model seperti N-Wgn, N-Van dan N-Van e:.
Terbaru Honda mengumumkan jualan keseluruhan siri N setakat November 2024 sudah pun melebihi empat juta unit!
Pembangunan siri N bermula dengan kehendak Honda yang mahu membangunkan kenderaan baharu yang terbaik untuk Jepun.
Bermula dari N-Box generasi pertama pada Disember 2011, siri N dikembangkan berdasarkan sasaran mahu menghasilkan kereta yang memenuhi gaya hidup warga Jepun.
N-One dihasilkan bagi menjadi kereta peribadi terbaik untuk setiap orang, N-Wgn untuk kebolehgunaan dan rekaan yang bersebati di dalam kehidupan manakala N-Van menumpukan pada kehidupan individu bekerjaya.
N-Box merupakan terjemahan kepada falsafah M/M Honda (Man Maximum, Machine Minimum) dan turut membawakan prestasi dinamik dan ciri-ciri lain yang menarik.
N-Box generasi kedua pula hadir dengan teknlogi bantuan pemanduan Honda Sensing sebagai ciri asas.
N-Box kini berada di dalam generasi ketiga selepas diperkenal pada Oktober 2023 dan seperti sebelumnya diterima baik oleh pengguna.
Pada September 2024, Honda melancarkan N-Box Joy dan sekali lagi dibangunkan mengikut gaya hidup pelanggan.
Selari dengan perkembangan dunia elektrifikasi, Honda memperkenalkan N-Van e: iaitu kenderaan elektrik perdagangan yang diasaskan dari N-Van dan menjadi EV pertama dalam siri N.
Daripada lima model N, paling laris semestinya N-Box dan jualan sudah pun mencecah 2,724,003 unit. Kedua terlaris dipegang N-Wgn dengan jualan 743,497 unit.
Fakta jualan siri Honda N
Kedudukan dan jumlah jualan:
- N-Box: 2,724,003 unit (sejak 2011)
- N-Wgn: 743,497 unit (sejak 2013)
- N-One: 327,688 unit (sejak 2012)
- N-Van: 218,647 unit (sejak 2018)
- Jualan keseluruhan: 4,013,835 (November 2011 – November 2024)
Garis masa Honda N
- Disember 2011: Pelancaran N-Box
- Julai 2012: Pelancaran N-Box +
- Ogos 2012: N-Box + akses kerusi roda
- November 2012: Pelancaran N-One
- September 2013: Jualan melebihi 500,000 unit
- November 2013: Pelancaran N-Wgn
- Disember 2014: Pelancaran N-Box Slash
- Februari 2015: Jualan melebihi 1 juta unit
- November 2016: Jualan melebihi 1.5 juta unit
- September 2017: Pelancaran N-Box generasi kedua
- April 2018: Pengenalan dan spesifikasi N-Box slope
- Jun 2018: Jualan melebihi 2 juta unit
- Julai 2018: Pelancaran N-Van
- Ogos 2019: Pelancaran N-Wgn generasi kedua
- November 2019: Jualan melebihi 2.5 juta unit
- November 2020: Pelancaran N-One generasi kedua
- June 2021: Jualan melebihi 3 juta unit
- Mac 2023: Jualan melebihi 3.5 juta unit
- Oktober 2023: Pelancaran N-Box generasi ketiga
- September 2024: Pelancaran N-Box Joy
- Oktober 2024: Pelancaran N-Van e:
- November 2024: Jualan melebihi 4 juta unit