
NISSAN SAKURA DILANCARKAN DI JEPUN – KEI CAR EV 63 HP, DARI RM61K
Nissan Sakura merupakan sebuah lagi kei-car berkuasa elektrik yang menyerang pasaran Jepun baru-baru ini, dan ia sebenarnya merupakan versi produksi kepada konsep IMk yang telah diperlihatkan tiga tahun yang lalu.
Berkongsi platform dengan Mitsubishi (eK X EV), Nissan Sakura membawakan ukuran sepanjang 3,395 mm, lebar 1,475 mm, tinggi 1,655 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,495 mm.

Ia juga merupakan EV yang ringan, dengan berat sekitar 1,070 kg yang mampu memuatkan sehingga empat orang pada satu-satu masa, dan muatan kargo sebesar 107 liter sahaja.
Dari segi kuasa, Nissan Sakura hadir dengan motor elektrik tunggal 63 hp dan 195 Nm, serta pek bateri 20 kWh yang membolehkan keicar elektrik ini bergerak sejauh 180 km.
Nissan Sakura turut menyokong pengecasan pantas selama 40 minit untuk pengisian sehingga 80 peratus, atau pengecasan domestik selama lapan jam sehingga penuh.

Nissan Sakura boleh bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk isi rumah, di mana ciri ini amat berguna terutama ketika keputusan bekalan elektrik, atau digunakan sebagai genset ketika melakukan aktiviti luar.
Nissan Sakura turut didatangkan dengan ciri keselamatan ProPILOT Park yang pertama seumpamanya untuk segmen kei-car, selain ciri pemanduan pedal tunggal dan pilihan mod pemanduan Sport, Standard ataupun Eco.
Harga jualan bermula dari 1.78 juta yen (RM61 ribu) di pasaran Jepun.






