Buletin

HONDA N-BOX Slope 2023, BOLEH BAWA KERUSI RODA, DARIPADA RM58 RIBU

Di dalam pasaran kenderaan import terpakai (recond), terdapat syarikat yang membawa masuk model welcab dengan kerusi penumpang boleh diturunkan ke luar kereta.

Ciri tersebut memudahkan warga emas, orang berkelainan upaya atau sesiapa yang menggunakannya. Di antara model yang popular ialah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan Vellfire.

Tidak semua memerlukan kenderaan besar dan terdapat pilihan lain seperti kereta mini (kei-car) dengan fungsi sama atau jenis muatan kerusi roda dari pintu belakang.

Contoh terbaru ialah Honda N-BOX Slope dan N-BOX Custom Slope yang mula ditawarkan serentak dengan N-BOX baharu pada 6 Oktober 2023.

N-BOX Slope dilengkapi winc elektrik untuk menarik kerusi roda dengan fungsi larasan kelajuan dan pembetulan laluan sebagai ciri asas. 

Pelantar kerusi roda pula boleh dilipat rata untuk kegunaan lain seperti membeli-belah, rekreasi dan sebagainya. N-BOX Slope juga kekal dengan muatan empat penumpang.

N-BOX baharu ditawarkan dalam dua jenis enjin iaitu 660cc turbo atau 660cc naturally-aspirated dengan padanan transmisi CVT dan pilihan pacuan dua roda (2WD) atau empat roda (4WD).

Tiada enjin turbo untuk N-BOX dan pengguna diberi pilihan pacuan 2WD atau 4WD.

Seiring dengan model baharu, Honda memperkemaskan kedua-dua enjin dan kawalan tukaran gear CVT untuk pemanduan lebih berkualiti.

Selain itu, fungsi melahu henti juga ditambah baik supaya enjin tidak dimatikan ketika parkir ke depan apabila pemandu menukar gear semasa berhenti (D atau N) kepada parkir (P).

Satu lagi perkara menarik ialah walaupun berat N-BOX baharu bersamaan model sebelumnya, badan dan casis kereta mempunyai ketegaran yang lebih seimbang dan tinggi.

Honda turut menambah bahan penebat dan penyerap bunyi supaya bahagian dalam kereta lebih senyap dan selesa.

Dari segi teknologi terhubung, N-BOX merupakan kereta mini Honda pertama yang dilengkapi Honda CONNECT yang membolehkan pemandu membuat pelarasan dan pengawasan melalui telefon pintar.

Seperti model sebelum, Honda SENSING kekal sebagai ciri asas dan mempunyai dua ciri baharu iaitu Fungsi Brek Kelajuan Rendah dan Pencegahan Pecutan Tidak Sengaja.

Memandangkan N-BOX Slope mempunyai kapasiti empat penumpang, pengimport boleh mempertimbangkannya untuk dibawa masuk ke pasaran tempatan. 

Selain kegunaan peribadi, kereta ini boleh digunakan untuk khidmat kebajikan. Harganya juga lebih rendah berbanding MPV welcab.

Jenis dan Harga Honda N-BOX Slope 2023:

N-BOX CUSTOM Slope

  • 2WD – 2,067,000 yen (RM65,612)
  • 4WD – 2,188,000 yen (RM69,455)

N-BOX Slope

  • 2WD – 1,844,000 yen (RM58,533)
  • 4WD – 1,965,000 yen (RM62,374)
Honda N-BOX 2023
Google ads
Back to top button