Artikel Pilihan

HONDA NSX: SUPERCAR HIBRID

Sebut sahaja jenama Honda, mungkin kita akan terbayangkan beberapa produk yang dihasilkan dibawah jenama Honda seperti Civic Type R dan juga motosikal CB1000R ataupun model EX5 yang cukup sinonim dengan rakyat jelata. Tapi sebenarnya Honda sudahpun memperkenalkan pelbagai variasi produk di dalam portfolio syarikat pembuatan mereka.

Selain daripada kereta dan motosikal, Honda turut menghasilkan skuter, moped (aka kapcai), generator, robot pemotong rumput, mesin rumput, janakuasa elektrik mudah alih, enjin bot, peniup angin untuk kegunaan kebun dan juga kapal terbang. Menarik juga bagaimana Honda mengembangkan idea perniagaannya dan mencari pasaran baru di dunia

Pada tahun 1986, Honda memperkenalkan jenama Acura di Amerika sebagai satu entiti baru di bawah Honda bagi memasarkan kenderaan mewah dan berprestasi tinggi dengan konsep perniagaan yang sama dengan Lexus-Toyota. Namun kekurangan Acura apabila ia dipasarkan di Amerika ialah mereka tiada model halo atau flagship model untuk dijual

Jadi Honda memperkenalkan NSX dengan menjadikan Ferrari 328 sebagai penanda aras bagi model ini. Honda meminta Ayrton Senna yang pada masa itu menjadi pelumba Mclaren-Honda menguji NSX dan hasilnya Honda meningkatkan ketegaran cesi sehingga 50% berbanding dengan cesi asal dan menjadikanya 40% lebih ringan. Pelumba F1 dari Jepun Sotoru Nakajima dan juara Indy Amerika Bobby Rahal turut memberikan input mereka semasa proses pembangunan

Apabila NSX dilancarkan pada tahun 1990 Honda meletakkan aras baru bagi sebuah kereta sport pada ketika itu. Ia laju, boleh menyaingi Ferrari dan Porsche, senang untuk dijaga, harganya tidak mahal, memiliki ruang kargo yang munasabah, senang untuk dipandu dan jarak penglihatan depan yang cemerlang. Ia sebuah kereta sport yang lebih tertib, bertamadun dan prestasinya boleh dipuji

NSX turut dihasilkan dalam varian Type R untuk prestasi yang sedikit kasar. Namun pada tahun 2005, produksi model ini telah dihentikan sepenuhnya disebabkan permintaan yang semakin menurun. Honda mengambil masa 5 tahun untuk mengumumkan yang mereka sedang merancang untuk menghasilkan pengganti NSX dengan enjin V10. Namun sekali lagi kelembapan ekonomi dunia memaksa mereka menghentikan rancangan tersebut

Sehinggalah pada tahun 2011 barulah mereka mendedahkan konsep pengganti bagi NSX dan ditayangkan di North America International Autoshow pada tahun 2012 sebagai Acura NSX Concept. Ia mula dijual bermula tahun 2016 selepas hampir 10 tahun diambil untuk membangunkan model ini. Lama sangat ni, kalau ada bayi baru lahir, dah masuk darjah 4 dah kalau di Malaysia

Berbanding dengan versi asal yang direka di Jepun dan dihasilkan di Jepun, model baru NSX 2016 sebenarnya direka di Amerika, dipasang di Amerika dan projek ini diketuai oleh jurutera Amerika Ted Claus (tiada kaitan dengan Santa Claus). Rekaannya diilhamkan oleh Toshinobu Minami dan juga pereka Amerika iaitu Michelle Christensen. Ya walaupun Michelle ini perempuan namun dia mendalami minat terhadap automotif melalui ayahnya peminat Muscle Car.

“An American Muscle Car in an Italian Exotic car Body” kata Michelle berkenaan rekaan NSX yang baru. Sama seperti Civic generasi terbaru, Honda menggunakan khidmat jurureka daripada Amerika untuk lari daripada rekaan tradisional mereka. Jadi NSX kelihatan sangat lain dari rekaan tradisional Honda dan seperti tiada kesinambungan dari NSX generasi pertama

Cabaran bagi Michelle ialah sebaik sahaja rekaan asal siap, Honda mendapati rancangan asal mereka yang hanya bergantung pada enjin V6 natural aspirated tidak cukup berkuasa untuk melayakkan NSX bersaing dalam liga kelas supercar jadi bantuan 2 unit pendesak turbo digunakan. Sekali lagi Michelle terpaksa merombak rekaan NSX agar ia kekal kelihatan eksotik namun pada masa yang sama memiliki aliran udara yang cukup bagus bagi menyejukkan enjin turbo.

Lubang ambilan udara mendominasi ruang bampar depan pada bahagian kiri dan kanan bagi membekalkan aliran udara yang cukup bagi 9 unit heat exchanger. Unit ini akan menyejukkan sistem enjin, motor elektrik, unit bateri hibrid, sistem transmisi 9 kelajuan dan juga unit klac berkembar. Udara yang masuk di bahagian bampar akan keluar melalui vents pada bahagian penutup mengalir melalui sisi NSX dan masuk semula ke bahagian belakang melalui side vents. Di sini aliran udara akan menyejukkan unit intercooler pada ruang belakang sebelum keluar melalui rear diffuser.

Jadi rekaan NSX bukanlah saja-saja syok sendiri kerana ia dibuat bagi memenuhi tuntutan keperluan sistem penyejukan dan aerodinamik. Panel lantai bahagian bawah dibuat agar ia kekal rata dan udara di bahagian bawah bergerak lebioh laju daripada udara di bahagian atas. Dengan ini ia akan mewujudkan tekanan dari atas ke bawah (downforce) tanpa NSX memerlukan sayap belakang sebesar rak kasut. Sesetengah designer lebih sukakan clean design tanpa GT Wing kerana kereta akan nampak lebih kemas dan elegan.

Honda menggunakan teknologi space frame dalam menghasilkan kerangka asas bagi NSX dengan 2 pilihan bahan sahaja iaitu aluminium dan keluli kekuatan tinggi. Aluminium dipilih sebagai bahan utama kerana ia lebih ringan dan lebih murah untuk dihasilkan berbanding dengan karbon fiber. Panel lantai, tiang B dan pemisah antara kabin penumpang dan enjin dihasilkan dari prosess tempaan aluminium

Kerangka space frame yang menyokong panel lantai, ruang komponen hadapan kabin, dan kerangka belakang dihasilkan dari aluminium dengan kaedah extrusion. Malah Honda memperkenalkan kaedah pembinaan baru bagi menyambungkan kerangka dengan kaedah aluminium ablation dimana sambungan tadi dibuat dengan menggunakan kimpalan laser.

Secara keseluruhan memiliki panjang keseluruhan 4470mm, lebar 1940mm, dan tinggi 1215mm. Jarak antara roda pula ditetapkan pada 2630mm dengan berat keseluruhan kereta ialah 1725kg. Bagi mengekalkan identiti NSX, maka enjin V6 turbo dipasang di belakang pemandu tapi di depan gandar belakang.

Enjin JNC1 berkuasa turbo berkembar telah dipilih bagi membekalkan kuasa yang secukupnya pada Honda NSX. Ia datang dengan konfugirasi 6 silinder susunan V pada 75 darjah dengan sesaran 3500cc DOHC. Unit ini datang dengan Variable Timing Control berkembar (ala dual-VVT-i) pada injap kemasukan dan injap ekzos. Nisbah mampatan ditetapkan pada 10:1 bagi imbangan kuasa yang optimum. Sistem penghantaran kuasa menggunakan gabungan sistem pancitan terus dan port injection.

Enjin ini menghasilkan menghasilkan 500 kuasa kuda pada 6000-7500 RPM dan 542Nm tork pada 2000-6000RPM. Jika jumlah itu tidak cukup, NSX dibekalkan dengan 1 motor elektrik yang dipasang antara sistem transmisi dan enjin dan 2 motor berasingan pada roda depan. Semua motor elektrik ini akan menjana elektrik jika NSX mula membrek (brek regeneratif) dan tenaga elektrik akan dihantar untuk disimpan di Intelligent Power Unit.

IPU akan membekalkan kuasa pada motor elektrik jika keadaan memerlukan seperti membekalkan kuasa ketika tekanan turbo tidak mencukupi dan motor pada tayar depan bertindak sebagai tork-vektor menjadikan NSX sebuah supercar pacuan semua roda. Gabungan kuasa dari sistem hibrid ini menghasilkan 576 kuasa kuda dan 645Nm tork. Angka ini cukup untuk NSX memecut 0-100km/j dalam masa 2.7 saat dan halaju maksima 307km/j

Tugas penghantaran kuasa diambil oleh unit transmisi 9 kelajuan dengan sistem klac berkembar sejukan hidraulik. Minyak hidraulik kelikatan tinggi untuk NSX telah direka khas bersama-sama dengan sistem sejukan berkembar bagi menyingkirkan haba keluar dari sistem transmisi dengan pantas. 9 ratio ini boleh dipilih dengan menggunakan unit penukar gear pada roda steering

Suspensi depan dan belakang menggunakan aplikasi geometri Double Wishbone bagi memberikan kestabilan pada halaju tinggi dan juga selekoh. Kelebihan sistem ini ialah ia mampu mengekalkan jarak antara roda serta sudut toe ketika NSX mengambil selekoh walaupun selekoh tersebut berbonggol.

Sistem penyerap hentak pula boleh dilaraskan dengan Artificial Intelligent yang akan mengubah kelikatan cecair hidraulik di dalam tiub penyerap hentak dalam 1000 kali per saat dengan bantuan elektro magnetik. Dengan bantuan motor elektrik yang bertindak sebagai tork-vektor, proses memasuki dan keluar dari selekoh boleh dibuat dengan pantas dan cesi NSX kekal stabil.

Terdapat 4 mode pemanduan yang disediakan untuk Honda NSX ini seperti

Mode Senyap: NSX akan berfungsi sebagai sebuah kereta elektrik. Sesuai untuk digunakan ketika NSX keluar dari kawasan perumahan. Jika enjin dihidupkan selepas bateri kehabisan tenaga, gas ekzos akan keluar melalui silencer

Mode Sport: Merupakan mode yang telah ditetapkan setiap kali enjin dihidupkan. Dalam mode ini NSX menampilkan sikap agresif sebenarnya dan sangat sesuai untuk dipandu di kawasan bandar. Bunyi ekzos akan dihasilkan bergantung pada cara pemanduan. Namun silencer masih lagi digunakan untuk mengurangkan bunyi bising.

Mode Sport+ : sekiranya pemandu memilih untuk menggunakan mode ini, ECU akan menukar tetapan throttle, penukaran gear dan pecutan agar ia menjadi lebih agresif. Gas ekzos tidak akan melalui silencer dan menghasilkan bunyi sebenar sebuah supercar dan memenuhi ruang kabin.

Mode Litar: akan memberikan tetapan dan parameter yang paling agresif pada NSX untuk membantu pemandu mendapatkan masa pusingan litar yang terpantas. Bateri akan memastikan ia sentiasa mengecas sistem dan membenarkan tenaga elektrik dilepaskan secepat mungkin bergantung pada corak pemanduan. Mode ini juga membenarkan NSX menggunakan Launch Mode Control

Kabin NSX kekal sejati sebagai sebuah supercar yang hanya mampu memuatkan 2 orang sahaja pada satu satu masa. Kusyen ditawarkan dengan balutan kulit Alcantra yang tidak mudah terbakar. Malah ia juga menawarkan cengkaman yang lebih pada tubuh pemandu dan mengurangkan pergerakan. Semua bahagian yang bersentuhan dengan pemandu seperti siku dan lutut turut dilapik dengan kemas.

NSX turut dipasang dengan 9 pembesar suara dari jenama ELS dengan talaan khas oleh Elliot Scheiner sendiri. Bunyi yang dihasilkan cukup jelas, bass yang dihasilkan cukup dalam bagaikan anda memandu di dalam studio peribadi yang bergerak. Sistem pembesar suara ini disokong oleh unit amplifier dengan kuasa 580watt

NSX ditawarkan pada harga RM 658,552 jika dinilai berdasarkan USD ke Ringgit. Namun untuk pasaran tempatan ia menjangkau harga sekitar RM 1.2 -1.3 juta. Pada harga tersebut adakah anda akan memilih Honda NSX ataupun jenama Itali kuda melompat, kerbau ganas ataupun jenama Jerman yang tergeliat lidah untuk disebut. Nyatakan pendapat anda di ruang komen

Tags
Google ads
Back to top button