Buletin

TOYOTA YARIS 2020. ENJIN HYBRID DYNAMIC FORCE, PLATFORM TNGA

Toyota akhirnya melancarkan secara rasmi medel hatchback Yaris serba baharu untuk pasaran Jepun dan Eropah. Ia menjadi model pertama dalam segmennya yang menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA). 

Penggunaan platform yang diberi nama kod GA-B itu membolehkan Yaris menerima penambahbaikan signifikan dari semua aspek. Ini termasuklah gayaan, pengandalian, keselamatan, praktikaliti, mekanikal, teknologi dan 50kg lebih ringan. 

Berbanding model terdahulu, Yaris generasi keempat menerima rekaan yang lebih emosional bersama perkadaran dramatik. Jentera itu kini kelihatan lebih pendek, lebar dan rendah. Tapak roda yang lebih lebar (tambah 2 inci) membuatkan ruang dalaman menjadi semakin luas. 

Tempat duduk direndahkan supaya dapat memberi ruang kepala yang selesa. Yaris juga menjanjikan kualiti pemanduan yang lebih dinamik dan mengujakan. 

Gayaan luaran yang menarik perhatian termasuklah grill berwarna hitam yang besar, arca roda, bampar sporty dan  semua lampunya ialah LED. 

Ruang kabin mengetengahkan reka bentuk dan susun atur yang minimalis dengan menggunakan material berkualiti tinggi.

Ini termasuklah kemasan lembut pada papan pemuka, konsol tengah dan panel pintu. Papan pemuka juga diletakkan lebih rendah dengan stereng sedikit kecil untuk memberi pandangan hadapan yang lebih jelas kepada pemandu.  

Pemandu dihidangkan dengan paparan skrin sentuh digital untuk mengawal sistem infohibur.

Sementara maklumat pemanduan dipaparkan menerusi dua paparan meter digital dan head-up display berwarna bersaiz 10 inci. Ciri-ciri lain yang didatangkan termasuklah pengecasan tanpa wayar, pemanas stereng dan lampu ambien. 

Bergantung kepada pasaran, supermini terbaharu Toyota itu ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5 liter, 1.0 liter tiga selinder dan rangkaian kuasa Hybrid Dynamic Force. Ini ialah sistem hibrid generasi keempat yang diambil terus daripada model lebih besar seperti Camry, Corolla dan RAV4. 

Ia menggabungkan enjin petrol tiga selinder 1.5 liter Dynamic Force kitaran Atkinson dengan sebuah motor elektrik berkuasa 80PS dan bateri lithium-ion yang lebih ringan.

Toyota mendakwa rangkaian kuasa baharu itu adalah 20 peratus lebih efisien dan 15 peratus lebih berkuasa berbanding Yaris Hybrid sebelum ini. 

Khas buat pengguna di Jepun, sistem hibrid  itu didatangkan bersama pacuan empat roda elektrik, pertama seumpamanya untuk sebuah kereta kompak.

Menurut Toyota, Yaris 2020 itu direka untuk menjadi antara kereta paling selamat dalam segmennya. Jadi, ia hadir dengan pakej Toyota Safety Sense, serta beg udara pada bahagian tengah untuk melindungi penumpang hadapan sekiranya kereta dilanggar dari arah sisi. 

Di pasaran Eropah, lebih empat juta Yaris sudah terjual dengan 500,000 unit daripadanya ialah varian hibrid.    

Google ads
Back to top button