Buletin

HONDA PERKENAL EV PERTAMA e:NS1 DAN e:NP1 DI CHINA. 510KM SEKALI CAJ

Ketika pasaran barat tidak sabar menunggu model EV pertama Honda yang dibina di atas platform Ultium GM, pengeluar dari Jepun itu secara senyap-senyap memperkenalkan EV pertamanya ke pasaran China.

Dibina hasil kerjasama dengan Dongfeng Honda, EV berkenaan hadir dalam dua model iaitu e:NS1 dan e:NP1. Walaupun masih belum mendapat perincian daripada Honda, EV tersebut didakwa menggunakan bateri yang membolehkannya bergerak sehingga 510km dengan sekali caj.

Mula didedahkan kepada umum pada Oktober 2021, e:NS1 dan e:NP1 kelihatan identikal dengan HR-V baharu yang rekaannya diinspirasikan daripada model konsep  Honda Prologue.

Bahagian hadapan diserlahkan dengan sepasang lampu utama dan lampu nyalaan siang (DRL) LED nipis. EV itu juga dipasang dengan gril dan arca roda berwarna hitam berkilat.

Rekaan belakang nampaknya tidak jauh berbeza dengan HR-V baharu, terutama rekaan lampu LED, bar lampu, cermin dan spoiler bersama lampu brek ketiga yang nipis.  

Ruang dalaman pastinya jauh berbeza berbanding model sedia ada Honda. Tampil lebih futuristik, mata pasti terarah kepada skrin sentuh yang diposisikan secara menegak. Ia menjadi pusat kepada semua fungsi utama kenderaan termasuklah tetapan kawalan sistem pendingin hawa.

Foto yang dikongsi itu turut menunjukkan ciri-ciri lain seperti kluster meter digital, lampu ambien, papan pemuka yang diinspirasikan daripada Civic serta kemasan kulit hitam dan putih. Tidak ketinggalan port USB-C dan pad pengecasan tanpa wayar.

Dongfeng Honda dilapor akan menjual e:NS1 dan e:NP1 menerusi kedai-kedai khas di pusat membeli-belah di Beijing, Shanghai, Guangzhou dan bandar-bandar utama lain.

Ia juga akan mewujudkan stor dalam talian di mana pelanggan boleh membuat tempahan. Dongfeng Honda merancang untuk melancarkan 10 EV dalam siri e:N di China menjelang tahun 2027.

GALERI

Google ads
Back to top button