Artikel Pilihan

HONDA RAHSIAKAN PERKARA KECIL, JADIKAN CIVIC TYPE R FL5 LAGI LAJU

Perseteruan yang sihat antara Honda Civic Type R dan juga Renault Mégane R.S. Trophy-R menjadikan kedua dua syarikat ini sentiasa berusaha memastikan jentera mereka adalah lebih baik daripada pesaing mereka. Sudah tentu medan persaingan yang menjadi titik pertemuan antara kedua model ini ialah Litar Nurburgring atau The Ring

Pada tahun 2017, ketika Honda Civic Type R FK dilancarkan laman web Honda telah memaparkan pelbagai maklumat teknikal bagaimana jentera ini mampu mencatatkan masa 7:43.8 iaitu satu rekod yang menakjubkan bagi sebuah kereta pacuan roda depan.

Namun selepas 2 tahun, rekod ini dikuburkan oleh Renault Mégane R.S. Trophy-R dengan catatan masa 7:40.100 iaitu hampir 3 saat lebih pantas berbanding Civic Type R FK8. Hanya selepas 6 tahun berada di pasaran, barulah Honda memutuskan untuk menggantikan model FK8 dengan model FL5 yang lebih baru.

Honda Civic Type R FL5 direka dengan bahagian luaran yang lebih kemas dan ringkas, tapi paling penting ia berupaya mencatatkan masa 7:39.691 iaitu setengah saat lebih pantas daripada Renault Mégane R.S. Trophy-R. Setengah saat pun masih dikira menang tapi Honda memutuskan untuk tidak lagi memaparkan maklumat teknikal bagaimana mereka melakukannya dengan model FL5

Dari segi teknikal, adalah hampir mustahil untuk model FL5 menjadi lebih pantas berbanding dengan FK8 disebabkan model ini sebenarnya lebih berat 28kg disebabkan penggunaan bahan perekat dan pengukuhan cesi yang lebih banyak.

Berikut ialah perkara kecil yang dilakukan oleh Honda bagi memastikan ia lebih laju berbanding dengan Renault Mégane R.S. Trophy-R:

1. Rekaan turbo yang lebih baik – Honda mengecilkan diameter daripada 50mm kepada 45mm, menambah bilah kompressor daripada 6 kepada 8, tapi membesarkan saiz turbin kepada 43mm (+1mm) dan mengurangkan bilangan bilah turbin daripada 11 kepada 9.

Hasilnya biarpun menggunakan enjin yang sama, enjin FL5 menjana 329hp (FK8 320hp) dan tork 420Nm (FK8 400Nm) pada 2600 -4000 RPM. Enjin ini menjana 164.8hp per liter dan pada masa yang sama mencapai pelepasan asap Euro 6.

Pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 5.4 saat (FK8 5.8 saat) dan halaju maksima mencecah 275km/jam (FK8 272km/jam). Namun ajaibnya bacaan bahan api menurun daripada 8.5 liter/100km kepada 8.2liter/100km.

2. Cesi lebih tegar – semua pelapik getah digantikan dengan pelapik baru dan cesi FL5 menerima perekat dan spot welding yang lebih banyak bagi menaikkan ketegaran cesi sebanyak 25%. Keadaan ini menjadikan FL5 28kg lebih berat daripada FK8

3. Platform lebih stabil – bagi menjadikan platform FL5 lebih stabil, beberapa perubahan kecil turut dibuat pada cesi. Pertama jarak kelegaan dengan permukaan jalan direndahkan kepada 125mm berbanding dengan 132mm bagi model lama.

Jarak antara roda dinaikkan daripada 2699mm kepada 2734mm untuk kestabilan pada halaju tinggi. Bagi kestabilan di selekoh, lebar kedudukan tayar depan (front track) dinaikkan daripada 1584mm kepada 1625mm. Bagi rear track pula, ia dinaikkan daripada 1602mm kepada 1623mm

4. Tayar yang lebih baik – tayar 245/30 R20 daripada jenama Continental Sport Contact 6 digantikan dengan tayar yang lebih lebar. Model FL5 menerima tayar bersaiz 265/30 R19 daripada Michelin Pilot Sport 4S.

Daripada angka yang ditunjukkan, tayar ini lebih rendah, kurang satu inci daripada saiz jejari, lebar bertambah 20mm dan menerima tayar prestasi tinggi daripada Michelin.

5. Sistem penyejukan yang lebih baik – bagi menampung pertambahan kuasa enjin dan memastikan enjin beroperasi dengan maksima buat masa yang lama, Honda menaikkan kuantiti cecair penyejuk daripada 4.7 liter kepada 6.65 liter

Bukan itu sahaja, sistem penyejukan brek juga ditambah baik dengan rongga kemasukan udara di depan bampar yang baru serta, laluan udara sejuk yang diperbaiki serta rekaan skup udara yang baru di bahagian angkup brek untuk aliran udara sejuk yang lebih baik

Semua penambahbaikan ini adalah beberapa perubahan kecil yang dilakukan oleh Honda bagi memastikan jentera Civic Type R FL5 ini berjaya mengalahkan pesaingnya. Walaupun setengah saat, menang tetap menang

Google ads
Back to top button