Artikel PilihanBuletin

HONDA SUPER CUB – DICIPTA BERDASARKAN MI SOBA JEPUN!

Setiap pengeluar kebiasaannya mempunyai killer product yang boleh mencetus perubahan kepada masa depan bisnes mereka. Senang cerita, Microsoft ada Windows, Apple ada iPhone, Perodua ada Myvi atau Barisan Nasional ada BR1M (#tetiba).

Dan bila bercakap tentang mobiliti rakyat, model manakah yang betul-betul marhaen iaitu mampu beli dan mampu bela?

Volkswagen Beetle? Mini? Honda Civic? Toyota Corolla? Perodua Kancil? Proton Wira?

Jika ditanya secara peribadi. Honda Cub ialah jawapannya.

Honda C100 Super Cub adalah pencetus kepada kejayaan Honda di AS.

Honda 50 atau Super Cub mula dipasarkan dari tahun 1958 dan ia terus diproduksikan sehingga kini dalam pelbagai versi dari C70 hinggalah kepada EX-5.

Motosikal inilah yang membawa revolusi buat Honda di mana ia menerajui jenama itu ke Amerika Syarikat pada tahun 1959 dan pada era 60 an, Honda menjadi jenama motosikal terlaris di AS dan juga dunia.

Super Cub juga dilaporkan sebagai kenderaan paling banyak yang dijual di dunia di mana sehingga Mac 2014, lebih dari 87 juta unit telah dijual di lebih dari 160 buah negara.

Super Cub juga dikilangkan di 15 buah fasiliti pengeluaran di 14 negara di dunia dari timur hingga ke barat.

Tetapi bagaimana Super Cub ini bermula?

Berikut ialah kronologi penghasilan motosikal legenda ini.

  1. Ia bermula apabila Soichiro Honda dan rakan bisnes beliau, Takeo Fujisawa mengembara ke Jerman dan menyaksikan populariti motosikal kecil dan moped
  2. Honda lebih kepada kejuruteraan dan perlumbaan manakala Fujisawa pula mahir dalam bidang bisnes dan strategi
  3. Untuk kelangsungan bisnes jangka masa panjang, Fujisawa memikirkan suatu produk dan beliau merasakan motosikal kecil dan berkuasa tinggi adalah idea yang sesuai
  4. Pada masa ini, Honda pun naik bosan mendengar idea Fujisawa sebab beliau hendak berlumba dalam Isle of Man TT dan hanya fikir hendak menang
  5. Fujisawa dan Honda melawat beberapa bilik pameran motosikal untuk mengkaji motosikal mengikut apa yang dimahukan oleh Fujisawa
  6. Tiada satu pun motosikal yang Fujisawa berkenan. Beliau mahukan sebuah motosikal untuk semua orang tidak kira di bandar, pekan atau desa, negara maju atau membangun
  7. Motosikal jenis skuter hampir dengan apa yang Fujisawa mahukan tetapi ia terlalu kompleks untuk diselenggara di negara membangun manakala tayarnya yang kecil pula tidak sesuai di atas jalan dengan permukaan teruk atau destinasi tanpa jalan langsung
  8. Satu lagi ciri penting yang dimahukan Fujisawa ialah motosikal tersebut mampu ditunggang dengan sebelah tangan sambil memegang bekas mi soba (sejenis mi Jepun)
  9. Ayat yang diucapkan Fujisawa kepada Honda ialah “Kalau engkau boleh cipta sebuah motosikal 50 cc dengan pelindung untuk menutup enjin dan wayar-wayar aku boleh menjualnya, aku tidak pasti berapa banyak kedai mi soba di Jepun tetapi aku yakin banyak kedai memerlukannya untuk membuat penghantaran”
  10. Minat Honda pun timbul dan sejurus pulang ke Jepun, Honda memulakan kerja-kerja pembangunan motosikal tersebut dan selepas itu adalah sejarah buat Honda!

Honda Cub masa depan

Sementara itu, reka bentuk kenderaan terlaris dunia yang unik serta ikonik ini telah diiktiraf sebagai kenderaan pertama di Jepun yang diberi cap dagangan (trademark) tiga dimensi pada tahun 2014.

Cap dagangan itu mula diperkenal pada tahun 1997 di Jepun dan ia diberi kepada sesuatu produk yang telah lama digunakan dan secara ekstensif. 

Kriteria pemberian itu sangat ketat dan Super Cub salah satu daripada beberapa produk sahaja yang diberikan status tersebut.

Honda Cub masih dijual hingga kini dengan model terkini yang dinamakan Honda EX5 Fi. Cuma ia sudah kurang menjadi motosikal sejuta umat memandangkan selera pengguna sudah berubah dan juga saingan daripada pelbagai segmen daripada skuter sehinggalah super moped.

Jadi apa perancangan Honda?

Pada Pameran Kenderaan Tokyo 2009, Honda telah mempamerkan motosikal konsep EV-Cub yang dijanakan oleh motor elektrik.

Reka bentuknya masih mengikut konsep asal Super Cub tahun 1958 dan menurut Honda walaupun sudah lebih 50 tahun berlalu namun bentuk tubuh badan manusia masih tidak berubah, oleh itu saiz, bentuk dan posisi motosikal itu masih lagi relevan dengan penunggang!

Sudah tujuh tahun berlalu, HondaJet sudah pun siap tetapi muncung mud guard EV-Cub pun masih belum nampak.

Jadi ke tidak jadi ni?

Penawaran secara komersil Honda EV-Cub mungkin bakal menjadi kenyataan apabila Honda telah menayangkan motosikal itu di Pameran Kenderaan Antarabangsa Bangkok pada Mac 2016.

Presiden Honda dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda, Takahiro Hachigo dalam satu sidang media pada 24 Februari 2016 mengatakan mereka akan memasarkan EV Cub dalam masa dua tahun di Jepun dan kemudian disusuli oleh pasaran ASEAN yang merupakan pasaran terbesar siri Super Cub di dunia!

Nampaknya tidak lama lagi kita bakal ditawarkan Honda Cub kuasa bateri. Apa? Leceh la nak caj bateri?

Dengar kata, bateri Honda Cub ini boleh dicabut dan kalau benar apa susah, beli lah bateri asing macam telefon bimbit dulu-dulu. 

Tidak pun beli pengecas bateri asing macam telefon bimbit. Kah! Kah! Kah! Apa pun, jika menjadi maka ia adalah legenda dalam pembikinan yang berjaya merevolusi motosikal dunia seperti tahun 1958 dahulu.

BACA: 10 KATA-KATA NASIHAT SOICHIRO HONDA YANG MEMBERI INSPIRASI

BACA: MOTOGP VERSI KAPCAI – MODIFIKASI “GILA” HONDA RS150R

Google ads
Back to top button