
HONDA THAILAND LANCAR ACCORD FACELIFT – BERMULA RM164,000!
Honda Thailand hari ni melancarkan Accord yang telah ditambah baik ke pasaran tempatan dengan tema “Dunia Baru Elegan”. Sejak dilancarkan pada Mac 2013, hampir 30,000 unit Accord itu telah dijual.
Bahagian luaran Accord tampil menyerlah menerusi gril, lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL), lampu kabus LED dan lampu belakang baharu. Ruang kabin pula nampak mewah dengan kemasan kayu.
Sedan segmen D tersebut ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu 2.4-liter DOHC i-VTEC berkuasa 174hp @ 6,200rpm dan tork maksimum 225Nm @ 4,000rpm yang dibangunkan bawah Teknologi Earth Dreams Honda.
Manakala enjin 2.0 liter SOHC i-VTEC pula berkuasa 155hp @ 6,500rpm tork 190Nm @ 4,300rpm. Kedua-dua enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik lima kelajuan dan boleh menggunakan bahan api gred E85.
Ciri Engine Remote Start membolehkan enjin dihidupkan dari jauh. Accord turut hadir dengan Advanced Display Audio (A-DA) bersama ketersambungan Apple CarPlayTM, MirrorLink® dan wifi.
Dari segi keselamatan, Accord dilengkapi enam beg udara, Honda LaneWatch, Active Cornering Lights (ACL), kamera undur multi sudut dan banyak lagi.
Ditawarkan dalam tiga varian, versi 2.0 E berharga 1,385,000 baht (RM164,000), 2.0 EL berharga 1,445,000 baht (RM171,000) dan 2.4 EL 1,635,000 baht (RM194,000).
Sedan eksekutif ini boleh didapati dalam empat warna menarik iaitu kelabu, perak, putih dan hitam. Ia akan mula berada di semua pengedar Honda di Thailand pada penghujung bulan ini.