Buletin

HYUNDAI IONIQ SAINGI TOYOTA PRIUS

Selepas sekian lama berteka-teki, Hyundai Motor akhirnya mendedahkan foto rasmi dan maklumat lebih terperinci tentang model hibrid terbaharunya, IONIQ.

hyundai-ioniq-mekanika (2)

Bakal ditawarkan di pasaran Korea terlebih dahulu, IONIQ hadir dalam varian elektrik sepenuhnya (EV), hibrid dan plug-in hybrid (PHEV). Semua varian itu akan dihasilkan di atas satu kerangka tunggal.

Jentera termaju Hyundai itu dibina menggunakan besi regangan tinggi dan aluminium. Penggunaan material tersebut pada bahagian hud, belakang dan komponen suspensi membolehkan beratnya dikurangkan sebanyak 12.6kg.

hyundai-ioniq-mekanika (4)

Dinamik pemanduan dan pengendalian pula dibantu oleh posisi bateri yang diletakkan di bahagian tengah/bawah kenderaan. Di samping penggunaan suspensi multi-link pada roda belakang.

IONIQ dikuasakan oleh enjin Kappa GDi baharu bersesaran 1.6 liter yang dibangunkan khas untuk kenderaan hibrid. Enjin berkuasa 105PS itu digabungkan dengan motor elektrik (43.5PS) untuk menawarkan kuasa dan penjimatan sehingga 22.4km/l.

hyundai-ioniq-mekanika (6)

Kuasa enjin dan motor elektrik itu kemudian disalurkan ke roda menerusi kotak gear berkembar (DCT).

“Teknologi IONIQ benar-benar berbeza daripada Toyota atau mana-mana syarikat lain. Hibrid kami lebih bagus. Apabila diumumkan nanti, seluruh dunia akan terkejut,” kata Ketua R&D Global Hyundai, Yang Woong-chul.

Google ads
Back to top button