Artikel Pilihan

JENAMA MEWAH BUATAN ASIA. LEBIH POWER

Pada tahun 1970an, 1980an dan 1990an terdapat satu kitaran ekonomi yang berulang ulang terjadi iaitu ekonomi berkembang (boom) dan menguncup (burst). 1970an menyaksikan blok Arab memboikot jualan petroleum kepada Amerika sehingga menyebabkan huru hara. Kereta Amerika dengan enjin 5000cc V8 antara yang terkesan dengan situasi tersebut.

Manakala kereta Jepun dengan enjin 4 silinder yang menjimatkan bahan api mulai menakluk pasaran Amerika sehinggakan pemain industri Amerika meminta bantuan Senat untuk mengelakkan mereka daripada bankrap akibat kalah dengan persaingan kereta Jepun. Satu persetujuan dicapai antara kerajaan Jepun dan Amerika dibuat bagi menghadkan eksport kereta ke Amerika, bagi melindungi industri automotif mereka

1980an pula menyaksikan ekonomi Jepun berkembang pesat melalui eksport, tukaran Yen kepada Dollar memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada Jepun. Ketika ini industri automotif Jepun berkembang dengan sihat, memiliki simpanan tunai yang tinggi dan mampu melabur duit yang banyak untuk meneroka pasaran baru serta melakukan R&D.

Untuk mengaut keuntungan yang lebih pemain industri automotif perlu bersaing dalam liga kereta mewah seperti Mercedes, BMW, Jaguar, Rolls Royce serta jenama premium. Tapi dunia sudah mengenali Toyota, Nissan, Honda dan Mazda sebagai kereta rakyat, bukan jenama premium. Jalan yang paling mudah ialah wujudkan subsidiari jenama mewah di bawah jenama asal.

1. Acura-terkesan dengan Voluntary Export Restraint antara Jepun dengan Amerika menyebabkan Honda bertindak balas dengan melahirkan satu jenama premium baru yang diberi nama Acura. Disebabkan tiada pengalaman dalam menghasilkan kereta mewah dan model Accord tidak cukup premium untuk dieksport, maka Honda bekerjasama dengan Austin Rover Group daripada UK.

Austin Rover Group ini berpengalaman dalam menghasilkan model mewah di Eropah. Perjanjian persefahaman antara Rover dan Honda ini dipersetujui pada tahun 1981 dan pada bulan Oktober 1985 Honda Legend dilancarkan di Jepun. Berbeza dengan model Honda lain, Legend hanya dijual di pengedar baru yang khusus menjual model mahal yang dipanggil Honda Clio dealership.

Acura TLX

Honda Legend ini dijual di Amerika pada tahun 1986, namun ia tidak dijual melalui pengedar Honda biasa. Sebuah entiti dan jenama baru yang diberi nama Acura diberi hak pengedaran Legend. Acura Legend dikuasakan oleh enjin V6 2700cc yang menghasilkan 161 kuasa kuda. Pada tahun 1990 Acura menjual 138 ribu unit berbanding Mercedes (78k unit) dan BMW (64k unit).

Kalau Acura ni masuk Malaysia, mau Ripin VTEC jalan berkepak dengan lubang hidung kembang kempis

2. Lexus – kejayaan yang ditunjukkan oleh Honda menerusi jenama Acura membuatkan Toyota tidak senang hati. Mereka melancarkan Project F1 bagi bersaing dengan Honda untuk pasaran Amerika. Disebabkan 1980 merupakan zaman ekonomi Jepun berkembang, Toyota membelanjakan 1 billion USD untuk R&D model baru mereka.

Toyota mengupah Konsultan Jenama iaitu Lippincott & Margulies untuk memberi jenama baru dan tugas pemasaran di Amerika. Nama Lexus dipilih kerana ia menggambarkan “luxury & elegance” berbanding dengan Toyota yang sinonim sebagai jenama murah. Produk terbaru mereka iaitu LS400 dilancarkan pada Januari 1989 di North American Autoshow.

Tidak cukup dengan itu, Lexus turut memiliki barisan kereta sport sendiri di bawah logo F yang diberi nama Lexus F dan juga Lexus F-Sport. Huruf F dipilih. Model pertama Lexus F Sport ialah IS F dan juga Lexus LFA. Toyota dilaporkan tidak mengaut sebarang keuntungan dari jualan LFA, ia hanya membuktikan apa yang Toyota mampu hasilkan di fasiliti mereka.

3. Infiniti merupakan subsidiari di bawah Nissan bagi menghasilkan jenama mewah bagi melawan Acura dan Lexus. Namun pendekatan Infiniti berbeza di mana Nissan menggunakan model premium mereka sebagai model pertama Infiniti iaitu Q45. Model ini diasaskan daripada Nissan Presiden dengan beberapa perubahan minima dari segi rekaan.

Cubaan pertama Q45 untuk menembusi pasaran Amerika nampak kurang berjaya disebabkan rekaan luarnya tidak menepati citarasa Amerika terutama pada bahagian gril atas dan logo. Enjin 4500cc yang digunakan serta berat cesi menyebabkannya gagal mengelakkan Fuel Guzzler Tax dan menjadikan kereta ini lebih mahal daripada Lexus LS400

4. Genesis – siapa sangka jenama Korea yang diperli dalam filem Fast& Fuious: Tokyo Drift mampu menghasilkan jenama mewahnya sendiri. Semuanya bermula apabila Hyundai melancarkan model baru iaitu Hyundai Genesis pada tahun 2008 bagi memberi saingan kepada jenama premium daripada Jepun dan juga Eropah.

Selepas membelanjakan 500 juta USD untuk pembangunan, kebanyakan pemilik baru Hyundai Genesis amat berpuas hati dengan produk tersebut sehingga mereka meminta Hyundai menghasilkan satu jenama baru di bawah Hyundai. Nama Genesis dijadikan satu jenama baru dibawah Hyundai dengan pelancaran G90 pada 9 Disember 2015.

Genesis juga menampilkan otai-otai lama dalam industri automotif sebagai eksekutif mereka. Peter Schreyer berindak sebagai Presiden, Luc Donckerwolke bekas Pengarah Rekabentuk Bentley mengetuai unit rekaan Genesis, Filippo Perini (pernah mengetuai rekaan Lamborghini) dilantik sebagai Chief Designer Genesis, dan bekas ketua BMW M Division dilantik sebagai Timbalan Presiden untuk mengetuai unit prestasi tinggi.

Jadi tak hairanlah kalau Genesis meraih tempat pertama dalam kajian JD Power 2020 dengan 89 PP100. Sebagai perbandingan Lexus mendapat tempat kedua dengan 100 PP100

5. Amati – tidak semua syarikat Jepun atau Korea berjaya menghasilkan jenama premium yang baru dalam masa yang singkat. Pada bulan Ogos 1991, Mazda mengumumkan pelancaran jenama mewah mereka yang diberi nama Amati dengan model Amati 300 yang bakal dilancarkan pada tahun 1994

Berikutan kejayaan Mazda dalam model Miata MX-5, Mazda Amerika berasa optimis untuk mengkaji kemungkinan projek kereta mewah di Amerika. Malah pada Tokyo Motor Show 1989 Mazda menunjukkan sebuah enjin baru 12 silinder susunan W dengan sesaran 4000cc yang menghasilkan 276 kuasa kuda.

Malangnya perkembangan ekonomi yang dinikmati Jepun mula berakhir apabila eknominya menguncup bermula pada awal 1992 manakala pasaran Amerika pula mengalami kemelesetan ekonomi disebabkan oleh perang teluk pertama. Mazda pula telah membelanjakan 500 juta USD sebagai persiapan awal untuk melancarkan Amati 500 dan akibat kekurangan wang tunai, mereka terpaksa menghentikan projek ini.

Amati 500 yang dijadualkan memulakan pemasangan di ilang terpaksa ditukar menjadi Mazda Millenia. Millenia ini dikuasakan dengan enjin 2300cc V6 dengan kitaran Miller untuk penjimatan bahan api yang lebih baik.

Tags
Google ads
Back to top button