Artikel Pilihan

INI 8 REKAAN PETER SCHREYER YANG PALING ANGGUN

SHARE

Kalau sebut nama Peter Schreyer, kami pasti ramai pembaca yang akan mengenali susuk tubuh pereka bentuk automotif tersohor ini.

Peter dilahirkan di Bavaria Jerman pada tahun 1953 dan menamatkan Ijazah Rekabentuk Industri pada tahun 1979. Pada tahun yang sama juga Peter telah memenangi biasiswa daripada Audi bagi membolehkan beliau menyambung pelajaran ke Royal College of Art, London.

Ia merupakan sebuah institusi yang tersohor dalam menghasilkan graduan yang kreatif di dalam bidang rekabentuk dan seni.

Semasa mula mula mengetuai “Chief Design Officer” untuk Kia, Peter mengetengahkan rekabentuk “wedges design” dan hasilnya dapat dilihat pada Kia Forte yang dipasarkan di Malaysia pada 2009.

Seterusnya mungkin kerana terpesona dengan harimau, Peter menghasilkan “signature design” Kia yang terbaru iaitu Tiger Nose. Kalau dia bertemu dengan Pok Ya, mungkin dia akan terpesona dengan perut seksi Pok Ya dan mengilhamkan rekabentuk “Pok Ya Tummy”.

Mari kita tengok satu persatu rekabentuk automotif yang telah dihasilkan oleh Peter Schreyer sepanjang karier beliau

1. Audi TT

Audi TT mula dipasarkan pada tahun 1998 merupakan antara rekabentuk Peter yang lain dari yang lain. Konsep ini diilhamkan pada tahun 1995 dan hanya sedikit sahaja pengubahsuaian dilakukan semasa proses produksi pengilangan.

Walaupun telah berkhidmat dengan Audi sejak 1980, Audi TT adalah rekabentuk yang membuatkan nama beliau melonjak naik dengan pantas.

2. Kia Ce’ed

Kia Ce’ed adalah ilham terbaru Peter yang memakai lencana rekabentuk “Tiger Nose”. Model ini dibuat oleh Kia bagi menggantikan Kia Spectra menggunakan sepenuhnya rekabentuk untuk pasaran Eropah dan dijual di sana.

Ia ditawarkan dalam beberapa jenis rekabentuk bermula dari bentuk kereta kompak 3 pintu, kereta kompak 5 pintu, dan juga Station Wagon 5 pintu. Model ini juga ditawarkan dalam bentuk model sporti dengan nama Cee’d GT yang dipasang dengan menggunakan enjin 1600cc turbo.

3. VW Concept R

Volkswagen Concept R adalah satu hasil karya Peter Schreyer di bawah entiti Kumpulan VW dan telah dipamerkan pada Franfurt Auto Show pada tahun 2003.

Ia merupakan sebuah kereta roadster 2 pintu tanpa bumbung dengan konfigurasi MR (mid engine, rear wheel drive). Ia dibekalkan dengan enjin 6 silinder dengan konfigurasi V 3200cc yang menghasilkan 256 kuasa kuda.

Walau bagaimanapun kereta ini kekal sebagai sebuah kereta konsep dan tidak pernah dihasilkan oleh Kumpulan Volkswagen

4. Kia Optima

Kia Optima atau Kia Magentis adalah sedan segmen D yang telah dipasarkan bermula pada tahun 2000 namun sambutannya kurang menggalakkan.

Mulai tahun 2010, model TF ini mula mendapat sentuhan seni Peter Schreyer dan seterusnya model Optima JF. Uniknya, model ini sebenarnya berkongsi platform yang sama dengan Hyundai Sonata YF dan juga Hyundai Sonata LF.

Namun kedua dua model ini dibezakan melalui penggayaan bahasa rekabentuk yang sangat berbeza. Sonata direka agar nampak lebih matang manakala Optima pula ke arah reka bentuk muda dan berani. Pada tahun 2016, Kia Optima JF memenangi anugerah Red Dot Best of The Best Award.

5. Kia GT Concept /  Kia Stinger

Model ini mula dipamerkan pada Franfurt Motor Show 2011, merupakan sebuah sedan 4 pintu dengan konsep GT.

Grand Tourer adalah sebuah kereta prestasi tinggi yang digabungkan dengan keselesaan dengan fokus pemanduan laju untuk jarak yang jauh.

Konfigurasi model ini ialah sebuah kereta dengan tempat duduk 2+2, enjin berada di depan dan kuasa akan disalurkan ke bahagian belakang.

Model konsep ini diterjemahkan dengan Kia Stinger yang mula dilancarkan pada 2017 dengan 2 pilihan enjin 2000cc turbo ataupun 3300cc turbo berkembar V6.

Stinger memenangi anugerah Red Dot Award dalam kategori ” Best of Best Car Design” pada tahun 2018

6. VW Beetle

Untuk melahirkan semula satu model yang popular bukanlah satu kerja mudah seperti VW Beetle ini.

Bagi memenuhi keperluan undang undang keselamatan jalan raya dan juga kos, enjin sejukan air kereta ini dipindahkan ke depan dan tayar depan diberikan tugas menggerakkan kereta ini. Peter telah diberikan tanggungjawab bagi mereka New Beetle.

Kereta konsep model ini telah dilakar pada tahun 1995 dan model ini mula dipasarkan bermula tahun 2001. Ia masih mengekalkan bentuk retro namun diberikan beberapa sentuhan agar ia nampak moden dan masih lagi comel.

7. Hyundai Tucson

Model asal Tucson diberi kod nama JM manakal model kedua LM diberikan sentuhan rekabentuk “fluidic sculpture”.

Walaupun terdapat evolusi yang besar dari model pertama kepada model kedua, Peter telah merombak semula Tucson ini dan generasi ketiga diberi kod nama TL.

Peter memperkenalkan identiti krom grill baru pada Tucson dengan logo Hyundai seperti terapung di tengah grill. Bagi menambahkan identiti Tucson yang baru, lampu depan LED digandingkan dengan lampu DRL pada bahagian bampar menampilkan rekabentuk yang lebih moden dan agresif.

8. Kia GT4 Stinger

Model ini dipertotonkan untuk umum pada tahun 2014, namun sehingga kini model ini masih belum direalisasikan menjadi produk jualan.

Namun ciri lampu di bahagian bampar ini mula hadir pada Hyundai Kona. Peter pernah memberikan bayangan yang model ini mungkin akan dijelmakan sebagai sebuah kereta sport dengan kuasa elektrik. Hanya masa menentukan bilkah model ini akan dipasarkan kepada umum.

Tags
Google ads
Back to top button