Buletin

HYUNDAI LANCAR PALISADE DI INDONESIA. 3 VARIAN, 2.2L TURBO DIESEL, 7 TEMPAT DUDUK, BERMULA RM223K SEUNIT

PT Hyundai Motors Indonesia (HMID) baru-baru ini membuka tempahan untuk SUV premium Palisade di pasaran republik tersebut. Dijadual dilancarkan pada Januari 2021, Palisade akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Palisade Prime, Signature dan Signature AWD.

Harganya pula bermula 777 juta rupiah (RM222,821) untuk Prime. Manakala varian Signature dan Signature AWD berharga 888 juta rupiah (RM254,650) 1.078 bilion rupiah (RM309,139) seunit.

Harga itu masih boleh dianggap berpatutan jika dibandingkan dengan apa yang boleh ditawarkan oleh SUV mewah tujuh tempat duduk berkenaan.

Model yang asalnya dibina untuk pasaran Amerika Syarikat itu memiliki rekaan sebuah SUV yang mantap. Bahagian hadapan diserlahkan oleh gril besar bersama lampu utama LED yang diposisikan secara menegak.

Rekaan lampu vertikal yang nipis itu diteruskan pada bahagian belakang. Penampilan dari arah sisi disempurnakan dengan garis badan yang maskulin, arca roda berwarna hitam serta penggunaan rim bersaiz 18 dan 20 inci, bergantung kepada varian yang dipilih.

Ketiga-tiga varian itu menggunakan khidmat enjin diesel CRDi 2.2 liter berkuasa 200PS dan tork 411Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan atau AWD menerusi kotak gear lapan kelajuan automatik dengan sistem shift-by-wire.

Pemandu boleh memilih empat mode pemanduan iaitu Comfort, Eco, Sport dan Smart bergantung kepada keperluan. Hyundai juga melengkapi Palisade dengan Multi-Terrain Control yang boleh  diaktifkan hanya menekan tombol untuk beralih dari Drive Mode ke Terrain Mode.

Kemewahan jentera itu lebih ketara apabila masuk ke dalam ruang kabin. Papan pemuka yang diberi kemasan kayu dihuni oleh paparan infohibur bersaiz lapan inci dengan kluster meter 3.5 inci untuk varian Prime.

Bagi varian Signature dan Signature AWD pula, skrin infohibur menggunakan paparan sentuh bersaiz 10.35 inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto.

Tempat duduk dengan ciri ventilasi serta pemanas, kemasan pada pintu dibalut dengan kulit Nappa.

Captain seat pada baris kedua memberi keselesaan maksimum kepada penumpang. Kerusi baris ketiga juga dikatakan cukup luas untuk penumpang dewasa.

Bagi membuatkan ruang dengan susun atur tempat duduk 2-2-3 itu terasa lebih luas, Palisade dipasang dengan bumbung suria berkembar (varian Signature).

Ciri kemudahan pula terdiri daripada7 port USB, kawalan suhu tiga zon dengan ionizer, pintu belakang kuasa  dan banyak lagi.

Dari segi keselamatan, Palisade menerima piawaian lima bintang daripada Pantadbiran Keselamatan Trafik Kebangsaan (NHTSA) dan Institut Insurans untuk Keselamatan Lebuh Raya (IIHS) Amerika Syarikat.

SUV itu dilengkapi enam beg udara, selain sistem bantuan pemandu seperti Pemantauan Titik Buta, Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), Safe Exit Assist, amaran penumpang belakang dan banyak lagi.

Pilihan warna yang ditawarkan ialah hitam, putih, kelabu dan perak. Sementara pilihan untuk tona ruang kabin ialah hitam, hitam-burgundy, biru dan kelabu cerah.   

Persoalannya, adakah Palisade akan masuk ke pasaran Malaysia? Kalau dilihat kepada pendekatan agresif yang ditunjukkan oleh Hyundai-Sime Darby sejak kebelakangan ini, harapan itu mungkin ada.

Cuma, dengan cukai yang tinggi terhadap model CBU, harganya mungkin kurang mesra pengguna. Kita tunggu sahaja…  

GALERI

Google ads
Back to top button