
Hyundai Veloster – Imej sporty tanpa kompromi
Veloster menjadi bukti kematangan Hyundai dalam menghasilkan jentera yang mempunyai pakej lengkap.
Hanya dengan memandang kereta ini buat pertama kali, anda pastinya sudah dapat merasakan kelainan yang cuba ia tonjolkan. Pernyataannya mungkin adalah ini; Hyundai melangkah jauh ke depan dengan memberi tumpuan kepada penghasilan kereta dengan kualiti reka bentuk yang begitu matang.
Ramai yang akan memalingkan pandangan kepada kereta ini. Unit yang dipandu uji ini mempunyai segala daya penarik yang diinginkan oleh mana-mana pengeluar kenderaan untuk produk mereka – warna hijau cerah yang tak akan terlepas pandang oleh sesiapa pun yang dipadankan dengan arah rekaan kereta sport yang begitu ideal untuk memikat.
Bukan itu saja keunikannya. Dekati kereta ini dan perhatikan betul-betul. Untuk ruang penumpang di belakang, pintunya hanya ada pada satu sisi sahaja, iaitu di sebelah kirinya. Di belakang pemandu, tak ada pintu untuk dibuka. Ini sekaligus menjadikan Veloster kereta penumpang yang benar-benar ingin tampil unik dan meletakkannya dalam kelas tersendiri.
Sentuhan sporty di bahagian luar turut menerima lanjutan pada bahagian dalamannya juga. Walaupun dengan reka bentuk hatchback, ruang untuk penumpang baik yang di hadapan, mahupun yang di belakang tetap luas. Memadai untuk mengekalkan penumpang dewasa untuk duduk dengan selesa sepanjang perjalanan.
Veloster juga tidak hanya mempamerkan sentuhan sporty di luar. Setiap perincian di dalam kabin, baik tempat duduk, aliran papan pemuka, tombol kawalan, pemegang dan tuil pembuka pintu semuanya diberi perhatian untuk melengkapi imej keseluruhan kereta ini.
Suasananya amat kondusif untuk membolehkan anda menumpukan perhatian kepada pemanduan. Tidak lupa juga kepada bumbung panoramik yang turut menyuntik sisi elegan kepada kereta ini.
Bagaimana pula dengan prestasinya, adakah perkara itu menepati imej yang cuba ditonjolkan? Veloster bukanlah sebuah kereta prestasi tinggi, tetapi sebuah model kereta penumpang dengan aspirasi dan imej sporty.
Dengan berkata begitu, tidaklah bermaksud bahawa kereta ini tidak menawarkan apa-apa dari aspek prestasi dan pemanduan. Veloster masih sebuah kereta yang mampu memuaskan naluri pemanduan anda.
Jentera ini dilengkapi enjin Gamma 1.6 MPI yang mengeluarkan kuasa 132PS dan 158Nm tork. Dengan angka-angka ini, ia tentunya menjanjikan pengalaman pemanduan yang tidak mengecewakan. Walaupun tanpa bantuan turbo misalnya, Veloster tetap punyai ciri dan kelebihan tersendiri daripada aspek berkenaan.
Memandu tenang di bandar akan menjadikan anda tumpuan banyak mata yang mencemburui penampilannya. Namun, sekali-sekala ketika memerlukan tenaga kereta ini diperah, Veloster tidak akan teragak-agak untuk memberikannya.
Respon enjin berada pada tahap baik dan tepat untuk membolehkan pemandu mengemudi stereng dengan mudah. Begitu juga ketika memecut, hatchback ini terasa begitu stabil dan berkeyakinan. Di selekoh, tayarnya memberi kelebihan kepada pemandu untuk menikmati kemampuan kereta ini dengan yakin.
Tangki petrolnya adalah 50 liter. Jika dipandu dalam keadaan biasa, Veloster mampu memberikan bacaan yang optimum. Tetapi, dengan gaya kereta yang sebegini, tentunya tidak akan terlepas daripada menekan pedalnya sekali-segala. Dalam keadaan enjinnya dikerah, ia akan memberikan bacaan penggunaan petrol yang tinggi sedikit, bersesuai dengan output yang diberikan.
Buat masa ini, hanya versi enjin 1.6 liter tanpa turbo diperkenalkan untuk pasaran Malaysia. Bersama pilihan sistem transmisi automatik atau manual enam kelajuan kepada mereka yang lebih selesa dengan kotak gear manual.
Sementara itu, pakej Premium juga ditawarkan bagi unit Gamma 1.6 A/T, dengan pertambahan aksesori menarik seperti penggunaan rim 18 inci, lampu utama dengan LED dan sebagainya.
Hyundai Veloster Premium dijual pada harga RM132,901.50 (termasuk insurans), dengan enam pilihan warna segar sebagai pilihan.
[hr]Spesifikasi Hyundai Veloster
Enjin: 1,591cc, Gamma D-CVVT
Kuasa maksimum: 132ps @ 6,300rpm
Tork maksimum: 158Nm @ 4,850rpm
Transmisi: Automatik 6-kelajuan
Ciri tambahan: Electronic Stability Programme (ESP), Vehicle Stability Management (VSM), dua beg udara dan sebagainya.
[hr top]