Buletin

INDIAN RAILWAYS UBAH SUAI 20,000 GERABAK KERETA API JADI PUSAT KUARANTIN COVID-19

Penyedia perkhidmatan kereta api utama di India, Indian Railways menyatakan bahawa ia bersedia untuk mengubah suai 20,000 buah gerabak untuk menjadi tempat kuarantin pesakit jika wabak COVID-19 semakin buruk di India. 

Syarikat itu memberitahu bahawa lima zon sudah menyiapkan prototaip gerabak kuarantin. 20,000 buah gerabak itu mampu menyediakan 320,000 buah katil untuk pesakit. Kerja-kerja modifikasi dikatakan telah bermula. 

Menurut Kementerian Pengangkutan Kereta Api, 5,000 gerabak itu mempunyai kapasiti sehingga 80,000 buah katil. Setiap gerabak mampu menempatkan kira-kira 16 buah katil. 

Gerabak itu akan dilengkapi dengan kemudahan tertentu seperti yang digariskan oleh pengamal perubatan. 

Indian Railways mensasarkan untuk menyediakan gerabak khas itu di 16 zon dengan Souh Central Railways, yang berpangkalan di Telangana memperuntukkan sebanyak 486 gerabak untuk diubah suai. Sementara zon Mumbai pula mempunyai 482 buah gerabak.

India kini mencatatkan leih 1,000 jangkitan COVID-19 dengan 27 kematian, Angka itu dijangka akan bertambah berlipat kali ganda dalam tempoh yang sangat singkat. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Michigan meramalkan India akan mempunyai 915,000 jangkitan menjelang pertengahan Mei 2020. 

Angka itu sebenarnya lebih tinggi daripada jumlah keseluruhan jangkitan di seluruh dunia. 

Pada 24 Mac lalu, Perdana Menteri India, Narendra Modi mengarahkan perintah berkurung selama tiga minggu ke atas 1.3 bilion rakyatnya. Menjadi usaha kuarantin paling besar di di dunia, ia dilihat amat sukar untuk dilaksanakan terutama di kawasan miskin di mana penduduk tinggal di kawasan perumahan yang sempit. 

Ini membuatkan usaha penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter nampaknya hampir mustahil. 

Google ads
Back to top button