
INDONESIA MAHU ANJUR F1 DI LITAR BAHARU DI RIAU
Jakarta mahu menjadi tuan rumah salah satu penganjuran siri perlumbaan dunia Formula 1 atau F1 di Bintan, Kepulauan Riau.
Lapor Tribunnews, pembinaan litar itu telah bermula sejak 17 Mac lalu dan dijangka siap pada 2024.
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Sandiaga Uno berkata, pembinaan litar itu menggunakan dana persendirian sepenuhnya dan tidak menggunakan Anggaran Pendapatan serta Belanja Negara (APBN) atau Anggaran Pendapatan dan Belanja Daerah (APBD).
Jelasnya, litar F1 itu dibangun melibatkan kos sebanyak 1.2 trilion rupiah (RM352 juta).
“Kita akan membuat penyelarasan dengan Persatuan Permotoran Indonesia (IMI) untuk menganjurkan F1. Kami juga ingin menjadi tuan rumah F1, sementara kami menjalankan langkah persediaan dan akan menyemak dengan IMI.
“F1 ini berdasarkan perbincangan dengan IMI yang akan diselenggara di Litar Antarabangsa Bintan,” jelasnya.
Sandiaga berkata, pihak kementerian bersama IMI berhasrat meningkatkan pelaburan daripada sektor swasta berdasarkan kejayaan acara perlumbaan motosikal antarabangsa, MotoGP di Mandalika. – Utusan Malaysia








