Motosikal

INI BERITA GEMBIRA, HONDA CBR250RR SAH MASUK KE PASARAN MALAYSIA

Sejak dilancarkan sebagai debut global di Indonesia pada Julai lalu, CBR250RR menjadi fenomena sportbike suku liter di dunia. Ia bukan sahaja mempertaruhkan banyak teknologi superbike CBR yang lebih sofistikated, 250RR juga membuktikan bahawa pasaran sportbike kecil ini sememangnya besar. Maksud kami, sangat-sangat besar.

Ini mungkin berita baik yang kami terima hasil dari pertemuan dengan Dato’ Sri Tan Hui Jing, Timbalan Pengerusi Kumpulan Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH). Beliau mengakui pihaknya sedang berusaha membawa masuk CBR 250RR ke pasaran Malaysia. Berdasarkan maklumat yang kami terima sebelum ini, memang sahih tidak akan diperkenalkan ke pasaran tempatan seperti yang kami laporkan pada penghujung Oktober lalu.

Namun perancangan berubah sejak motosikal ini dipamerkan di Litar Sepang sewaktu MotoGP yang lalu dan mereka mula mendapatkan respon awam dan hasil kajian terhadap permintaan pengguna. KUASA MEDIA & KUASA PENGGUNA BSH akhirnya membuat keputusan untuk membawa masuk model ini.

Cuma tarikh pelancarannya masih terlalu awal untuk dispekulasi. Buat masa ini, unit ujian CBR250RR sudah di bawa masuk dan berada di Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan BSH untuk disesuaikan dengan spesifikasi tempatan. Seperti yang kita maklum, setiap negara mempunyai keperluan spesifikasi berbeza.

Walau ia sebuah Aventador sekalipun, jika nak dijual di sini Ia juga perlu mendapatkan VTA (Vehicle Type Approval) dari pihak berwajib dan VTA setiap negara ditentukan oleh spesifikasi mengikut keperluan masing-masing.

BACA – SPESIFIKASI RASMI CBR250RR

BACA – TUNGGANG UJI YAMAHA R25

Ia perlu diuji dan pengubahsuaian mengikut spesifikasi ini jugalah yang memakan masa. Jika tiada pengubahsuaian besar dari spesifikasi asal, ia akan diperkenalkan dalam masa terdekat. Tapi tidaklah dalam sebulan dua. Jual motor baru ni bukan macam seludup minibike china dalam pallet. Ia perlu melalui proses yang panjang.

JADI BILA? Kalau mengikut pada poliferasi model-model sebelum ini, kami yakin ia akan diperkenalkan seawalnya pada pada suku kedua 2017 atau selewat-lewatnya pada awal tahun 2018. Namun begitu, jangan lah percaya sangat, sebab ia cuma spekulasi kami.

Kalau mengikut kepada susur galur RS150R, ia diperkenal agak cepat di pasaran tempatan. Hanya sebulan selepas pelancarannya di Indonesia. Tapi kalau diikutkan dengan model-model lain seperti Beat dan MSX, sela masanya menjangkau 1 tahun atau lebih berbanding pelancarannya di Indonesia dan Thailand.

Jadi agak sukar menentukan bila ia akan diperkenalkan secara rasmi.

Honda-CBR250RR-2016-Indonesia-mekanika (3)

BERAPA HARGANYA? Inilah dilemanya.

BSH sedar jika mengimportnya secara CBU dari Indonesia, harga jualannya sudah tentu akan meninggal dunia. Justeru mempersiapkan fasiliti pemasangan CKD di sini adalah satu-satunya cara untuk mendapatkan insentif industri dan pengurangan duti import.

Walaupun kami mendesak, Dato’ Sri Tan Hui Jing tetap tidak memberi sebarang klu tarikh pelancaran dan harga jualannya. Jelas, ia masih terlalu awal sebab mereka kini lebih menumpukan kepada kerja-kerja R&D, mengekalkan spesifikasi terbaik CBR250RR dan akhirnya dalam dijual dalam julat harga yang kompetitif.

Dilema tentang CBR250RR ialah ia bukan sportbike “asas”. Ia dibina dengan kejuruteraan terkini dengan suspensi USD, mod pemanduan bolehubah, pendikit Drive by Wire, lampu LED dan merupakan penanda aras baru bagi segmen ini.

Honda-CBR250RR-RACING-RED

Sebagai perbandingan, sportbike CBR500R pun masih menggunakan fork depan teleskopik dan tiada pelaras elektronik riding mode. Kerana itu juganya harga jualannya juga lebih tinggi.

Di Indonesia, Honda CBR250RR dijual bermula pada harga 60 Juta (RM19,700). Sebagai perbandingan, Yamaha R25 dijual 53 Juta (RM17,400) Ia ada julat harga sekitar RM2000-RM3000. Teori kami, ia akan dijual pada harga RM23,000 hingga RM25,000.

Logiknya, ia tidak boleh lebih dari itu kerana bakal memasuki wilayah harga CB500R (RM31,000)

Google ads
Back to top button