Motosikal

R25 – SELAMAT DATANG KELUARGA R!

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mungkin pemegang jenama motosikal paling bertuah di Malaysia. Apa sahaja model yang diperkenalkan baik model baru, model facelift, model ganti sticker, semuanya laris bak goreng pisang panas.

Yamaha-R25-test-ride-mekanika (20)

Mengambil alih pasaran daripada Boon Siew Honda yang ketandusan model-model baru di awal millenia, Yamaha mengukuhkan kedudukan dengan lebih 600 pengedar dan sub-pengedar, promosi yang meluas dan paling penting produk mereka terbukti berkualiti dan tahan lasak.

Padahal motosikal urban Yamaha 4 lejang moped agak lewat di pasaran berbanding Honda (EX5/C70), Kawasaki (Joy) dan Suzuki (FX) sekalipun.

Yamaha-R25-test-ride-mekanika (2)

Seingat saya, Yamaha bermula dengan model underbone SRE yang meminjam casis SS110. Tak laku mana pun. Yamaha lebih sinonim dengan model 2 lejang ‘vintaj’ seperti SS-Two, RX-Z, TZM dan 125Z. Sehinggalah munculnya Lagenda dan LC135 pada 2007. (Ego, Nouvo tu dalam kategori lain dah).

Fokus HLYM terhadap motosikal berkuasa tinggi juga amat kecil. Dari zaman saya sekolah lagi, model R1, R6, FJ tak pernah diambil peduli. Mmereka cuma jual Virago 535 dan Super Tenere. Ye lah. Jual motosikal kecik sampai beribu unit sebulan kenapa perlu bersusah payah teroka pasaran baru yang banyak sangat cabarannya?

Yamaha-R25-test-ride-mekanika (3)

Tetapi pada hari ini, pasaran motosikal besar sudah mula membanjiri industri. Terima kasih pada AEON Credit, Al-Rajhi Bank, RHB, BSN Commercial, Maybank, MBSB dan beberapa pembiaya kewangan yang menawarkan pinjaman sehingga 100 peratus. (Terima kasih juga pada konsesi tol yang naik harga tak pernah turun!).

R25 dilancarkan pada Februari lepas, baru sekarang saya ada masa nak test. Bergegas ke Yamaha Sg Buloh dengan hari yang semakin mendung. Tak berbual lama pun dengan dia orang, ambil kunci dan terus hidupkan enjin. Derumannya mungkin tak seenak tona Kawa 250R yang berteknologi 4 selinder.

Yamaha-R25-test-ride-mekanika (5)

Di atas kertas, enjin ini mampu menghasilkan kuasa 35bhp dan tork 22Nm. Sebaik pendikit diperah, kuasa diterjemahkan dengan jitu, linear dan torknya enak pada mana-mana gear.

Penukaran gear juga sangat lancar. Malah lebih lancar daripada kebanyakan sportbike lebih besar yang pernah saya tunggang. Klacnya juga lembut, macam tak padan dengan saiz enjin dan kotak gearnya.

Yamaha-R25-test-ride-mekanika (11)

Bermain-main dengan gear tengah dan tinggi membolehkan kita menyesuaikan diri dengan corak kelajuan. Karekteristik enjin ini lebih kepada high end tork. Justeru, lebih sedap kalau gear ditukar pada RPM tinggi.

Ia dikatakan mampu memecut sehingga 177km/j tapi saya cuma berani setakat 160km/j, boleh pergi lagi tapi hati tak cukup kering.

Yamaha-R25-test-ride-mekanika (4)

Ramai juga yang bertanya, berapa top speed motor ni? Soal saya semula, kenapa mesti kelajuan maksimum yang selalu jadi persoalan? Kita nak tork yang linear, bukan top speed sampai 200km/j tapi nak maintain 100 kena pakai gear 5 dan tersengguk-sengguk dalam traffic jam.

Reka bentuk model-model R Yamaha memang layak dipuji. Berbeza dengan R125 dan R15 yang lebih mirip kepada R6, R25 ni nampaknya cenderung pada rupa gandingan YZF-R1 dan M1 (MotoGP).

Yamaha-R25-test-ride-mekanika (7)

Sepasang lampu depan projektor itu nampak macam mata yang nak menerkam. Fairing sisi direka supaya nampak tirus, tapi bila lihat dekat tak nampak motosikal ni macam 250cc pun. Fairing itu juga berintegrasi baik dengan garis condong tangki minyak. Haba panas enjin memang tak terasa langsung walaupun dalam jem teruk.

Sudut tunggangan R25 ni memang sangat selesa untuk sebuah sportbike. Jurutera Yamaha memfokuskan produk R25 (R15 dan R125) ini ke pasaran Asia yang dilihat mempunyai potensi besar.

Yamaha-R25-test-ride-mekanika (1)

Indonesia, Filipina dan India adalah pasaran penting dan motosikal entry level ini. Ia menjadi batu loncatan kepada penunggang amatur sebelum memulas pendikit R6 dan R1.

Lazimnya saya akan hanya menguji motosikal begini pada hujung minggu tapi tidak untuk R25. Ia boleh mencelah dengan yakin berbanding skuter (sebenarnya badan motor ini memang kurus).

Yamaha-R25-test-ride-mekanika (18)

Kuasa memotong, membrek dan menukar arah pada maneuver pendek tidak jadi masalah langsung. Pelananya cukup lebar dan selesa. Bar hendal berkedudukan agak tinggi menjadikan tunggangan selesa.

Kalau dibandingkan dengan sudut tunggangan Aprilia RS125, 250 atau TZM zaman dulu pun R25 menang dari segi ergonomik.

Yamaha-R25-test-ride-mekanika (19)

Tayar belakang motosikal ini bersaiz 140 berjenama IRC. Jadi secara automatik menghilangkan rasa yakin nak turun selekoh sebab tak tahu asal usul dari mana.

Pada umur dah masuk 4 series ni, nak melayan selekoh pun tak serakus dulu. Saya hanya melayan selekoh panjang dan barulah boleh hargai sebenarnya seronok layan motosikal yang ‘nimble’ begini.

Yamaha-R25-test-ride-mekanika (9)

Berada di lampu isyarat, ramai yang tenung lama R25. Diakui, bentuknya memang menarik perhatian. Corak rim berjejari Y, lengan ayun belakang berbentuk ‘pisang’, ekor belakang yang tirus dengan split seat dan peredam ekzos yang gemuk memberi ilusi kelihatan macam 600cc, tapi ada sticker 250 pulak kat fairing depan… Aah kantoi!

Hari ini, sudah ada banyak pilihan sportbike dalam kelas 250cc. Boleh pilih antara Honda CBR250R, Kawasaki Ninja 250 atau R25. Harga masing-masing pun tak banyak beza.

Yamaha-R25-test-ride-mekanika (10)

Harga R25 harga dengan GST (tanpa OTR) ialah RM19,783. Cuba ke kedai atau pusat jualan yang ada model tunggang uji. Rasa dan tunggang sendiri. Saya pasti anda akan berkongsi satu perkara. Ia sportbike yang dibuat untuk ditunggang setiap hari. Ya. Ia patut diletakkan tagline ‘The Everyday Superbike’.

Google ads
Back to top button