
INI SUV BAHARU MITSUBISHI, 1.5L CVT, SAIZ X50, HR-V
Kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz kompak Mitsubishi akan dilancar di Indonesia pada 10 Ogos dan sejumlah gambar dikongsi terlebih dahulu.
Koleksi terbaru adalah sambungan kepada gambar acah luar dan dalam yang pernah kami terbitkan sebelum ini.Â
Nama rasmi belum dikongsikan dan SUV ini tidak lari jauh daripada model XFC Concept yang diperkenalkan di Vietnam pada Oktober 2022.
Dari depan, gaya Dynamic Shield berbeza daripada model Mitsubishi lain dengan gril yang mengingatkan kepada Lancer dan ASX sebelum ini.
Gril SUV ini juga berbeza daripada Triton 2023 yang baru sahaja dilancarkan di Thailand minggu lalu. Selain gril, rekaan lampu bentuk T juga menonjol dan menggabungkan lampu nyalaan siang bentuk L.
Lampu bentuk T disalin semula pada lampu belakang. Rekaan sisi pula menyerlah pada fender belakang yang mengembang dan lekukan pada bahagian bawah pintu.
Jika ASX dibuat perbandingan memang jauh perbezaannya. Mitsubishi merekabentuk SUV ini berdasarkan konsep Silky & Solid yang menggabungkan keanggunan dan kelasakan.
Tidak banyak perincian yang dikongsi Mitsubishi kecuali maklumat terdahulu seperti mod pemanduan Normal, Wet, Gravel dan Mud dan sistem Active Yaw Control (AYC).Â
Berikut pula maklumat baharu yang dapat membantu memberi gambaran sebenar.
Spesifikasi SUV kompak baharu Mitsubishi:
- Ukuran: 4,390 mm (p) x 1,810 mm (l) x 1,660 mm (t)
- Jarak kelegaan bumi: 222 mm
- Enjin: 1.5 liter
- Transmisi: CVT
- Pacuan: Dua roda depan (2WD)
- Rim: 18 inci
Sebagai perbandingan, berikut ukuran dua SUV popular tempatan:
Proton X50
- 4,330 mm (p) x 1,800 mm (l) x 1,609 mm (t)
Honda HR-V
- 4,330 – 4,385 mm (p) x 1,790 mm (l) x 1,580 – 1,590 mm (t)
Berdasarkan perbandingan tersebut, jelas SUV Mitsubishi sedikit panjang, lebar dan tinggi berbanding X50 dan HR-V.
SUV baharu itu akan dikeluarkan di kilang Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia di Bekasi dan pelanggan tidak perlu menunggu lama kerana penghantaran bermula pada November 2023.
Bagaimana dengan pasaran lain? Mitsubishi dengan jelas menyatakan SUV ini dibina dengan fokus rantau ASEAN yang bermakna negara lain akan menyusul.
Di pasaran tempatan, Mitsubishi sudah lama tidak menawarkan SUV selepas Outlander, Pajero Sport dan ASX.
BACA:Â MITSUBISHI TRITON 2023 UNTUK AXCR, KOMPONEN KARBON, ENJIN 4N16 MIVEC BAHARU
BACA: MITSUBISHI TRITON GENERASI KEENAM DIPERKENALKAN – KONSEP BEAST MODE, 4 VARIAN, 201HP
BACA:Â MITSUBISHI EK SPACE 2023 DIPERKENAL DI JEPUN, DARIPADA RM51.6 RIBU












