
RASMI: TRIUMPH DAYTONA 660 2024 – 94HP, 69Nm
Triumph Motorcycles menjadi pengeluar terkini dalam menghasilkan jentera ‘sportbike’ segmen pertengahan mampu milik menerusi Triumph Daytona 660 baharu.
Kemunculan model serba baharu itu sudah pun dijangka apabila beberapa imej ‘spy shot’ telah pun tular sebelum ini.
Bakal bersaing dengan Honda CBR650R, Yamaha R7, Kawasaki Ninja 650 dan Suzuki GSX-8R, Daytona 660 ternyata memiliki daya penarik tersendiri terutamanya dengan enjin tiga silinder yang ditawarkan.
Enjin

Menariknya, walaupun dikuasakan enjin tiga silinder 660cc yang sama terdapat pada Trident 660 namun Triumph telah melakukan beberapa naik taraf signifikan.
Ini kerana Triumph telah meningkatkan kuasa unit 660cc itu dari 81hp (yang ditawarkan Trident 660) kepada 94hp. Walaupun ‘bore’ dan ‘stroke’ kekal sama, angka lebih tinggi itu dicapai dengan menaik taraf ‘cylinder head’, ‘camshaft’, ‘crankshaft’ dan sistem ekzos 3-kepada-1 baharu.
Bagaimanapun, perubahan terbesar adalah beralih dari ‘single throttle body’ kepada ‘triple throttle body’.

Peningkatan itu secara langsung menyaksikan ‘redline’ meningkat kepada 12,650rpm dan 17 peratus peningkatan kuasa berbanding Trident 660. Tork turut meningkat sebanyak 9 peratus kepada 69Nm.
Walaupun transmisi dengan klac ‘assist/slipper’ yang sama dikekalkan namun Triumph telah mengolah semula nisbah gear akhir agar lebih sesuai dengan karakter enjin. Quickshifter pula adalah ciri tambahan.
Dalam usaha mencapai rev yang lebih tinggi, Triumph tidak mengorbankan prestasi tork pada kelajuan rendah. Ini kerana lebih 80 peratus tork maksima hadir seawal 3,125 hingga 11,750rpm.
Casis

Walaupun mengguna pakai casis mirip Trident 660 namun Triumph telah melaksanakan beberapa perubahan agar lebih sesuai dengan panel badan Daytona yang lebih menyeluruh. Hasilnya, jarak antara tayar meningkat dari 1402mm kepada 1425mm.
Dalam pada itu, pakej suspensi adalah sama dengan Trident 660 yang merangkumi fork USD Showa SFF-Bp 41mm (tidak boleh laras) dan monoshock Showa pra-beban boleh laras. Namun, Triumph menaik taraf brek Daytona 660 kepada kaliper radial 4-pot (berkembar) yang dipadankan bersama cakera 310mm.

Sementara itu, Triumph mendakwa ergonomik Daytona 660 diinspirasikan daripada sportbike era 90-an yang memfokuskan gaya yang sporty namun tidak terlalu agresif seperti jentera supersport (Yamaha R6, Kawasaki ZX-6R).
Berbanding Trident, ‘handlebar’ pada Daytona 660 lebih rendah dan kedepan sementara tempat letak kaki juga lebih tinggi dan kebelakang.

Ketinggian tempat duduk pula diletakkan pada 810mm namun Triumph menawarkan ‘lowering kit’ yang akan menurunkan ketinggian kepada 785mm.
Kapasiti tangki pula sama dengan Trident, 14L namun dengan adanya panel badan tambahan, Daytona 660 ini lebih berat dengan 201kg.
Elektronik

Pakej elektronik pula terdiri dari panel meter digital LCD yang dipadankan bersama skrin TFT yang membolehkan penunggang mengakses tiga mod; Road, Sport dan Rain. Traction control dan ABS juga didatangkan secara standard.
Pencahayaan adalah LED sepenuhnya dengan lampu isyarat kecemasan akan menyala jika jentera brek secara mengejut.

Sementara itu, Triumph juga menawrakan pelbagai opsyen tambahan termasuk quickshifter, grip pemanas dan pelbagai lagi kosmetik tambahan.
Perbandingan
Jika dibandingkan dengan pesaing lain dalam segmennya, spesifikasi yang ditawarkan Daytona 660 ternyata sukar digugat.
Yamaha R7 mungkin lebih ringan tetapi hanya 72.4hp, Suzuki GSX-8R pula menawarkan 81.7hp namun karakter enjin parallel-twin itu kurang ‘sengat’. Honda CBR650R mungkin pesaing terdekat dengan 93.8hp namun lebih berat dengan 202kg.
Harga
Di pasaran Amerika Syarikat, Triumph Daytona 660 ini bakal dijual pada harga bermula USD9,195 (RM42.6k).
GALERI:



















