Artikel Pilihan

10 PERKARA YANG ANDA PATUT TAHU TENTANG LAGENDA LITAR NURBURGRING

Setiap hari dalam perjalanan ke pejabat kami anda sentiasa terlihat pelbagai model kereta terutamanya Myvi, dan juga Myvi serta beberapa buah Satria dan kembali Myvi dengan pelekat Nurburgring di bahagian belakang kereta.

Apa benda Nurburgring tu? Nama awek jual burger ke? Rasanya ramai yang tahu Nurburgring ialah nama sebuah litar di Jerman yang terkenal di seluruh dunia. Selain daripada itu apa lagi yang anda tahu tentang litar ini dan kenapa ia begitu popular?

BACA: CIVIC TYPE R 2017-KERETA FWD TERPANTAS DI NURBURGRING

BACA: RAHSIA KEPANTASAN HURACAN PERFORMANTE DI NURBURGRING

Nurburgring merupakan destinasi permotoran idaman bagi penggemar dunia automotif dari seluruh dunia. Ia merupakan sebuah litar dengan persekitaran yang cukup luas dengan litar sepanjang melebihi 20 kilometer dan telah wujud sejak tahun 1920.

 1. DISNEYLAND BAGI DUNIA SUKAN MOTOR

Terletak 100 kilometer di selatan bandar Cologne dan hampir 30 kilometer dari sempadan Belgium, Nurburgring merupakan pusat aktiviti permotoran Jerman dan menarik kedatangan jutaan pengunjung  setiap tahun.

Ia merupakan lokasi kemenangan, kehebatan, tragedi dan tempat rekod dunia dicipta selama hampir seabad lamanya. Boleh dikatakan hampir semua kenderaan beroda di uji di litar ini.

Sebenarnya, terdapat dua litar utama di dalam kawasan Nurburgring ini iaitu litar GP dan Nothern Loop (Nordschleife) sepanjang hampir 20.8 kilometer.

 2. LITAR 1 – LITAR GP

Litar ini cukup dikenali kerana menjadi tuan rumah kepada kejohanan Superbike Dunia (WSBK) saban tahun pada bulan Oktober. Bukan itu sahaja, ia lebih kepada merupakan fasiliti permotoran yang terletak di kawasan pergunungan Eifel di Jerman dan merupakan tempat yang istimewa bagi peminat permotoran tempatan.

Selain dari kejohanan WSBK, litar yang dibina ada tahun 1984 ini juga menjadi tuan rumah kepada perlumbaan F1, IDM dan pelbagai lagi perlumbaan sukan motor.

Terdapat juga kompleks yang dinamakan Nurburgring Ring Werks pada bahagian pintu masuk litar GP. Di sini anda boleh membeli sebuah Nissan GTR jika mampu atau memadai dengan sehelai t-shirt polo Ferrari jika….kurang berkemampuan.

Kompleks ini juga mempunyai pelbagai kemudahan seperti litar Go-Kart, roller coaster, kedai, restoran, bar dan kedai cenderamata berasaskan permotoran. Beli sahaja sekeping kad yang dinamakan kad Ring dan anda boleh menggunakannya untuk membeli barangan ataupun menggunakan perkhidmatan di dalam kawasan kompleks tersebut.

3. IA BUKAN SEKADAR LITAR YANG BANYAK SELEKOH

Sewaktu acara-acara besar dilangsungkan, kawasan Ring Werks dan sekitarnya sentiasa dipenuhi dengan pelbagai kereta eksotik dan motosikal berkuasa tinggi. Satu kebiasaan jika kita melihat sebuah kereta McLaren F1 diletakkan bersebelahan dengan Desmosedici RR dan pemiliknya saling berbual tentang selekoh yang mereka ambil di Nordschleife.

Kawasan ini bukan hanya mempunyai segalanya yang diidamkan oleh para peminat sukan motor tetapi ia juga menjadi lokasi festival muzik Rock em’ Ring setiap tahun.

Perlumbaan basikal dan triathlon juga diadakan di sini. Malah kawasan ini juga mempunyai laluan basikal lasak yang cukup mencabar dan menarik.

4. LITAR 2 – NERAKA HIJAU (THE GREEN HELL) – NORDSCHLEIFE

Pembinaan Nordschleife dimulakan pada tahun 1923 sebelum dibuka pada tahun 1927 dan menjadi tuan rumah MotoGP sehingga tahun 1980 sebelum dikatakan terlalu merbahaya untuk perlumbaan MotoGP.

Litar ini sepanjang 20.8 kilometer dengan selekoh yang sama seperti sebuah litar lumba tetapi hampir menyamai jalan raya biasa. Litar ini juga memunyai perbezaan ketinggian sekitar 300 meter.

Terdapat 40 selekoh ke kiri dan 50 selekoh ke kanan yang cukup mencabar pemandu dan penunggang kerana ia merupakan selekoh buta (anda tidak nampak apa yang ada di sebalik selekoh. Jackie Stewart, pemandu lagenda F1 menggelarkan litar ini dengan nama “Neraka Hijau”.

 5. LITAR NI ADA TOL!!!

Pintu masuk ke Neraka Hijau ini kelihatan seperti pintu masuk ke tempat pakir pusat membeli-belah ataupun lapangan terbang. Pelumba yang berani mencabarnya cuma perlu meleretkan kad Ring mereka sebelum lampu hijau menyala dan palang halangan di angkat untuk membolehkan memecut laju ke dalam litar.

Litar sepanjang 20.8 kilometer berturap itu merupakan jalan bertol yang sah, dan memerlukan bayaran 27 Euro untuk satu pusingan. Ia juga tertakluk dengan undang-undang yang sama dengan Autobahn di Jerman.

Terdapat  juga hari yang dikhususkan untuk pelancong memandu di dalam litar biasanya sewaktu cuti musim bunga dan musim panas.

6. MESTI PATUH DENGAN UNDANG-UNDANG

Kenderaan dengan nombor pendaftaran EU (Kesatuan Eropah), British, Perancis dan lain-lain cuma dibenarkan masuk melalui pintu masuk rasmi. Semua kenderaan yang memasuki Nordschleife mesti merupakan kenderaan yang sah digunakan di atas jalan.

Kenderaan kegunaan di litar sahaja baik motosikal mahupun kereta adalah tidak dibenarkan.

Dengan ketiadaan polis dan had laju, semua pengguna diminta menyediakan perlindungan insuran yang sesuai. Bukan hanya undang-undang trafik Jerman digunapakai di Nordschleife, terdapat juga beberapa jenis bendera yang digunakan oleh marsyal dan mesti dipatuhi.

Terdapat juga kereta keselamatan untuk mengawal selia keadaan di litar khususnya jika berlaku kemalangan. Mereka sememangnya cukup sibuk sewaktu litar dipenuhi pengunjung terutamanya ketika cuti hujung minggu.

7. BAHAYA YANG MENUNGGU

Gabungan kereta dan selekoh buta merupakan adunan resipi kemalangan yang tepat. Kemalangan boleh dikatakan berlaku setiap hari di Nordschleife.

Disebabkan itulah pihak ADAC (German Automotive Association) menyediakan helikopter untuk tujuan kecemasan pada setiap hari litar ini dibuka. Disebabkan itu jugalah tiada lagi perlumbaan motosikal diadakan di Nordschleife.

Ia sangat sempit dan kurang selamat. Hampir keseluruhan bahagian tepi litar dipagari dengan pokok-pokok pain dan pelindung Armco. Tumpahan pelincir dan minyak akibat kemalangan merupakan pemandangan biasa di Nordschleife. Tumpuan pelumba biasanya akan terjejas kerana litar ini cukup panjang.

8. PEMEGANG REKOD PENTING

Andy Carlile, seorang lelaki Inggeris yang berani dan berkebolehan telah mencatatkan rekod terbaik pada tahun 2012 dengan menunggang Yamaha R1 dan berjaya membuat catatan masa sepusingan 7 minit 10 saat, satu rekod tidak rasmi untuk motosikal, kerana i, kamera dan ujian masa tidak dibenarkan pada hari ia dibuka untuk orang awam.

Rekod Carlile dianggap menakjubkan kerana beliau menunggang di celah-celah trafik sewaktu rekod tersebut dihasilkan.

 9. SELAMATKAN “THE RING”!

Kegawatan ekonomi juga telah menjejaskan operasi Nurburgring yang sebenarnya dimiliki oleh kerajaan negeri Rhineland-Palatinate dan bukannya entiti swasta.

Ia dikatakan bakal diswastakan dan antara pihak yang berminat memilikinya ialah supremo F1 dan juga hartawan British, Bernie Ecclestone. Beliau dikatakan menawarkan sejumlah USD165 juta untuk membeli Nurburgring.

Ramai yang menyuarakan kebimbangan jika satu hari nanti Nurburgring akan menjadi litar persendirian. Namun syukurlah kerana kerajaan Jerman meluluskan undang-undang menyatakan Nurburgring akan kekal menjadi hak milik awam.

10. BAGAIMANA NAK BERLUMBA DI NURBURGRING?

Jika anda berada di Jerman, cara terbaik untuk merasai pengalaman memandu di Nurburgring ialah dengan menghubungi penganjur track day di sana. Mereka berpangkalan di Nurburgring dan menawarkan harga yang menarik untuk pengalaman sehari.

Untuk menunggang dan berlumba dengan kereta-kereta super di Nordschleife pula, terdapat pakej latihan persediaan yang boleh anda pilih sebelum mula menunggang atau memandu. Ia sememangnya satu pengalaman yang unik jika anda memandu di litar ini tetapi pastikan anda membuat persediaan yang rapi.

Jika ada kelapangan dan kewangan yang kukuh tidak rugi jika anda membuat lawatan ke Nurburgring. Lagi baik jika dapat memandu sendiri di sepanjang litar ikonik ini.

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button