Artikel Pilihan

MAZDA BUKA MUZIUM DI JERMAN – PUSAT KOLEKSI KENDERAAN KLASIK MAZDA KEDUA DI DUNIA!

Sebenarnya muzium adalah satu lokasi yang digalakkan untuk dilawati jika pergi ke sesuatu tempat baharu khususnya di luar negara. Ia memberi pengalaman menakjubkan dan dapat memberi imbasan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada masa silam. Ia juga dapat mengajar generasi baharu bahawa ribuan atau ratusan tahun sebelum kelahiran mereka, tamadun telah lama terbentuk dan ada yang hebat terhapus begitu sahaja.

Buat penggemar dunia automotif pula, lawatan ke muzium dapat memberi satu kekaguman yang tinggi bahawa orang lama, dengan sumber dan teknologi terhad sudah boleh menghasilkan objek kejuruteraan yang berseni dengan rekabentuk tidak lekang masa.

Bagi membolehkan orang ramai mempunyai akses kepada sejarah lampau, Mazda telah membuka muzium pertamanya di Eropah yang terlekat di Augsburg, Jerman. Menariknya muzium yang dibuka pada 13 Mei itu adalah yang kedua di dunia.

Muzium yang diberi nama Mazda Classic – Automobil Museum Frey itu diterajui oleh pengedar tempatan Mazda iaitu Auto Frey dengan sokongan Mazda Jerman. Ia membawakan tema 100 tahun ‘rebel’ Mazda yang sentiasa tampil dengan teknologi melawan arus. Dulu Wankel kini SkyActiv pula.

Model yang dipamerkan terdiri daripada keluaran klasik di Eropah serta yang sukar didapati dan dipasarkan di sesetengah pasaran dunia sahaja. Secara total, sebanyak 45 buah kenderaan dipamerkan di muzium tersebut.

Model-model yang disimpan dan dipertontonkan ialah seperti:

  • Mazda Cosmo Sport 1967
  • Mazda Luce R130
  • Mazda K360 -pikap kecil tiga roda
  • Mazda R360 1960 – kereta penumpang produksi massa pertama
  • Mazda Familia 1000 coupé 1966
  • Mazda 1976 616
  • Mazda AZ-1 – kereta sport enjin MR dari tahun 1992
  • Kenderaan rotary seperti bas Parkway dan trak pikap
  • Beberapa generasi RX-7

Menariknya, muzium itu adalah inisiatif utama pemilik Auto Frey dan mereka telah memilih depot tram (tren bandar) yang sendiri satu sejarah memandangkan ia telah digunakan pada 1897. Muzium itu turut dilengkapi ruang acara, fasiliti restoran dan kedai cenderamata.

Auto Frey adalah peminat sejati kenderaan buatan Mazda kerana kesemua 45 kenderaan yang dipamerkan itu adalah sebahagian kecil sahaja yang dimiliki oleh keluarga Frey. Mereka telah menjadi pengedar Mazda sejak 1978 lagi. Walter Frey dan anak-anak beliau iaitu Markus dan Joachim telah banyak membaik pulih koleksi kenderaan Mazda mereka dan turut merantau ke serata dunia bagi mencari kenderaan klasik Mazda.

BACA – ASAL USUL NAMA MAZDA DAN LOGO KLASIK MEREKA YANG PELIK

Mazda CX30

BACA – MAZDA SKYACTIV – REVOLUSI ENJIN ABAD BARU

Muzium di Jerman itu telah diperakui oleh Mazda sendiri apabila Naib Presiden Eksekutif, Mazda Motor Corporation, Akira Marumoto mengatakan mereka di ibupejabat Mazda di Jepun merasa bangga kerana Frey adalah sebahagian daripada organisasi Mazda dan telah berjaya menghasilkan suatu yang luar biasa.

Kenderaan di muzium tersebut akan digilir-gilir memandangkan keluarga Frey mempunyai sejumlah 120 koleksi klasik Mazda. Pengendali muzium itu juga berharap ia akan menjadi hab perjumbaan ahli kelab kenderaan vintaj Mazda dan acara-acara lain.

Tags
Google ads
Back to top button