
INILAH KERETA-KERETA TERBAIK DARI BRITAIN DARI DAHULU SEHINGGA KINI
Walaupun pasang surut dunia perniagaan menyaksikan banyak syarikat automotif British kini sudah bertukar tangan tetapi tiada siap dapat menyangkal yang ia menempa nama sebagai sebuah syarikat milik mereka satu ketika dahulu. Jaguar, Land Rover, Aston Martin, McLaren dan Rolls-Royce mungkin kini mempunyai pemilik yang berbeza tetapi mereka masih mengekalkan identiti British. Ford walaupun berasal dari Amerika Syarikat turut mempunyai beberapa berciri Eropah (British) yang dibangun dan dihasilkan di UK.
Itu belum termasuk dunia perlumbaan dengan pelbagai syarikat yang berpangkalan di UK. Takkan tak kenal dengan pasukan McLaren, Mercedes AMG, Force India, Red Bull dan Williams F1? Semua syarikat berpangkalan di sana tapi kali ini biar kita fokuskan kepada kereta sahaja.
BMC Mini

Mini asal merupakan model palig berpengaruh dengan sejarah pengeluaran selama 41 tahun (1951-2000). Ia sudah sekian lama menjadi ikon rekaan British dan diibaratkan sebagai Vespa dalam dunia kereta. Sewaktu Jerman menghasilkan kereta berbentuk gelembung untuk mengatasi masalah krisis bahan api, BMC menugaskan Alec Issigonis untuk mereka kereta yang lebih bergaya dengan panjang keseluruhan kurang 10 kaki dan mampu memuatkan 4 orang dewasa dengan selesa. Hasilnya lahirlah Mini asal yang cukup comel yang kemudiannya turut berpotensi sebagai model perlumbaan. Volkswagen Beetle mungkin sebuah kereta rakyat tetapi Mini juga murah, menjimatkan dan kelihatan lebih bergaya.
Jaguar E-Type

Sewaktu Mini menempa nama sebagai ikon fesyen, Jaguar memperkenalkan model tercantik sepanjang zaman mereka di Geneva Motor Show 1961 sehingga turut mendapat pujian dari Enzo Ferrari. E-Type dibangunkan daripada jentera perlumbaan Le Mans Jaguar, D-Type dan di bawah badan rekaan monocoque itu tersembunyi enjin 3.8-L yang mampu menghasilkan 265 hp kuasa, suspensi yang sofistikated dan brek cakera keseluruhan. Ia memang sebuah supercar pada zaman itu dan setanding dengan Aston Martin dan Ferrari tetapi dengan separuh kos keduanya.
Aston Martin DB5

Antara model Aston paling menawan dan memang mempunyai imej kereta klasik Inggeris. Bahkan ia juga menjadi kenderaan rasmi James Bond di dalam filem perisik terkenal itu. Dihasilkan sekitar tahun 1963-64, ia dilengkapi dengan enjin 4.0-L yang sungguh lancar dengan 282 hp kuasa.
Land Rover Defender

Siapa yang tak kenal dengan Land Rover Defender ni memang tak tau nak cakap apa la. Sebut sahaja negara mana di muka bumi ni mesti ia telah dijejaki oleh Land Rover Defender ni. Ia asalnya dihasilkan berdasarkan dari pengalaman Rover menghasilkan kenderaan kontrak untuk kegunaan tentera. Rover juga mahu menjualnya dalam jumlah besar-besaran di seluruh dunia untuk mencara duit bagi membangunkan kembali UK selepas Perang Dunia Kedua. Mereka menugaskan seorang jurutera bernama Maurice Wilks dan beliau merekanya berdasarkan model Jeep dari AS yang digunakan oleh keluarganya. Defender menempa kejayaan gemilang dan mungkin merupakan kenderaan pertama yang dilihat oleh mereka yang berada di padalaman Afrika contohnya.
Jaguar XJ220

XJ220 dihasilkan dari tahun 1992-94 menggunakan model prototaip dengan enjin V12 yang mencuri perhatian pada Birmingham Motor Show 1988. Ia menarik perhatian ramai sehingga Jaguar berjaya mengambil 1,500 tempahan dengan deposit £50,000 untuk setiap unit pada masa itu. Kereta itu kemudian perlu direka semula dan pada masa yang sama ekonomi dunia jatuh merudum sekaligus membuatkan ramai pembeli kaya yang membuat tempahan membiarkan deposit mereka hangus. Jaguar kemudian bangkit kembali dan berjaya menghasilkan 271 unit XJ220 dan menjualnya pada harga USD500,000 seunit. Ia juga turut mencatat rekod sebagai kereta paling laju di dunia satu ketika dulu dengan kelajuan maksima 341 km/j.
Lotus Elan

Jika ada satu kereta hebat yang dihasilkan oleh British sehingga menarik perhatian syarikat Jepun untuk menirunya, ia semestinya ialah Lotus Elan. Sewaktu mula dihasilkan pada tahun 1961, ia mempunyai berat keseluruhan hanya sekitar 680 kilogram. Tambah menarik bila ia dipadankan dengan stereng yang tepat dan enjin yang cukup lincah. Rekaan inilah yang menarik perhatian Mazda untuk mencipta Miata mereka. Bukan sahaja, perasan yang dirasakan pada stereng Lotus dijadikan kayu pengukur oleh Gordon Murray sewaltu beliau menghasilkan Mclaren f1.
Ford GT40

Ford GT40 merupakan antara karya terbaik dari UK. Ia merupakan juara perlumbaan Le Mans di AS dan memang dihasilkan untuk menyakitkan hati Enzo Ferrari. Dihasilkan oleh Ford dan sekumpulan jurutera dari UK, ia memang tidak berapa menjadi pada peringkat awal tetapi diselamatkan oleh Carroll Shelby dan rakan-rakan sekutunya. Seterusnya sejarah baru bermula dan juara Le Mans baru muncul.
McLaren F1

Diketuai oleh Gordon Murray dengan sokongan Ron Dennis dari McLaren dan enjin buatan BMW, McLaren F1 merupakan sebuah kereta yang sangat laju dan dihasilkan dari material eksotik yang boleh didapati pada masa tersebut. Walaupun ia dilengkapi dengan enjin V12 BMW yang bersaiz besar gedabak, kereta ini mempunyai berat keseluruhan hanya sekitar 1,138 kilogram. Ia juga adalah pemegang rekod kereta produksi paling laju di dunia suatu ketika dahulu.
Ford Escort MK1

Escort merupakan sebuah kereta bersaiz lebih kecil dari Cortina dan dihasilkan berdasarkan formula yang cukup ringkas. Enjin di bahagian depan dan dipacu oleh tayar belakang. Ia tidak mahal, senang dipandu dan dengan gaya luaran seperti kereta keluaran AS, jutaan unit berjaya dijual di seluruh dunia. Sama seperti Mini, ia juga mempunyai model ajaib dengan enjin yang lebih berkuasa dan juga merupakan jentera rali yang baik. Kenal Ford Escort RS2000?
Range Rover

Sebut saja kenderaan 4×4 kita sudah terbayang lantunan pada tempat duduk khususnya tempat duduk belakang sebaik memasuki laluan off-road. Range Rover membuka jalan untuk kenderaan offroad yang lebih selesa dengan menggunakan pegas gelung disemua keempat-empat bahagian suspensi dan menggabungkannya dengan enjin V8 yang sekaligus menukar kriteria asal kenderaan 4×4 klasik. Ia kini mempunyai keselesaan seperti kereta sedan biasa tetapi juga dengan kemampuan sebuah jentera offroad.