
INILAH LAGENDA – NISSAN SILVIA S15
Pada tahun 2002, Nissan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan kereta platform S, yang digunakan dengan meluas untuk keluarga Silvia. Zaman dah berubah katanya. Mana nak pikir masalah alam sekitar lagi. Tumpuan mereka lebih kepada Fairlady Z dan GT-R sebagai model berprestasi tinggi, sekaligus menamatkan kewujudan model ringkas dan lincah seperti Silvia.
BACA: KUASA NISSAN SILVIA S14
Sehingga kini, lompong untuk kereta segmen ini masih belum terisi. Ia meninggalkan Silvia S15 sebagai pilihan terakhir yang boleh kita miliki. Walaupun berusia belasan tahun, rekabentuk model ini masih lagi relevan dan tetap kelihatan menarik kepada peminatnya.

Ambil contoh Silvia S15 Spec S milik Kepet nih. Mengambil inspirasi budaya kustom jalanan Jepon, matlamat Kepet mahu menghasilkan sebuah kereta berkarektor yang lain dari norma kebiasaan. Ia mesti nampak tegap dan rendah, tapi masih boleh digunakan seharian.
Cuma masalah jalan raya kita ni bukan elok sangat. Sambungan jejambat pun dah macam longkang. Hanya yang kental macam Kepet saja, sanggup berdepan masalah bumper tercabut akibat tersadung nat soploh di tengah jalan.
BACA: NISSAN TAK AKAN BINA SILVIA BAHARU
Kereta ini ada jiwa dan aura tersendiri. Kalau letak sebijik yang siap bikin sebelah dia sekali pun, tumpuan kita masih tetap padanya. Macam pakai mandrem pulak.

Selain rupa parasnya yang mendap dan labuh, kaler merah candy dengan efek bling-bling tu pun main peranan jugak. Ia turut diserlahkan dengan bumper depan Nismo Type 2, penutup lampu depan Nismo, skirt sisi Vertex, cermin sisi GKTech, spoiler dan lampu belakang D Max, serta binaan hood, fender, lip depan dan sisi kustom. Memandangkan bumper belakang dah tak musim untuk kereta-kereta derip, ia telah digantikan dengan bash bar dari Drifthouse. Cucuk la kalau minat…
BACA: ADAKAH INI NISSAN SILVIA BAHARU?
Selain luaran, perubahan besar turut berlaku pada sistem gantungan. Nak terang pun payah, benda susah nampak. Senang cakap hampir semua komponen yang terdapat di bawah kereta ini telah ditukar baru. Contohnya penggunaan kit pelarasan lengan suspensi dan roll center GKTech V3, tie rod dan sambungan rak stereng Part Shop Max, cagak aluminium Madrush untuk subframe belakang, lengan bawah dan wonder brace depan Madrush, serta bar penstabil Cusco.
Kesemua bush penting juga telah digantikan dengan material jenis PU yang lebih pejal. Bagi membentuk karektor yang diinginkan, sistem gantungan dilaras menggunakan set suspensi Tein Type Flex.
Walaupun menggunakan rim sebesar 18-inci, kedudukan lengan suspensi dan camber kereta ini masih lagi negatif. Hadap jelah, dah memang itu penyakit yang Kepet cari.

Memastikan tayar gemok Achilles ATR Sport bersaiz 225/40ZR-18 itu terletak betul-betul di hujung fender, ia perlu diregangkan pada rim Work Meister S2R selebar 10-inci. Untuk sektor hentian, sistem brek disalin sepenuhnya dari Skyline R33, termasuk pemasangan kit stopper GKTech untuk kesan brek yang lebih padu.

Sangkaan ia datang dengan enjin berkuasa turbo, nampaknya jauh meleset. Masih dengan enjin asal rupanya. Itu pun boleh gasak derip bagai. Yang memberi lebih tenaga kepadanya adalah penempatan beberapa komponen tambahan seperti penapis udara Blitz SUS, kabel pencucuh Splitfire V-Charger, regulator Works Engineering, pulley throttle GKTech V2 yang lebih besar, serta klac kipas GKTech untuk bantuan sejukan. Aksesori solekan lain terdiri daripada penutup radiator dan minyak enjin Nismo, serta pemegang bateri Cusco.
Berbanding model tertinggi Spec R, sistem transmisi kereta ini menggunakan kotak gear manual 5 kelajuan. Sedikit perubahan turut berlangsung di bahagian ini seperti penempatan flywheel yang diringankan, unit LSD 1.5-way Tomei, serta kit tuas gear GKTech untuk lontaran gear lebih tepat. Sistem ekzos pulak diberi penangan perang sepenuhnya dengan manifold 4-2-1 HKS Racing, sebelum dihala keluar menggunakan paip kustom ala GT. Bunyi jangan citerlah, dah tentu mintak ampun awal-awal.

Sisipan bahagian dalam nampaknya macam S15 yang kita kenal. Takde gajet tambahan yang boleh mencuri tumpuan, kecuali kerusi bakul Bride Zeta I Kevlar di bahagian pemandu, serta meter utama, pedal dan tombol gear Nismo. Nampak sain-sain yang bergelimpangan kat batang stereng Nardi Torino tuh? Bukan saja lukis yer. Tapi autograf sebenar Keiichi Tsuchiya, Daijiro Inada, Under Suzuki, Nobuteru Taniguchi, Tarzan Yamada, Daigo Saito, Shoji Inoue dan Yuji Miyazaki. Ni mesti selalu pikul stereng masa tengok event derip.
Selama 8 tahun membela kereta ini, Kepet pernah menyertai pelbagai siri perlumbaan khususnya dalam sukan autocross dan gymkhana. Boleh tahan jugaklah, podium pun pernah. Cuma sejak akhir-akhir ni jer minatnya berubah, untuk mengambil kontrak menyapu jalan…
Spesifikasi
Pemilik Kepet Ichigo
Pengeluar Nissan
Model Silvia S15 Spec S
Tahun 2000
Enjin asal SR20DE
Modifikasi Enjin Penapis udara Blitz SUS, kabel pencucuh Splitfire V-harger, regulator Works Engineering, pulley throttle GKTech V2, klac kipas GKTech, penutup radiator & minyak enjin Nismo, pemegang bateri Cusco
Transmisi Kotak gear manual 5 kelajuan, flywheel diringankan, LSD 1.5-way Tomei, kit tuas gear GKTech
Ekzos Manifold 4-2-1 HKS Racing, paip kustom GT
Luaran Bumper depan Nismo Type 2, penutup lampu depan Nismo, skirt sisi Vertex, cermin sisi GKTech, spoiler & lampu belakang D Max, hood, fender, lip depan & sisi kustom, bash bar Drifthouse
Suspensi Tein Type Flex
Brek Skyline R33 & kit stopper brek GKTech
Rim & Tayar Work Meister S2R 18-inci & Achilles ATR Sport 225/40ZR-18
Dalaman Tempat duduk Bride Zeta I Kevlar, meter utama, pedal & tombol gear Nismo, stereng Nardi Torino, kit quick release NRG, knob e-brek Drifthouse
Bengkel Madrush, GarageLife, ZQ Autoworks, Foong GT Exhaust, Strut & Spoke
-PAK MAUN-
KREDIT: KAKIKERETA.COM
GALERI