Artikel Pilihan

INILAH SYARIKAT YANG TELAH TEWAS DALAM DUNIA AUTOMOTIF

Industri permotoran memang sentiasa bergerak pantas dan dinamik. Jika suatu ketika dahulu ia dipelopori oleh syarikat-syarikat dari benua Amerika dan Eropah, ia kemudiannya berpindah ke benua Asia khususnya Jepun sebelum berpindah pula ke benua China.

Banyak syarikat baharu muncul dan tidak kurang juga yang telah bankrap. Di sini kami paparkan beberapa buah syarikat yang pernah memberi sumbangan yang besar kepada dunia tetapi telah pun berkubur.

AUSTIN MOTOR COMPANY

Austin Motor Company merupakan sebuah syarikat pengeluar kenderaan bermotor dari England. Ia diasaskan pada tahun 1905 oleh Herbert Austin yang pada asalnya mengendalikan urusan perniagaan Wolseley, sebuah syarikat kereta lain.

Pada masa lapang sejak dari tahun 1895, Austin telah mencipta tiga buah kereta yang dikatakan sebagai antara kereta-kereta terawal ciptaan British. Model keempat pula dihasilkan pada tahun 1899.

Beliau bagaimanapun tidak mendapat sokongan daripada pihak atasan syarikat Wolseley tetapi dengan sokongan syarikat lain, Austin mula memulakan proses pembuatan kereta yang berasingan tetapi masih lagi menggunakan nama Wolseley.

Selepas itu Austin berpecah dengan syarikat yang menaja beliau kerana percanggahan pendapat tentang enjin kereta. Beliau berjaya mendapatkan sokongan jutawan besi keluli, Frank Kayser dan Harvey du Cros, pemegang paten Dunlop. Beliau kemudian memulakan perniagaan dengan menggunakan tabungan sendiri.

Model pertama Austin dilancarkan pada tahun 1906 di Longbridge, England. Austin terus bergerak menghasilkan pelbagai model untuk golongan bawahan dan juga bangsawan. Perang Dunia Pertama juga menyaksikan mereka membuat keuntungan dengan menghasilkan pesawat, senjata, generator dan trak-trak untuk kegunaan tentera.

Selepas perang pula mereka meneruskan usaha dalam pengeluaran kereta, kenderaan komersial dan juga traktor. Mereka mengalami naik turun pasaran selepas perang dan berjaya menyelamatkan diri dengan bergantung kepada model-model mereka yang cukup laris seperti Austin Seven. Austin juga berkerjasama dengan Nissan (dikenali dengan nama Datsun ketika itu) untuk membangunkan model-model baru.

Syarikat ini mula melabuhkan tirai sebaik bergabung dengan musuh tradisinya, Morris Motor Limited. Gabungan ini kemudiannya dinamakan British Motor Corporation ataupun (BMC). Bagaimanapun pengaruh Morris yang lebih kuat mula mengikis imej Austin hari demi hari. Malah model-model keluaran Austin turut dijenamakan kembali dengan nama Morris.

Nama Austin masih ada dan hak miliknya telah bertukar beberapa kali sehinggalah ia berada di tangan Shanghai Automotive Industry Corporation (SAIC) sehingga sekarang.

RUSSO-BALT

Russo-Balt ataupun juga dikenali dengan nama Russo-Baltique merupakan salah satu pengeluar kereta terawal di Russia di antara tahun 1909 sehinggalah syarikat ini berhenti beroperasi pada tahun 1923. Ianya merupakan syarikat kejuruteraan kereta api sebelum mula menghasilkan kereta.

Syarikat ini tidak banyak menghasilkan model kereta dan model popular mereka dikenali dengan nama C24. Selain daripada menghasilkan kereta, Russo-Balt turut menghasilkan bas dan lori (termasuklah lori-lori untuk kegunaan tentera).

Pada tahun-tahun terakhir syarikat ini, mereka turut melibatkan diri dalam industri penerbangan dan pernah mengambil Igor Sikorsky sebagai ketua jurutera mereka (Sikorsky inilah jurutera lejen yang mencipta helikopter Nuri).

Syarikat ini berhenti beroperasi selepas Revolusi Bolshevik. Bagaimanapun pada tahun 2006, sekumpulan usahawan Jerman dan Russia pernah cuba menghidupkan dengan kembali jenama ini dengan menghasilkan sebuah kereta konsep yang dinamakan Russo-Baltique Impression dan diperkenalkan di Concours d’Elegance tetapi akhirnya senyap sehingga ke hari ini.

DE TOMASO

De Tomaso Modena SpA merupakan syarikat pengeluar kereta dari Itali. Ia diasaskan oleh Alejandro de Tomaso di Modena, Itali pada tahun 1959. Pada mulanya mereka telah menghasilkan pelbagai prototaip dan model-model perlumbaan, termasuklah kereta F1 untuk pasukan Frank William pada tahun 1970.

Mereka kemudian mula mengeluarkan beberapa model sports dan mewah seperti Mangusta dan Pantera. De Tomaso juga pernah memiliki Maserati dan sempat mengeluarkan beberapa model seperti Biturbo, Kyalami, Quattroporte III, Krif dan Chrysler TC. Mereka juga turut memiliki syarikat Moto Guzzi dari tahun 1973 sehingga 1993.

Masalah kewangan mula melanda De Tomaso pada penghujung hayat syarikat ini sehingga Mahkamah Itali mula mengeluarkan notis kebankrapan pada April 2015.

Syarikat itu kemudiannya dijual kepada sebuah syarikat dari China yang juga dikatakan merancang untuk mengeluarkan kereta-kereta di sana dengan menggunakan nama De Tomaso.

HUDSON

Hudson Motor Car Company merupakan sebuah syarikat pengeluar kenderaan dari Detroit, Michigan dari tahun 1909 sehingga tahun 1954. Kemudian mereka telah bergabung dengan Nash-Kelvinator Corporation untuk membentuk American Motors (AMC). Nama Hudson digunakan sehingga tahun 1957 sebelum ia mula dihentikan penggunaannya.

Pernah dengar model Hudson Hornet (dalam cerita Disney ‘Cars’)? Hudson merupakan pengeluar kereta pertama yang terlibat dalam perlumbaan kereta-kereta stok di America. Mereka telah mendominasi perlumbaan sekitar tahun 50an di Amerika termasuklah perlumbaan NASCAR dengan memenangi 27 perlumbaan pada tahun 1952.

JENSEN

Jensen Motors Ltd merupakan sebuah syarikat British yang telah menghasilkan kereta-kereta sports dan kenderaan komersial dari Barat England. Mula beroperasi pada tahun 1934 dengan diasaskan oleh dua beradik, Richard dan Alan Jensen sebelum jatuh bankrap pada tahun 1976.

Selain menghasilkan model-model mereka sendiri, Jensen turut bertindak sebagai pengeluar badan kereta untuk untuk syarikat-syarikat lain. Antara model kereta terkenal yang badannya dihasilkan oleh Jensen ialah Austin-Healey 100, Volvo P1800 dan Sunbeam Tiger.

Mereka turut menghasilkan model-model terkenal mereka sendiri seperti Jensen Interceptor, Jensen 541R dan Jensen CV-8.

Masalah mula menimpa dan Jensen telah diistiharkan bankrap dan berhenti beroperasi pada tahun 1976. Namun begitu beberapa tahun lepas ada beberapa cubaan untuk menghidupkan kembali jenama ini dan mengeluarkan model yang dinamakan Interceptor 2 tetapi sehingga ke hari ini tidak ada sebarang khabar tentang perkembangannya.

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button