Buletin

HONDA CIVIC KEMBALI DIJUAL DI JEPUN SELEPAS 7 TAHUN

SHARE

Honda Motor Co dilapor akan membawa semula model Civic ke pasaran Jepun selepas tujuh tahun.

Langkah itu dibuat berikutan sambutan hangat Civic di pasaran di luar diharap dapat memacu jualan Honda di Jepun. Selain membolehkan pengeluar kenderaan berpengaruh itu lari daripada imej domestic yang hanya menawarkan model kompak dan minivan.

Menurut laporan JapanToday, pemindahan kapasiti pengeluaran Civic ke Jepun membolehkan Honda meningkatkan ruang produksi di kilangnya di Amerika Syarikat (AS). Pasaran sedan di AS dilihat menguncup kerana pengguna di sana lebih sukakan SUV.

Honda memberitahu ia akan mula memasarkan Civic 2016 mulai musim panas. Kali terakhir model CKD Civic dijual di Jepun ialah pada tahun 2010, berikutan jualannya yang merudum teruk. Honda juga menimbang untuk menghasilkan Civic di Jepun sebelum dieksport ke AS.

Ketua Operasi Honda di Jepun, Kimiyoshi Teratani berharap Civic akan membantu Honda mendapat kembali reputasinya selaku pengeluar kereta yang sporty di Jepun, selepas sekian lama memberi fokus kepada model-model entry level serta MPV seperti N-BOX dan Odyssey.

“Kami kini dikenali sebagai sebuah syarikat yang mengkhusus dalam penghasilan minivan dan kei car. Civic memang bukan NSX, tapi kami mahu menggunakannya untuk menaikkan imej jenama Honda,” kata Teratani.

Diperkenalkan pada tahun 1972, lebih 24 juta unit Civic telah berjaya dijual di seluruh dunia. Ia menjadi model terlaris Honda di AS yang merupakan pasaran terbesarnya.

Tags
Google ads
Back to top button