Motosikal

MOTOGP AMERIKA: PARA PELUMBA MAHU PERMUKAAN LITAR COTA DIPERBAIKI

Keadaan permukaan litar yang agak berbonggol mengundang kritikan ramai pelumba sewaktu perlumbangan di GP Amerika Syarikat baru-baru ini. Walaupun ianya tidaklah sebesar bonggol di kawasan perumahan di Malaysia tetapi bagi sebuah litar bertaraf antarabangsa ianya memang tidak boleh diterima.

Pihak litar Austin juga sedia maklum dengan masalah tersebut dan sejak dua tahun lepas sudah berusaha untuk mengatasi masalah tersebut (mak aih, dah dua tahun tak selesai lagi), mereka juga telah menurap kembali selekoh 10 sebelum perlumbaan tempohari.

Permukaan yang berbonggol telah diratakan menggunakan jentera berat tetapi dikatakan masih belum mencukupi oleh para pelumba. Tapi mereka rata-ratanya berpuasa hati dengan kerja-kerja yang telah dilakukan di selekoh 10. Walaupun penurapan penuh litar sukar dilakukan, kebanyakan pihak berharap masalah ini dapat diatasi sebelum perlumbaan pada tahun hadapan.

Marc Marquez sewaktu ditanya tidak menyalahkan bonggol-bonggol tersebut walaupun terjatuh ketika sedang mendahului (nampak tak gaya juara, jangan salahkan faktor lain) tapi beliau bersetuju yang ia perlu segera diperbaiki. Tempat paling utama menurut Marc ialah pada selekoh 2 dan di antara selekoh 9 dan selekoh 10. Ia merupakan antara lokasi paling kritikal dan mesti diperbaiki sebelum pusingan MotoGP tahun hadapan.

Selekoh 2 turut memberikan masalah kepada juara edisi kali ini, Alex Rins. Alex menyatakan ia memang memeritkan setiap kali melalui selekoh 2. Ia bergantung kepada garisan yang diambil tetapi pada penghujung perlumbaan beliau sentiasa terlanggar bonggol tersebut dan sedikit sebanyak menjejaskan tayar hadapan motosikal . ia memang mengundang bahaya.

Para pelumba sudahpun berbincang dengan Safety Commission dan berharap sesuatu dilakukan sebelum tahun hadapan kerana ia satu kerugian untuk sebuah litar yang menarik tetapi mempunyai permukaan litar yang tidak rata.

Valentino Rossi turut memuji kecantikan litar tersebut tetapi menyatakan inilah litar yang paling teruk jika dinilai pada keadaan bonggol. Walaupun mereka telah berbincang dengan pihak Safety Commission sebelum perlumbaan tetapi nampaknya ia memang tidak sempat diperbaiki sebelum perlumbaan tempohari.  

Tags
Google ads
Back to top button