Motosikal

CFMOTO 800MT VARIAN ENDURO DIDEDAHKAN – RIM 21-INCI, 95HP

Tahun lalu, CFMoto mencuri tumpuan dengan mempamerkan model konsep menerusi CFMoto MT-X di pameran motosikal EICMA 2023. 

*CFMoto MT-X Concept didedahkan di EICMA 2023.

Motosikal konsep itu dikatakan bakal menjadi varian baharu bagi model 800 MT yang ketika ini telah pun dipasarkan di pasaran global termasuk di Malaysia. 

*CFMoto 800 MT Standard.

Dalam perkembangan terbaru, CFMoto telah pun memfailkan dokumen kelulusan jenis motosikal di China sekaligus mendedahkan rupa sebenar 800 MT-X yang akan diperkenalkan selewatnya hujung tahun ini sebagai model 2025.  

Berdasarkan ime dikongsikan, jelas perubahan ketara antara 800 MT sedia ada dengan 800 MT-X ini adalah kedudukan ‘mudguard’ depan yang lebih tinggi. 

*CFMoto 800 MT-X.

Namun, ciri yang menarik perhatian adalah penggunaan rim 21-inci depan dan 18-inci belakang berbanding 19-inci depan dan 17-inci belakang pada varian standard. Ciri ini secara langsung menjadikan 800 MT-X sebagai motosikal berkeupayaan ‘off-road’ yang sebenar. 

Tidak cukup dengan itu, dokumen tersebut turut mendedahkan penggunaan suspensi dengan jarak gerak lebih panjang, 200mm berbanding 160mm depan dan 150mm belakang sebelum ini. Pakej suspensi juga dibekalkan oleh jenama Kayaba (KYB). 

Dalam pada itu, CFMoto 800 MT-X ini terus dikuasakan platform KTM LC8c parallel-twin 799cc yang berupaya menjana 95hp pada 9,000rpm dan 77Nm pada 7,5000rpm. 

Antara ciri lain ditawarkan termasuk:

  • panel meter TFT 8-inci jenis menegak
  • ABS
  • traction control dari Bosch

Difahamkan, CFMoto akan melancarkan 800 MT-X ini di Beijing International Motorcycle Exhibition yang akan berlangsung dari 17 Mei ini. 

Google ads
Back to top button