Buletin

ISUZU D-MAX STEALTH 2020. TERHAD 180 UNIT. KAMERA 360, POWER STEP, BERMULA RM126K

Isuzu Malaysia hari ini memperkenalkan Isuzu D-Max edisi terhad terbaru yang dikenali sebagai Stealth.

Dibina di atas varian paling tinggi iaitu D-Max 4×4 Premium automatik, Stealth hadir dengan rekaan eksklusif yang menarik perhatian dan berbeza daripada D-Max sedia ada.

Stealth dikuasakan oleh enjin 1.9 liter Ddi Blue Power yang terbukti sebagai teknologi yang mengubah landskap pasaran trak pikap.

Didatangkan dalam dua warna iaitu hitam metalik dan putih mutiara, Isuzu D-Max Stealth hanya ditawarkan sebanyak 180 unit sahaja.

Berikut adalah ciri-ciri istimewa Isuzu D-Max Stealth:

  • Komponen hitam menggantikan kemasan krom. Ini dapat dilihat pada gril depan, lampu utama, lampu kabus dan kemasan bampar, landasan bumbung dan bampar belakang. Garis kemasan perak pada bahagian hadapan, membuatkannya Nampak lebih sporty.
  • Rim aloi dua tona bersaiz 18 inci dengan emblem Stealth.
  • Pelekat refleksi dengan perkataan Staelth pada bahagian bawah pintu dan belakang.
  • Ciri bukaan ringan pada ruang kargo. Tak payah nak susah-suah guna tenaga untuk buka dan tutup.
  • Pertama dalam kelasnya, trak pikap ini didatangkan dengan ciri Power Step. Power Step membolehkan pemijak kaki sisi akan diturunkan secara automatik apabila pintu dibuka, begitulah sebaliknya. Jika mana-mana pintu dibuka, pemijak sisi dan lampu kecil akan dinyalakan untuk memudahkan pergerakan penumpang.
  • Ruang kabin diserlahkan dengan tempat duduk dibalut kulit dan fabrik berwarna merah hitam. Jahitan logo Stealth juga membuatkannya lebih eksklusif.
  • Pelapik bumbung kini berwarna kelabu. Sementara kemasan pada papan pemuka, panel pintu dan bahagian tombol gear menggunakan material hitam berkilat. Tombol  kawalan pendingin hawa pula berwarna krom.
  • Dilengkapi perakam video digital (DVR) depan dan belakang, pertama dalam kelasnya. DVR itu mampu merakam visual dalam format definisi tinggi (HD) sepenuhnya. Sistem akan merakam secara automatik ke dalam kad SD 32GB sebaik sahaja enjin dihidupkan.
  • Dengan pengesan pergerakan, ia boleh merakam ketika kenderaan diparkir sekiranya ada pergerakan dalam sudut 140-darjah, atau ketika ia mengesan impak pada kenderaan.
  • Rakaman boleh dimainkan semula pada telefon pemilik melalui sambungan WiFi, dengan aplikasi IROAD yang boleh dimuat turun dari Apple App Store atau Google Play.
  • Pertama kali ditawarkan dalam kelasnya, kamera pemantauan keliling (AVM) dengan panduan imej 3D. Sistem ini menggunakan empat kamera di sekeliling kenderaan. Ia membantu pemandu ketika ingin membelokkan kenderaan, kerana ia dengan automatik akan memberikan pilihan paparan dari atas atau 3D sekiranya gear undur dipilih. Pemandu boleh mengaktifkan AVM secara manual dengan menekan butang pada papan pemuka.
  • Sensor parkir hadapan membantu pemandu di ruang sempit. Sensor akan diaktifkan secara automatik sebaik sahaja kenderaan mula bergerak dan dimatikan pada kelajuan melebihi 25 km/j. Pemandu boleh mematikan sistem itu secara manual.

Isuzu D-Max Stealth ditawarkan pada harga bermula RM125,799.20 di Semenanjung Malaysia. Harga di Sabah ialah RM128,176 dan di Sarawak RM128,220 (di atas jalan, tidak termasuk insurans)

Ia boleh didapati melalui semua rangkaian pengedar sah Isuzu seluruh negara bermula hari ini.

Pelanggan terawal yang membeli Isuzu D-Max Stealth (pendaftaran persendirian sahaja) dan mendaftar sepanjang Ogos akan menerima sport roll bar.

Mereka juga boleh memilih untuk membeli penutup T-Lid (bernilai RM5,500) hanya pada harga RM2,000 sementara stok masih ada.

Maklumat lanjut, sila kunjungi pengedar terdekat anda atau layari laman web: www.isuzu.net.my/pickup/ atau Facebook https://www.facebook.com/ISUZU.DMax.Malaysia

GALERI

Google ads
Back to top button