Buletin

LAND ROVER MAHU HALANG IMPORT SUV MEWAH KUMPULAN VW KE AS. DAKWA GUNA TEKNOLOGI TERRAIN RESPONSE TANPA LESEN

Land Rover merupakan antara pengeluar kenderaan pertama yang menghasilkan SUV mewah dengan menawarkan teknologi mudhah untuk pemandu off-road kurang berpengalaman. 

Namun, pesaing-pesaingnya dilihat semakin hampir untuk menguasai pasaran yang memberi keuntungan besar itu.

Justeru baru-baru ini, Jaguar Land Rover Automotive Plc (JLR) meminta Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa (ITC) Amerika Syarikat (AS) untuk menghalang import model-model SUV keluaran kumpulan Volkswagen seperti Lamborghini dan Audi. 

Langkah itu diambil kerana JLR mendakwa syarikat berkenaan menggunakan sistem Terrain Response yang telah dipatenkan tanpa kebenaran.

Dalam satu pemfailan kepada ITC, JLR yang dimiliki oleh Tata Motors Ltd. menyatakan teknologi Terrain Response membantu mengadaptasi pelbagai permukaan jalan dan menjadi ciri utama pada Jaguar F-Pace serta Land Rover Discovery. 

Teknologi Terrain Response menggunakan hanya satu butang untuk mengubah suai semua sub-sistem kenderaan bagi pemanduan di laluan off-road. Sebagai contoh, pemandu cuma perlu memilih mode Sand, Rock, Crawl, Mud atau Ruts sebelum kenderaan mengubah suai maklum balas enjin, brek, transmisi serta sistem lain untuk mengoptimumkan prestasi kenderaan.  

“JLR mahu melindungi perniagaan dan operasinya di AS daripada syarikat yang mengambil teknologi tanpa sebarang lesen daripada JLR,” kata peguam Land Rover, Matthew Moore. 

Jurucakap Volkswagen enggan memberi sebarang komen. 

ITC ialah sebuah agensi bebas yang menyiasat aduan amalan perdagangan tidak adil seperti pelanggaran paten. Ia tidak boleh mengarahkan pembayaran pampasan, tetapi mempunyai kuasa untuk menghalang produk daripada memasuki pasaran AS. 

Pemilik paten gemar berurusan dengan ITC kerana ia bertindak lebih pantas berbanding mahkamah yang siasatan biasa memakan masa 15 hingga 18 bulan. 

JLR turut memfailkan saman ke atas Volkswagen di mahkamah persekutuan di Delaware dan New Jersey dengan menuntuyt pampasan tunai. 

Sejak lima tahun lalu, pengeluar kenderaan super mewah mula memasuki pasaran SUV. Jadi, Land Rover yang merupakan antara jenama terawal menghasilkan SUV mewah cuba menghalang persaingan seperti daripada Bentley Bentayga dan Maserati. 

Ladn Rover dilapor mahu menghalang kemasukan Porsche Cayenne, Lamborghini Urus, Audi Q8, Q7, Q5, A6 Allroad, e-tron dan Volkswagen Tiguan.

Menurutnya, masih banyak SUV mewah bersaiz sederhana dan crossover jenama lain yang boleh memenuhi permintaan pelanggan sekiranya model-model  tersebut diharamkan masuk ke pasaran AS. 

Pada tahun 2018 Land Rover menyaman Bentley selepas Bentayga diperkenalkan kerana mendakwa meniru teknologi Terrain Response. Bentley menafikan tuduhan itu dan perbicaraan dijadual pada Februari 2021. 

Google ads
Back to top button