Artikel Pilihan

JALAN KAKI 32KM PADA HARI PERTAMA KERJA, LELAKI INI DIHADIAHKAN SEBUAH FORD ESCAPE

Young Walter Carr tidak mahu terlepas hari pertama kerjanya sebagai seorang pemindah barang. Jadi, apabila keretanya rosak dan tidak dapat menumpang sesiapa, dia mengambil keputusan untuk berjalan kaki sejauh 32km.

Selepas mengharung perjalanan jauh sepanjang malam dengan kaki yang sakit, Carr akhirnya mendapat rezeki yang tidak disangka-sangka. Boss baharu yang mengetahui apa yang dilakukan oleh anak muda itu menghadiahkan sebuah Ford Escape miliknya.

Kisah ini mula tular apabila seorang wanita dari Alabama, Jenny Lamey menulis tentang Carr di laman Facebook. Dia sebelum itu menghubungi syarikat milik Luke Marklin untuk urusan berpindah rumah.

“Dia sangat rendah hati, baik dan ceria. Saya benar-benar kagum dengan anak muda ini,” kata Lamey dalam satu post di FB yang menerima lebih 6,000 reaksi dan dikongsi lebih 800 kali dalam masa sehari. 

Lamey mendapat tahu Carr dan keluarganya yang berasal dari New Orleans kehilangan rumah dalam Ribut Katrina, sebelum berpindah ke Alabama. Carr yang kemudian menyewa sebuah pangsapuri baru langsung tidak mempunyai duit.

Dia mula berjalan kaki dari Homewood, Alabama, sebelum tengah malam Jumaat. Carr yang merupakan bekas atlet merentas desa berasa dia boleh berjalan sejauh 32km tanpa masalah.

Empat jam kemudian, ketika sedang berehat, seorang anggota polis berhenti dan membuat pemeriksaan. Kagum dengan keikhlasan Carr, pegawai polis yang tahu Carr masih belum kanan membelikan sarapan dan menumpangnya sejauh beberapa kilometer sebelum mengucapkan selamat jalan.

Selepas Carr berjalan sejauh bandar Pelham, seorang lagi pegawai polis yang sudah mendapat maklumat daripada pegawai sebelumnya, menumpangkan Carr ke destinasinya. 

Lamey berada di rumah pada 6.30 pagi Sabtu ketika loceng pintunya berbunyi. “Ada seorang pegawai polis yang memberi tahu kami dia membawa ‘budak baik’ di Pelham pagi ini,” kata Lamey.

Lamey dan suami memberitahu Carr dia boleh berehat sementara menunggu rakan-rakan sekerjanya yang lain tiba. Tetapi dia bersungguh mahu terus mengemas barang.    

Apabila Marklin mendengar cerita ini, dia membuat keputusan untuk menghadiahkan kereta kepada Carr.

“Ini kereta saya dan saya mahu anda memilikinya,” kata Marklin sambil menyerahkan kunci keretanya. 

“Betul?” soalnya terkejut.

Lamey kemudian membuka akaun “Thank You Walter” di laman GoFundMe.com untuk mengumpul dana membantu Carr. Menjelang petang Rabu, wang yang berjaya dikumpul lebih AS$60,000.

Dalam satu video yang dikongsi oleh polis Pelham, Carr yang cukup beremosi menyatakan rasa syukurnya.

“Apa jua kerja keras yang anda lakukan akan dibalas satu hari nanti,” katanya. – AFP

Google ads
Back to top button