;
Buletin

JAM TANGAN GRAND SEIKO CHRONOGRAPH UNTUK NISSAN GT-R 50 TAHUN – HARGA RM86,400 SAHAJA

Seperti yang kita tahun, Nissan GT-R menyambut ulang tahun ke-50 pada tahun ini.

Bagi meraikan kegemilangan jentera sports itu, Nissan telah meminta pembuat jam tangan terkenal Jepun, Seiko untuk menghasilkan jam tangan chronograph sebagai tribut kepada Nissan GT-R. 

Jam tangan tersebut dihasilkan daripada model Grand Seiko SBG C223 chronograph. Tetapi ia menampilkan sejumlah sentuhan visual yang merujuk kepada model Skyline GT-R. 

Penggunaan warna biru pada perumah seramik dan bezel jam tangan itu diinspirasikan daripada warna biru (Bayside Blue) Skyline GT-R R34 yang Nissan bawakan kembali untuk model GT-R Ulang Tahun ke-50. 

Sementara tali kulit dan dial berwarna putih pula menjadi kontras yang cantik, selain mengingatkan kita kepada livery Calsonic yang dipasang pada GT-R R32. Motif berwarna biru diteruskan pada jahitan pada tali dan jarum chronograph. 

Grand Seiko juga menggunakan jam tangan ini untuk meraikan ulang tahun ke-20 teknologi Spring Drive miliknya yang unik. Jam tangan automatik ini hadir dengan chronograph 12 jam dan GMT 24 jam. 

Sistem pergerakan jam tersebut menampilkan logo GT-R bersadur emas kuning 18 karat pada bahagian rotor dan boleh dilihat dengan jelas menerusi paparan kristal sapphire. 

Hanya 200 unit jam tangan Grand Seiko chronograph akan dihasilkan dan ia ditawarkan pada harga AS$21,000 (RM86,400).

Mahal? Harga itu sebenarnya jauh lebih murah jika dibandingkan dengan jam tangan sama yang dihasilkan oleh Grand Seiko untuk dipadankan bersama Italdesign GT-R50 berharga AS$178,000 (RM732,000) seunit. 

Tags
Google ads
Back to top button