Buletin

“SAYA TERLALU TUA!” – AKIO TOYODA

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Toyota, Akio Toyoda, baru-baru ini mendedahkan bahawa beliau terlalu tua untuk memahami sentimen pengguna generasi terkini.

Kenyataan itu membuat orang ramai terkejut kerana dalam tempoh 14 tahun, beliau berjaya mengubah sebuah syarikat konservatif dan berhati-hati seperti Toyota menjadi syarikat yag bercita-cita tinggi untuk menarik semula minat pengguna.

Jelasnya lagi, beliau menghadapi masa sukar untuk meyakinkan jurutera Toyota bahawa beliau boleh mengendalikan syarikat itu meskipun mempunyai latar belakang undang-undang dan perniagaan.

Toyoda juga diberitahu oleh ahli lembaga pengarah bahawa jurutera Toyota tidak akan menghormatinya dan tidak mengambil serius ideanya melainkan dia berlatih sebagai pelumba terkemuka.

Menurutnya, berlatih sebagai pemandu perlumbaan membolehkan beliau menimba pengetahuan tentang cara enjin kereta berfungsi.

Cabaran itu diterima oleh Toyoda dan selepas berbulan-bulan menjalani latihan intensif, beliau akhirnya mengambil bahagian sebagai pelumba dalam acara 24 hours Nürburgring 2009 dengan menggunakan nama samaran Morizo ​​Kinoshita.

Setelah itu, Toyoda meluluskan projek untuk menghasilkan GR Yaris, di mana semasa pembangunan kereta tersebut, Toyoda (sebagai Morizo) berkhidmat sebagai pemandu ujian.

KEKAL RELEVAN

Walaupun Toyoda berjaya membawa Toyota ke peringkat tertinggi dalam pelbagai bidang, syarikat itu bagaimanapun menghadapi kritikan terutamanya terlalu lambat dalam mengeluarkan kenderaan elektrik (EV).

Oleh itu, Toyoda merasakan orang paling tepat untuk mengambil alih kerusi Ketua Pegawai Eksekutif Toyota ialah bekas presiden serta salah seorang jurutera Lexus, Koji Sato.  

“Sato ialah seorang yang bekerja keras untuk menguasai falsafah, teknik, tradisi Toyota dalam bidang pembuatan kereta selain, masih muda dan dia sukakan kereta,” kata Toyoda.

“Bagi menggalakkan perubahan, pengurusan tertinggi perlu berada di barisan hadapan. Untuk berbuat demikian, kekuatan fizikal, tenaga dan semangat adalah penting. Saya fikir, orang muda adalah jawapannya.”

Tambah beliau, keunikan utama falsafah Toyota ialah mereka membina kereta yang lebih dipercayai kerana Toyota dikendalikan oleh jurutera, manakala syarikat kereta lain diuruskan oleh jurujual atau akauntan.

Google ads
Back to top button