Motosikal

SELEPAS JARI DIPOTONG DAN BAPA MUFLIS, KARIER SUPER KIP BERAKHIR. MAHU JADI PETANI, TANAM PISANG

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kontrak pelumba pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Moto3, Khairul Idham Pawi tidak akan disambung untuk musim 2021. 

Ketika ramai peminat sukan pemotoran di Malaysia kecewa dengan perkembangan tersebut, kekecewaan pastinya sangat dirasai oleh tuan punya badan dan ayahnya, Pawi Omar. 

Grand Prix Portugal pada minggu lalu menjadi perlumbaan terakhir buat pelumba yang berasal dari Batu Gajah, Perak itu. Prestasi tidak konsisten pelumba yang lebih dikenali sebagai Super KIP itu menjadi punca dia tidak disambung kontrak dan tidak menerima sebarang tawaran lain. 

Menurut Pawi, dia cuba memujuk anaknya untuk meninggalkan dunia permotoran dan beralih kerjaya sebagai seorang penternak lembu. Perkara itu seolah-olah diakui sendiri oleh Super KIP apabila menyatakan di laman Instagram miliknya bahawa dia mungkin mahu beralih angin dengan menjadi petani dan menanam pisang. 

Baru berusia 22 tahun, ini bukanlah pengakhiran yang dimahukan oleh Super KIP. Apatah lagi selepas pelbagai pengorbanan yang telah dibuat bapanya. Pawi meluahkan rasa kecewa dengan perkembangan terbaharu ini sehingga terpaksa bergolok-bergadai dan diisytiharkan muflis. 

“Khairul satu dalam sejuta. Saya bukan nak bangga, tapi saya didik dia dari kecil sejak sekolah lagi. Macam mana susahnya saya didik dia, asuh dia sampai bergolok-bergadai rumah. Berniaga hingga muflis sampai ke hari ini.

“Sehingga sekarang saya masih tanggung saman dari LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) sebanyak RM36,000 setiap bulan kerana tak bayar cukai demi jadikan Khairul sebagai pelumba. Tiba-tiba jadi macam ini. Saya amat kecewa.

“Saya sangat kecewa dengan SRT, termasuk Khairul. Saya tak pernah lihat dia betul-betul kecewa seperti hari ini. SRT tak bagi dia peluang. Masa di Moto2 dia jatuh cedera dan berehat panjang tukar ke Moto3. Jatuh lagi dan cedera lagi sehingga kena potong jari.

“Sebenarnya perkhabaran khidmat Khairul ditamatkan itu saya tahu sejak Julai. Sudah ada khabar angin bertiup. Sebelum dia potong jari dan kalau dah tahu begitu, kenapa mereka suruh dia potong jarinya,” kata Pawi.

Pelumba muda itu menyertai pasukan Petronas SRT pada tahun 2019 untuk bersaing dalam Moto2. Namun, kecederaa yang dihadapinya menyebabkan dia terpaksa turun ke Moto3. Antara pencapaian terbaiknya adalah sebagai juara Moto3 di Argentina dan Jerman pada tahun 2016. 

Super KIP kini menjalani kuarantin wajib di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Dia dijangka pulang ke kampung halamannya pada 7 Disember depan. – Harian Metro 

Google ads
Back to top button