Buletin

JPJ KELANTAN SIASAT PENUMPANG KENDERAAN BUANG SAMPAH KE DALAM SUNGAI

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan dilapor sudah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pemilik kenderaan yang penumpangnya dirakam membuang sampah ke dalam sungai, semalam.

JPJ dalam kenyataan media berkata pihaknya mengeluarkan notis temu siasat mengikut seksyen 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kepada pemilik kenderaan berkenaan.

Membuang sampah daripada kenderaan bermotor adalah satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut Kaedah 52 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Jika sabit kesalahan, hukuman boleh dikenakan terhadap pelaku mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda maksimum RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

“Jika sabitan kesalahan kedua didenda tidak melebihi RM4,000 atau dipenjara tidak melebihi dua bulan penjara atau kedua-duanya,” katanya.

Pada masa sama, JPJ turut menasihatkan masyarakat supaya tidak menjadikan amalan membuang sampah dari kenderaan kerana ia boleh mencemarkan alam sekitar serta membahayakan pengguna jalan raya lain.

Sejak semalam, tular video sebuah kereta yang berhenti di atas jambatan sebelum seorang wanita membuang sampah ke dalam sungai melalui tingkap. Video berdurasi 20 saat itu mendapat kecaman daripada netizen yang mengatakan individu tersebut tiada kesedaran sivik.

Wanita berkenaan kemudian memohon maaf atas tindakannya menerusi satu hantaran di Facebook. Dia mendakwa baru balik berubat dari Kuala Krai dan diminta oleh perawat tradisional supaya membuang barang saka ke dalam arus sungai yang mengalir. – Berita Harian

Google ads
Back to top button