Buletin

JPJ TAWAR GANTIAN LESEN PERCUMA KEPADA MANGSA BANJIR DI YAN

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menawarkan gantian secara percuma bagi kehilangan atau kerosakan Lesen Memandu Malaysia (LMM), Lesen Kenderaan Motor (LKM), atau Sijil Pemilikan Sementara (VOC) kepada mangsa banjir di Yan, Kedah.

JPJ menerusi kenyataan akhbar berkata, tawaran gantian dokumen secara percuma itu berkuat kuasa bermula Isnin hingga 16 September ini.

Menurutnya, pemilik-pemilik dokumen berkenaan haruslah membuat laporan polis terlebih dahulu mengenai kehilangan atau kerosakan dokumen tersebut.

“Mereka perlu hadir sendiri dengan membawa dokumen yang rosak untuk mendapatkan gantian dokumen baharu di mana-mana Pejabat Kaunter JPJ Negeri, atau Cawangan JPJ, Kedah.

“JPJ amat prihatin terhadap situasi musibah seperti banjir yang telah menimpa penduduk seperti yang berlaku di Titi Hayun, Yan, Kedah pada 18 Ogos lalu.

“Oleh itu, pihak jabatan telah membuat ketetapan untuk memberi gantian terhadap dokumen-dokumen tersebut,” katanya.

Pada masa sama, katanya, JPJ juga mengambil pendekatan untuk memberi kelonggaran dari segi pemantauan pematuhan dan penguatkuasaan terhadap mana-mana kenderaan perdagangan atau persendirian, yang terlibat dalam operasi bantuan banjir di kawasan itu.

“Kelonggaran itu diberikan sehingga bencana banjir iti dapat dikawal sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, JPJ juga akan selalu berada dalam bersiap siaga untuk menghulurkan apa-apa bentuk bantuan sama ada dalam bentuk tenaga manusia atau dalam mengatur-gerak aset-aset JPJ sekiranya diperlukan. –K! ONLINE

Google ads
Back to top button