Buletin

JUALAN EV GLOBAL NISSAN CECAH 1 JUTA UNIT, 19 EV AKAN DITAWARKAN!

Hari ini kita dapat saksikan penangan Tesla di pasaran tempatan yang mengoncang kenderaan elektrik (EV) lain.

Di sebalik hiruk-pikuk tersebut, penghargaan perlu diberi kepada kelompok pengeluar terawal yang menawarkan EV secara rasmi.

Di antaranya Mitsubishi melalui i-MIEV pada Mac 2013, Nissan LEAF pada November 2013 serta dua model Renault Twizy dan Zoe pada April 2015.

Sebagai rujukan dan perbandingan hari ini, model-model tersebut dijual pada harga RM136 ribu, RM169 ribu, RM72 ribu dan RM146 ribu.

Daripada EV terawal tersebut, Nissan dan Renault konsisten menawarkan setiap generasi terbaru di pasaran tempatan.

LEAF sememangnya istimewa dan bertahun-tahun mencatatkan jualan EV terlaris sebelum dipintas Tesla Model 3 pada 2020.

Persaingan EV pada hari ini sengit dan Nissan tetap mempunyai keunggulan tersendiri. Terbaru Nissan memaklumkan jualan EV keluarannya di peringkat global sudah mencecah satu juta unit!

Penyumbang utama pastilah LEAF dan sejak dilancarkan pada Disember 2010, angka jualan sudah melebihi 650,000 unit di serata dunia.

LEAF dijual di 50 pasaran di serata dunia dengan pasaran utama di Jepun, Amerika Syarikat dan Eropah.

Tidak hanya bergantung pada LEAF, Nissan menawarkan crossover elektrik Ariya pada 2022 yang membawakan bahasa reka bentuk dan teknologi terkini syarikat.

Di antaranya kawalan semua roda e-4ORCE dan teknologi bantuan pemanduan ProPILOT 2.0.

Baru diperkenalkan, Ariya sudah memenangi banyak anugerah seperti Auto Color Award 2021 Grand Prix di Jepun dan Red Dot Design Award di Jerman.

Ariya turut tersenarai di dalam Wards 10 Best Interiors & UX. Tahun 2022 juga menyaksikan Nissan memperkenalkan kereta mini EV Sakura dan sehingga kini menerima 50,000 unit tempahan!

Sakura mengulangi pengiktirafan Ariya dan memenangi Japan Car of the Year 2022-2023, RJC Car of the Year 2023 dan JAHFA Car of the Year 2023.

Walaupun LEAF mencatatkan sejarah sebagai kenderaan 100 peratus elektrik yang dikeluarkan secara massa, Nissan dilihat bersahaja jika dibandingkan dengan strategi agresif pengeluar lain.

Tunggu, Nissan merancang untuk melancarkan 19 model EV menjelang tahun fiskal 2030.

Nissan juga menyasarkan untuk melancarkan EV yang dikuasakan bateri keadaan pepejal (all-solid-state batteries) yang dibangunkan sendiri menjelang tahun fiskal 2028.

Jualan keseluruhan EV Nissan mengikut pasaran:

  • Jepun: 230,000
  • Amerika Utara: 210,000
  • Eropah: 320,000
  • China: 230,000
  • Pasaran lain: 10,000
  • Jumlah: 1,000,000 unit

Kredit foto: Nissan

BACA: HARGA NISSAN LEAF TURUN DI FILIPINA, 30% LAGI MURAH!

BACA: NISSAN ROOX 2023, GRIL V-MOTION BAHARU, RM54 RIBU HINGGA RM81 RIBU!

BACA: NISSAN GT-R G-SHOCK 2023, TAK SAMPAI RM700! BOLEH KIRIM TAK?

BACA: PADA 2000 NISSAN X-TRAIL T30 DIPERKENAL, SISTEM 4X4 TEKAN BUTANG!

Google ads
Back to top button